Diari Budak Pondok 1995 (5)

 Lima 

Dalam kelas jahitan tahun ini, kami belajar pelbagai jenis jahitan. Ada yang namanya jelujur, mata ikan, silang pangkah dan sebagainya. Tugasannya, setiap pelajar kena sediakan sehelai saprah mengikut kreativiti masing-masing melibatkan pelbagai jenis jahitan tersebut. Aku sebetulnya tak suka dengan tugasan ini kerana aku tahu kerja tangan bukanlah kebolehanku. Aku ada masa setahun untuk siapkan sehelai saprah, nanti aku fikirkan bagaimana nak buat. Mungkin boleh buat gaya tampalan macam yang Mak Ngah buat untuk telekung yang dijualnya. Mungkin tak keterlaluan untuk aku minta sekuntum bunga 4 lapis itu untuk diletakkan di atas saprahku. Oh, mungkin baik juga kalau aku minta Mak Ngah yang buatkan motif untuk tugasan ini nanti.

Aku pulang sendirian hari ini kerana sebaik selesai solat zuhur tadi Ustazah Fatimah minta aku tolong beliau meletakkan tanda pada buku tulis murid kelas 6 ibtidaiyy. Hari ini ahad, sepatutnya ada kelas jahitan, tapi dibatalkan. Kerana itulah Ustazah Fatimah minta aku menolongnya dah alang-alang kelas jahitan aku tak jadi. Lega juga kelas batal kerana sepatutnya hari ini aku dah kena tunjukkan barang-barang untuk buat saprah yang tak sempat aku sediakan. Aku malu nak minta barang-barang itu pada Tok, apatah lagi pada ibu. Aku bercadang nak guna sahaja kain putih lama yang tok dah tak guna dalam almari besar tu, dah naik kuning pun kain tu, tentu tok akan izinkan aku ambil. Balik ni aku akan terus minta. Benang dan jarum tak apa, guna sahaja yang mana ada, beli benang cap badak di kedai Ramli nanti baru 5 kupang satu. 

Ketika melintas rumah Amirah, dia gamit aku dengan bersungguh-sungguh ajak singgah. Aku asalnya tak mahu, aku sangat lapar kerana belum makan tengahari walaupun dah pun pukul 4 petang. Namun Amirah dah tarik tangan aku sambil tunjukkan sepinggan kuih kaswi.

“mujur kelas jahitan batal kan hari ni..” Amirah ni pernah sekelas denganku dalam 3 ibtidaiyy, tetapi dia tak dapat naik ke 4 ibtidaiyy bersama-sama kerana gagal untuk mendapat markah secukupnya.

“macam mana tahu kelas batal hari ni?” oleh kerana dia pelajar 3 ibtidaiyy yang tak terlibat dengan kelas jahitan, wajarlah aku tanya soalan begini.

“tadi Farah habaq, dia ada cerita juga pasal ada orang ajak dia buat komplot”

“komplot apa?”

“haa..nilah yang kami nak habaq kat hangpa..tu yang kami panggil hangpa mai sini..” suara Amirah semakin perlahan tanda apa yang nak dicakapkannya adalah rahsia.

“Farah kata ada kawan sekelas hangpa yang suruh dia jangan kongsi apa-apa pasal jahitan ni dengan hangpa” oh, hmmm..aku memang ada cakap dua tiga kali dengan Farah yang aku tak ada idea langsung tentang jahitan saprah ni, aku minta pendapat Farah sebab ibunya memang tukang jahit. Aku tahu Farah bercadang untuk minta ibunya sahaja yang siapkan saprah untuknya, aku pun kata suruh Mak Cik Asmah siapkan untuk aku jugalah. Tapi aku tahu, tentu ada upahnya kalau aku minta Mak Cik Asmah buatkan untuk aku, lagi susah jadinya. Aku sebenarnya dah tetapkan hati untuk minta dengan Tok ‘kain buruk’ yang bermain di kepala aku tu sahaja.

“Hangpa jangan marah Farah, dia pun dok pikiaq lagi..bukan dia tak mau buat kat hangpa kain tu..” tiba-tiba Amirah menyambung setelah melihat aku diam sahaja.

“hangpa patut marah kat orang yang hasut Farah tu..awat dia kedengki sangat kat hangpa..”

“sapa?”

“kami tak boleh habaq, satgi Farah marah..”

Yalah..jangan beritahu apa-apa..sepatutnya jangan beritahu apa-apa dari awal lagi, jangan panggil aku singgah makan kaswi sambil cerita sepotong kisah pengkhianatan begini.

Sebenarnya aku dah tahu siapa orangnya yang menikam aku dari belakang. Aku cuma mahukan pengesahan. Tetapi kadang-kadang aku tak bersedia untuk tahu kebenaran. Fasal jahitan ni, walaupun aku tak berapa minat, aku jenis yang akan cuba sahaja. Aku suka setiap satu yang aku buat ada sentuhan aku sendiri, gaya aku. Aku suka bagaimana sesuatu idea datang meletup-letup dalam fikiran dan benakku, lantas aku menjadi teruja untuk siapkannya. Selalu sahaja kerja aku terbengkalai kerana apa yang datang dalam fikiranku tak dapat dijelmakan sebagaimana sepatutnya, itu yang selalu buat aku hilang mood untuk teruskan atau kemudiannya aku biarkan sahaja kerja itu disiapkan ala kadar. Tanpa sentuhan yang kononnya tersendiri itu. 

Tapi, aku tahu muasal ada sesuatu yang tak kena dalam kelas jahitan ini sejak minggu kedua kelas lagi. Ceritanya, suatu pagi isnin - semalamnya hari ahad ialah hari kelas jahitan - ada sekeping surat. Surat yang dalamnya ada sembang-sembang, kita tulis sebab tak mahu bercakap atau orang yang kita nak sembang tu duduk jauh sikit sedangkan perkara yang kita nak cakap ni adalah rahsia. Kau tahu kan surat semacam tu?. entah apalah yang ada dalam kepala orang yang letakkan surat ni atas buku-buku yang aku tinggalkan di sekolah. 

Isinya?

Tentang kasut merah yang aku pakai ke sekolah. Tentang kawan main-main sahaja dengan aku. Tentang aku tak perlu dapat markah tinggi dalam kelas jahitan kerana markah aku dah tinggi dalam bidang akademik.

Aku segera mengenal tulisan tiga orang yang saling membalas surat itu, namun aku cuba bertenang sedang hatiku sakit yang amat dengan isi surat yang aku rasa penuh khianat itu. Tiga empat hari aku bersedih, namun hari-hari seterusnya aku tetap berkawan seperti biasa. Kawan betul-betul. Bukan kawan main-main seperti isi surat tu. 

Tapi diari..aku juga manusia yang dicipta ada daging, tulang dan hati. Susah lah nak buat macam tak ada apa-apa. Aku betul-betul terkilan dan rasa dikhianati. 

Hari ini, selepas bercakap dengan Amirah, aku kembali bersedih. Aku rasa nak demam. Kerana bila demam kita ada sebab untuk mengalirkan air mata. Aku perlu demam diari...mungkin untuk dua tiga hari..

Aku jadi tak suka dengan kerja-kerja menjahit. Aku jadi tak suka dengan kelas jahitan. Lupakan sahajalah idea nak buat teknik ala-ala bertenun pada bingkai saprah aku itu, lupakan tampal bunga. Saprah aku akhirnya hanya sehelai kain putih yang asalnya telekung bahagian kainnya, lalu aku lukis bunga sebarangan dan aku jahit gaya sulaman. Bingkainya aku silang pangkah sahaja. Ya, hasil yang buruk. Tak selayaknya mendapat markah yang banyak. 


Diari Budak Pondok 1995 (4)

Empat 

Tahun ni tahun Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-9. Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan 10 hari ditetapkan untuk tempoh berkempen sebelum hari pengundian pada 25 April 1995. Kan aku dah beritahu, sekolah ini letaknya dalam Negeri Kedah. Negeri yang komposisi kaumnya didominasi melayu. Justeru negeri ini adalah sasaran Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk dimenangi atau paling tidak menambah jumlah kerusi atau paling-paling tidak menambah jumlah pengundi pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Keluargaku - maksud aku keluarga yang di rumah Tok ini- penyokong PAS dan aku rasa semua rakan-rakan sekolahku juga penyokong parti yang sama. Sebab itulah agaknya kami tak lagi berbincang nak sokong siapa dalam pilihanraya kali ini. Anggap sahajalah kami semua sama.

Suasana PRU kali ini hangat dengan isu skandal bank Negara malaysia (BNM). entah kebetulan atau apa, akhbar Utusan Malaysia pada 1 dan 4 April 1995 letakkan tajuk berkaitan skandal itu pada muka hadapannya. Utusan bukanlah akhbar pilihan bagi rumah ini. Tapi kalau ada tajuk yang hangat begitu, ada jugalah yang tolong belikan untuk kami baca. Aku, tok, Pak Cik Ali dan Mak Su Aliyah akan baca akhbar tu dari muka depan hingga muka belakang, termasuk semua sisipan yang ada kecuali bahagian bisnes dan ekonomi. Bahagian saham yang ada sampai penuh 3 muka surat tu pun memang kami akan langkau sahaja. Tak faham.

Lepas baca kami akan bincangkan. Kami tu sebenarnya tak termasuk aku pun. Aku dengar sahaja perbincangan antara tok dengan orang lain. Ahli perbincangan tu boleh bertukar-tukar. Sama ada Pak Cik, atau Pak Njang atau Pak Ngah. Musim pilihanraya begini, tajuk politik memang paling sedap nak buat modal bersembang. Tapi oleh kerana akhbar harakah hanya keluar dua kali sebulan, lambat lagilah nak dapat jawapan balas pembangkang atau ulasan isu-isu semasa. 

Hmmmm..kenapa pula dengan Harakah?. 

Oh, penyokong PAS kata Utusan tu akhbar pembelit. Harakah sahaja yang boleh dipercayai.   

Hmmm.. sebenarnya apabila timbul sesuatu isu, terpulang kepada semua pihak untuk ‘menggunakan’ isu tersebut mengikut kepentingan masing-masing. Itu seninya. Kadang-kadang untuk rasionalkan reaksi mereka itu, ia dipanggil strategi. Aku pun tak tahu sangat pasal keadaan politik ni. Kenapalah orang berani terang-terang buat perkara yang tak betul? Kenapa bila dah tahu tak betul, orang masih biarkan lagi? Susahlah tajuk politik ni..

Musim pilihanraya begini, pentas ceramah akan jadi lebih hangat dan gempita. Isu-isu semasa dijawab di hadapan secara langsung. Tidak ada sesi soal jawab. Sekadar penyampaian satu hala. Itu yang selalu buat aku musykil, bagaimana sesuatu persoalan boleh dijawab tanpa mengetahui apa sebenarnya yang tak difahami oleh khalayak?. tapi, tak apalah..nanti besar sikit aku akan belajar tentang tanya dan jawab ini.

Sebelum pergi dengar ceramah, aku dah study dulu apa yang yang nak disampaikan berdasarkan tajuk ceramah yang diiklankan dalam poster yang ditampal serata pokok dan tiang elektrik. Tapi kalau tajuknya sekadar ‘ceramah umum’, tak ada apalah aku nak study. Tajuk ceramah umum begini memudahkan penceramah untuk bawa apa sahaja tajuk tanpa terikat dengan fakta atau isu yang ingin dijawab. Oleh kerana harakah terbit 2 minggu sekali sahaja sedangkan akhbar lain malah siaran RTM ada setiap hari, jadi pentas ceramah lebih capat dan cekap untuk menjawab isu berbanding akhbar. Kalau penceramah tak cekap, bahannya sudah pun aku baca di Harakah, sekadar ulangan dalam bentuk audio lah pula bagiku. Tapi ceramah PAS pun bukan boleh buat setiap hari. Ada banyak kekangannya. Tak lulus permit la.. orang buat kacau la.. SB berkeliaran la.. masalah teknikal PA system dan lampu la..termasuk tak ada dana untuk buat ceramah juga.

Ceramah Barisan Nasional (BN) orang kata tak meriah, tak sedap bahasa pidatonya, siap ada diberi upah untuk datang mendengar ceramah mereka. Aku sebenarnya tak tahu betul ke cakap-cakap orang tu sebab aku tak pernah menghadiri ceramah BN. Di hadapan rumah Tok ni ada dibina sebuah balai..hmmm..ia macam sebuah dewan kecil. Betul-betul di tepi pagarnya ada papan tanda bertulis. “sebuah lagi projek kerajaan Barisan Nasional”. balai ini digunakan untuk apa-apa aktiviti masyarakat, seperti mesyuarat UMNO kawasan, taklimat bantuan kerajaan dan lain-lain yang selalunya berkaitan BN lah.

Sebagai orang yang mendapat cukup doktrin daripada keluarga terutamanya Pak Njang Syauqi yang memang kaki ceramah PAS, melihat balai tu pun aku dah rasa berat. Apa lagi nak lalu di situ kalau ada masa meriahnya, anak muda akan berkumpul dengan motor masing-masing dan buat bising di situ. Musim pilihan raya begini teranglah balai tu, kalau tidak lalang sampai ke bumbung. Seram!

Untuk aku, pergi ceramah politik ini kena tunggu Pak Ngah Saufi yang ajak. Pak ngah dan mak ngah sahajalah yang rajin ke ceramah dan ada kereta untuk bawa tok pergi mendengar ceramah. Kalau dah bawa tok, mesti bawa aku bersama. Takkan nak tinggalkan aku sorang-sorang di rumah. Mak su sudah tentulah akan mengekor sekali. Kalau dia tak ikut, memang dia tak nak jagakan aku. 

Kemeriahan pentas pidato ini bergantung juga kepada penceramah yang akan beraksi. Kalau Muhammad Sabu, Ustaz Fadzil Noor memang sawah bendang yang kering tu akan penuh dan padat. Kami akan duduk atas tikar yang dibawa sendiri kemudian beli kacang kuda rebus dan makan sambil dengar ceramah. Begitulah keadaan di ceramah PAS. Sederhana sahaja.

Muhammad Sabu kan tak perlu diperkenalkan lagi dengan gaya pidatonya. Daripada ceramahnya aku dengar peribahasa indah;

Yang sopak mencari buluh,
Yang buta datang bertongkat.

Kemudian..

“kenapa conteng buku nota kamu? Buku ni untuk tulis hadist, tulis apa yang saya ajar!!”. Suara Ustazah Aisyah memetir. Guru mata pelajaran hadist ni mana ada suara perlahan, suara tinggi sedia sedia. Beliau terjumpa nota ceramah yang aku salin. Oh Sharifah Nurul Huda, kenapa kau conteng buku hadist..?huhuhuhu

Aku diam. Tiada alasan nak direka. 

“Diam tanda salah la tu..”

“Kalau kamu tulis buku campur-campur  macam ni, jadi buku rojak la..gaul semuanya. Nak makan jenuh pilih, dah tak tahu mana sengkuang, mana nenas, mana jambu, mana pelam..” sambung Ustazah Aisyah beranalogi. Di sini rojak itu merujuk rojak buah-buahan. Kalau cucur udang dicampur kuah kacang, timun dan sengkuang itu dipanggil pasembor.

“amboi, bukan main dia tulis ceramah. Dah macam wartawan” ulas ustazah lagi.

“tangan jenis tak boleh duduk diam” inilah fasa ustazah akan beri cubitan signaturenya.

Cubit kecil atas belakang tangan. Sakit oii..boleh terbit air mata. Jujurnya aku sangat takut dengan cubitan itu. Ini kali ketiga aku kena. Aku selalu menjaga reputasi di depan ustazah kerana seram dengan cubitan dan suara petir beliau. Hadis-hadis yang wajib dihafal sekejap sahaja aku sudah tasmik pada beliau. Mesti segera!.

Dari saat itulah aku sedar rupanya aku ada tabiat menulis - menyalin - apa yang aku dengar. Kalau semasa bersembang-sembang, di tanganku ada alat tulis dan kertas, memang penuhlah kertas tu dengan contenganku. Bila orang sebut busuk, aku akan tulis busuk. Orang sebut busuk hau..aku tulis busuk hau. Kadang-kadang sekali salin sahaja, kadang-kadang dua tiga kali perkataan itu disalin, mungkin dalam bentuk tulisan yang berbeza-beza pula. Begitulah. Apabila dibaca semula, aku sendiri pun jadi pening kenapalah banyak sangat ‘isu’ yang aku dengar dan kenapalah aku sibuk nak salin pula..

Sebenarnya ustazah Aisyah tak patut marah aku. Bukannya buku hadis sahaja yang aku conteng, semua buku lain pun ada aku tulis-tulis di belakangnya. Lagi pula bukannya habis pun satu buku tulis dalam setahun. Kalau habis pun boleh kan tambah buku lain dibelakangnya?. aku jenis yang tak suka koyak buku sebab aku rasa kertas yang dikoyak ambil saiz sikit daripada tulang buku akan nampak sempit. Kalau koyak terus dari tulang nanti akan terburai pula.  

ok sambung pasal Pilihan Raya.

Satu perkara yang aku tak suka bila ada pilihan raya ialah sampah. Banyak betul sampah. Apa ya dipanggil? Bunting kah? - plastik kecil yang ada logo parti masing-masing - direntangkan serata kampung, rimas. Kalau hujan lebat, dibuat khianat, bunting ini jatuh dan menjadi sampah, semak.  Tidak ada tiang elektrik yang kosong, semuanya ditampal gambar calon atau slogan atau logo. Membazir. Sebab masing-masing dah tahu nak pilih siapa. Kenapa nak dipaksa-paksa dengan segala macam sampah ini?. tak tahulah. 

Bagi budak kecil pelajar sekolah macam aku, pilihan raya tidak ada apa-apa selain ianya waktu semangat guru-guru bertambah, kuliahnya jadi panjang dengan cerita luar silibus atau jadi pendek kerana urusan luar bilik darjah yang pelbagai.  Dua-dua pun kami suka kerana kalau kuliah panjang, kami tinggal dengar sahaja, tak perlu menulis apa-apa latihan. Kalau kuliah pendek lagilah seronok. Kami ada pelbagai acara nak dibuat. Main pemadam, batu seremban atau kadang kami panggil batu selambut, main teka teki, melukis dan sebagainya.


Diari Budak Pondok 1995 (3)

 Tiga

Menjelang hari raya, ibu bawa kakak, aku dan Yusri ke Pekan Alor Setar untuk membeli pakaian raya. Ayah kirimkan duit belanja untuk ibu buat persiapan. Ibu belikan aku baju kurung kuning, untuk kak yusra baju biru dengan corak yang sama. Di Hankyu Jaya ibu beli seluar slack dengan baju kemeja kotak2 buat Yusri dan Hadi. Adik Busyra tak perlu baju raya. Dia kan kecil lagi.

Entah kenapa, ibu minta aku pilih satu kasut. Kata ibu kasut raya, boleh juga buat aku pakai ke sekolah. Untuk itu, aku memilih kasut silang kemasan baldu merah, kakak pilih corak yang sama tapi warna hitam. Sedang ibu memilih barang, Yusri terkinja-kinja nak buang air kecil. ibu suruh dia bertahan sementara ibu memujuk pekerja kedai untuk tumpang gunakan tandas, tapi tak pula diizinkan. Lalu, ibu minta aku dan kakak temankan Yusri membuang di mana-mana yang sedikit terlindung. Eh, orang dah la puasa. Kena temankan dia pula..yang ni lagi memalukan daripada hal sependa hari tu tau. Lembu boleh lah kencing merata-rata. Ah, dendam aku dibayar begini rupanya. Biar dia basuh dengan ais yang dia dapat hasil rengekannya yang tak larat berjalan tadi. Geram lah dengan budak kecik ni.

Hari raya tahun ni meriah, semua anak-anak tok ada di sini. Siap Tok Cik Yam (ibu sebenar kepada anak susuan tok, yang memang adik ipar tok) pun beraya bersama. Seronok sangat sebab akhirnya Pak Cik Ali pasangkan juga pelita di pagar, buat kami cucuh bunga api. Pak Ngah & Mak Ngah belanja banyak bunga api, jadi tak perlu aku beli sendiri guna duit tabung. Mak ngah ni orang Terengganu, jadi juadah pagi raya di rumah tok buat nasi dagang. Biasanya nasi tomato, ayam masak merah bersama acar timun dan nenas. Menu tradisi. Tapi tahun ni tok nak ambil hati mak ngah yang tak dapat beraya bersama keluarga kerana ibunya berada di Mekah, buat umrah. 

Seronok sangat, kami sepupu dua pupu perempuan pakat pakai inai malam raya, sambil bertakbir dan main bunga api. Mak su yang kononnya ketua bahagian kanak-kanak mulalah sombong bukan main. Ada sahaja benda yang dia nak arahkan kami. Bukannya dia tak tahu kami nak berinai. Ni pun kami minta ibu tolong tumbukkan 2 hari lepas. Tumbuk siap-siap daun inai sebab dah dekat dengan raya tentulah lesung dan alu tak berehat dah untuk persiapan juadah hari raya. Nak harapkan mak su, memang tak la dia nak layankan kami ni. Tapi aku ajak juga mak su berinai walau sepupu semua dah buat muka bila aku bangun memujuk mak su tu.

Ya, meriah juga kerana ada ayah. Walaupun ayah balik tetapi kawannya datang bersembang sebaik selesai solat isya’ sehingga dini. Entah berapa perkataan yang tok sempat bersembang dengan ayah. Esoknya kata ayah, ada urusan penting lain pula di Kuala Lumpur. Alaa..Ayah ni..

Diari Budak Pondok 1995 (2)

Ramadhan tahun ini jatuh pada bulan februari. Sekolah kami beri ruang yang besar untuk para santri berpuasa bersama keluarga. Murid yang tinggal di asrama paling seronok kerana cuti ramadhan kami tak sama dengan sekolah arus perdana. Sekolah ini buat takwim sendiri yang menjadikan bulan ramadhan sebagai cuti. Eh, aku dah beritahu kan, Sekolah ni ada sediakan asrama untuk pelajar yang tinggal jauh. Memang kebanyakan kawan-kawan kelas aku berasal dari Selangor, Perak, dan Kuala Lumpur. Dari 20 murid kelas 4 ibtidaiyy, 11 orang datang dari luar Kedah. Orang Kedah yang 9 orang ni pula, 5 sahaja yang tak tinggal di asrama - dipanggil budak berulang - termasuk aku.

Bulan puasa tahun ni, ibu ada dengan aku, sama-sama di rumah tok. Ibu baru sahaja habis berpantang sebelum ramadhan dan akan terus tinggal di sini sehingga hari raya. Seronoknya raya tahun ni. Ibu kata sepatutnya giliran sebelah ibu, tapi ibu nak berpuasa di sini sahaja. Dengan tok, ibu mertuanya yang baik. Terima kasih ibu kerana berusaha buat tok gembira.

Tok - gelaran untuk nenek bagi kebanyakan orang di Kedah. Tok orang Kedah ni perempuan, lelaki pula dipanggil tok wan. Awal-awal dulu selalu kawan-kawan luar Kedah keliru dengan gelar tok ni sebab mereka panggil wan atau opah untuk perempuan, tok untuk lelaki.   

Tok aku wanita kental yang telah kehilangan 3 anak sebelum kehilangan suaminya, tok wan. 3 anak yang keguguran itu buat tok mengambil anak buahnya yang aku panggil Mak Chaq Zawiyah, Pak Lang Abdul Rahman dan Pak Teh Abdul Rahim sebagai anak susuan. Namun untuk tok wan yang bercerai mati, tok tak gantikan dengan sesiapa. Sedangkan pada umur 50-an yang aku mengenal tok ni, cantiknya masih ketara. Inspirasi kecantikan bagi aku. Tapi mungkin dengan sederet anak ni buat tok berat hati nak berkahwin lagi. Oh ya, selain kehilangan anak kerana keguguran, tok juga kehilangan anak sulungnya. Ayah aku. Hilang hidup-hidup. Berpergian dan pulang sesuka hati. Pergi lebih lama, tak tahu ke mana. Ayah ni..aduh, tak tahulah nak cakap..

Jadi puasa tahun ni, keluarga aku (ibu, kakak dan adik-adik) akan puasa dan raya di sini bersama tok, Pak Cik Ali & Mak Su Aliyah. Ayah mungkin akan tiba malam raya. Tapi tok kata, jangan harap sangat. Entah Tok memujuk ibu & aku atau tok sedang memujuk hatinya sendiri.

Tahun ni Pak Cik Ali kata kita tak akan pasang pelita keliling rumah sehingga syawal. Aku dah tarik muka. Tak cantik la tak pasang pelita..selalunya bila kami pasang, rumah kami paling cantik kerana rumah tok ini berciri unik. Rumah melayu Kedah. Lalu pak cik kata kita kena tahu kenapa kita buat sesuatu. Kalau buat untuk meriahkan itu tak mengapa, tapi jangan sampai membazir dan membahayakan, tapi kalau kita tahu cerita asal malam 7 likur tu..kita nak ikut adat budaya yang mungkin ada percanggahan dengan syariat, baik kita pilih langkah berhati-hati. Aduh pak cik ni..di tazkirahnya aku..

Bermula 1 ramadhan, bunyi mercun & meriam buluh sudah menghiasi malam. Memang terkejut dengan bunyi tu. Aku awal2 dah minta izin pak cik & ibu untuk guna duit tabung dan beli bunga api, nak main ramai2 dengan 2 pupu aku malam raya nanti. Kami dah berjanji-janji..

Tok ajak kami, yang kuat dan mampu untuk solat terawih di musolla sekolah, jemaahnya memang tak seramai biasa kerana sekolah sedang bercuti. Yang datang ni orang2 kampung sekitar sekolah. Biasanya musolla ni muat 1 saf 12 orang kali 10 saf, tapi untuk bulan ramadhan dapat 4 saf pun dah ok..Alhamdulillah.

Selepas buka puasa yang ringkas dengan kurma & air, kami terus solat maghrib. Kemudian baharulah ambil makanan berat. Tapi biasanya yang makanan berat ni pun pakat makan sikit sahaja, sebab dah kenyang air. Bulan puasa kan selalu panas terik, itu yang dapat air hilangkan dahaga pun dah cukup. Kemudian kami akan bergerak ke sekolah berjalan kaki sahaja. Jaraknya lebih kurang 0.5km. Biasanya rombongan ke musolla ni kami berenam, Pak Cik Ali di depan, Tok, Mak Su Aliah, kakakku Kak Yusra, aku & Yusri adikku. Rombongan boleh jadi makin besar ikut kami bertembung dengan siapa. Boleh jadi Tok Su Puan, ibu hamzah & Ustazah Amnah tu, atau Mak Cik Siah atau Mak Cik Kamisah. Ibu tak ikut sebab kan ada anak kecil, jadi ibu selesa solat di rumah sahaja. Nanti Pak cik Ali, Yusri dan jika ada lelaki lain, akan buat lencongan kerana mereka solat di masjid sekolah. Masjid dalam kawasan banin (pelajar lelaki). Nanti selepas solat, kami akan berjumpa semula di pagar kawasan zink.

Dalam perjalanan balik dari solat terawih berjemaan suatu malam, Yusri kutip satu benda atas jalan. Bila disuluh rupanya, sehelai seluar dalam!. Yang  geramnya dia beria-ia kata itu aku yang punya dan tuduh aku berjalan sini sana tak pakai sependa. Kau kenapa kutip segala benda atas jalan? Kenapa boleh sama? Bukan aku punya la yang Yusri jumpa tu..takkan aku kena londehkan yang aku sedang pakai ni kot untuk buktikan perkara itu?? geramnya.. tak senonoh betul!

Sampai di rumah aku dah sebal. Tiada selera nak sambung dengan moreh. Selalunya aku beli keropok yang aku teringin di siang hari untuk makan selepas soleh terawih. Malam ini tidak.. aku malu kerana nampak macam aku yang salah, padahal betul-betul bukan aku. Kan aku dah diajar malu di pondok ini. Benda seluar dalam macam tu aku tak tahu bagaimana nak jelaskan. Sedangkan kalau aku menyidai pakaian untuk dikeringkan pun, pakaian dalam tak pernah aku sidai depan rumah, di ruang terbuka. Aku akan sembunyikan di bawah pakaian lain atau sidai di penyidai pendek belakang pintu bilik aku sahaja. Tak! Ini bukan tentang cakap-cakap orang yang kalau kita tayang-tayang pakaian dalam nanti lambat kahwin, ini memang urusan yang buat aku malu. Ah, susahlah nak cerita.

Diari Budak Pondok 1994 (3)

Waktu pembelajaran tamat pukul 1. Kami wajib solat berjemaah di sekolah dahulu sebelum dibenar pulang. Asalnya kami solat di tingkat atas sebuah rumah bersebelahan Majidiyyah itu sahaja. Rumah separuh kayu separuh batu itu bertukar-tukar kegunaannya. Tingkat bawahnya menjadi dewan makan untuk pelajar yang menginap di asrama Majdiyyah. Aku suka sangat solat di ruang atas rumah tu. Tingkap kayu sekeliling ruang itu akan dibuka dan diselak sehingga angin dapat masuk dengan bebas. Hanya ada satu bilik di tingkat atas ni. Tak tahu apa yang ada di dalamnya. Aku tak pernah berpeluang masuk ke situ. Kerana itulah kawan-kawan yang tinggal di asrama pakat buat cerita hantu pasal bilik tu. Jadi waktu solat zuhur, semuanya tak nak duduk dekat dengan bilik tu. Semuanya berebut-rebut nak solat tepi tingkap.

Kami dipantau oleh seorang guru ketika solat zuhur. Salah seorangnya Ustazah Amnah. Dia jiran sebelah rumah tok. Kakak kepada Hamzah. Di rumah, aku memanggilnya Kak Amnah. Tapi di sekolah aku memanggilnya ustazah. Sewaktu solat, kami membaca kuat-kuat seluruh bacaan dalam solat. Rukun dan sunnat. Saat turun daripada iktidal kepada sujud, biasanya kami suka menghempas lutut. Bunyi lutut bertemu lantai kayu seperti memberikan rasa puas ketika bersolat.

Kemudiannya aktiviti solat zuhur berpindah ke ruang asrama Majidiyyah kerana rumah itu telah ditukar menjadi rumah warden. Ada sebuah sekolah yang sama tarafnya dengan sekolah ini telah ditutup. Jadi pelajar-pelajarnya ditawar mengikuti pelajaran sekolah kami. Ini termasuklah warden tersebut. Maka aku mendapat ramai kawan baharu. Kebanyakkan mereka pelajar asrama yang berasal daripada serata negeri. Paling jauh ialah Adnin, dari Brunei Darussalam. 

Oh, aku lupa nak beritahu. Di sekolah ini kami diasingkan kawasan lelaki dan perempuan. Pelajar perempuan ibtidaiyy di Majdiyyah macam yang aku beritahu sebelum ni. Pelajar lelaki ibtidaiyy pula di Dar Aiman. Aku mesti melintasi Dar Aiman itu kalau nak pergi atau balik daripada sekolah. Di Darul Aiman tu ada kelas, asrama pelajar lelaki unit rendah (ibtidaiyy), 2 buah padang yang luas, pejabat dan bilik guru serta sebuah musolla. Kawasan Dar Aiman lebih luas daripada Majidiyyah yang cuma sebuah bangunan sahaja. Di tepi Majidiyyah ada dataran yang ditutup kelilingnya untuk pelajar banat (perempuan) yang menginap di Majidiyyah beriadah. Separuh dataran itu kemudiannya dibina bumbung dan dijadikan kantin selepas rumah separuh kayu itu dijadikan  rumah warden. Tapi, sementara bumbung tu dalam pembinaan, pelajar-pelajar makan di dalam kelas. Pagi-pagi kalau aku sampai awal di sekolah, aku kena bersihkan sisa makanan atau minuman yang tertumpah. Bukan sapu sahaja tau. Kena mopkan lantai tu sebab nanti kami akan duduk di lantai tu untuk belajar. Tak seronoklah nak belajar kalau lantai berbau gulai kari atau ikan goreng. Nanti baju pun jadi berbau.

Oleh kerana kami semua perempuan, kami boleh buat macam-macam ‘aksi’ tanpa rasa malu. Kami boleh membaca atau menyanyi kuat-kuat, kami boleh baring sahaja atas lantai, boleh meniarap, bergolek, bahkan tertidur tanpa peduli untuk segan dan malu.

Macam pagi inilah, kami dapat tahu guru-guru sedang bermesyuarat. Lalu kami berkumpul di satu meja dan galak bercerita pelbagai tajuk.

Ibu bapa

Adik beradik

Makan minum

Hinggalah tajuk rambut.

Ruslina cerita rambut dia keriting.  Katanya, orang yang rambut keriting tak boleh dipercayai. Ruslina ni dua tahun lebih tua daripada aku kerana dia pernah belajar di sekolah kebangsaan sampai habis darjah tiga, kemudiannya mengikut ibu bapanya berpindah tinggal di perkampungan ini. Dia dimasukkan ke kelas aku – darjah tiga – walaupun umurnya sudah 10 tahun ketika itu. Dia ni ada banyak cerita dongeng dan cerita hantu yang dia sampaikan pada aku dan kawan-kawan yang lain terutamanya cerita hantu di sekolah lamanya. Sampai aku dan Farah buat kesimpulan sekolah kebangsaan ada banyak hantu.

Aku bantah,

Aku ceritakan yang asalnya rambut aku keriting betul. Bergulung-gulung daripada kulit kepala, bukan setakat acah-acah gulung kat hujung rambut tu. Tapi selepas dua atau tiga kali aku bercukur kerana ada kudis di kepala, rambutku jadi lurus. Lurus segaris. Tak ada bergulung sikit pun.

Kemudian Kami ketawakan Suzana kerana kami teka rambutnya keriting melekat kat kepala macam orang Afrika kerana ayahnya yang juga mengajar matematik di Darul Aiman tu berambut seperti itu. Mati-mati dia nafikan. Sampai nak menangis. Lalu Amani yang merupakan ketua kelas cadangkan kami buka tudung. Tunjukkan kebenarannya. Pelajar-pelajar yang tinggal di asrama memang tak boleh menipu kerana mereka ada saksi, ni pelajar yang berulang – tak tinggal di asrama – la yang ada potensi nak reka cerita.

Masing-masing kami pun buka tudung. Yang pelajar asrama pun buka tudung juga sebab selepas tu kami bercerita tajuk kutu di kepala pula. Pelajar asrama kata Mukminah tunjukkan rambutnya sewaktu mandi sahaja, waktu lain dia akan serkupkan kepalanya kerana dia ada banyak kutu. Jadi sekarang giliran maimunah pula nak menangis. Suzana yang tadi sedih diketawakan, pun sekarang menggiat maimunah sebab rambutnya memang lurus. Hujung-hujung tu sikit je yang curly. 

Mukminah betul-betul menangis dan berlari keluar ke bilik guru – tempat mesyuarat – dan ketika itulah kami ditimpa bala. Ustaz Zain datang ke kelas ketika kami masih galak bercerita tanpa sikit pun sedar aura guru tersebut. Bercemperalah kami bersembunyi bawah meja yang tak berapa ada ruang nak bersembunyi tu. Kalut pakai semula tudung dan kemas meja yang bersepah dengan buku-buku kami. Kami kemudiannya kena rotan di belakang tapak tangan kerana tak tutup aurat. Takutnya lah masa tu. Tapi kemudiannya lama juga kami boikot Mukminah tu sebab tak pandai cari port nak menangis. Haih..geram betul!

Waktu itu, di Majdiyyah ada 2 orang guru lelaki. Sedangkan di Darul Aiman, guru mereka semuanya lelaki. 


Epi 92 : Yam

 

Bismillah.

Nama penuhnya Siti Mariam binti Abdullah. Permai memanggilnya Yam. Ya, 'Yam' sahaja bagi menggantikan gelaran rasminya Mak Teh sebagaimana selayaknya kerana dia berpangkat ibu saudara Permai. Anak kedua dari isteri kedua Tok Wan Permai. Beza umur kami dua tahun.

Permai tidak begitu akrab dengan Yam. Tapi boleh dikatakan kami (adik beradik Permai) lebih rapat berbanding sepupu yang lain. Mungkin kerana faktor usia, atau mungkin kerana faktor jarak, atau mungkin  kerana kami yang paling kerap bertandang ke rumah Tok Wan. Asal ada cuti, ummi kerah kami ke rumah Tok Wan. Walaupun setelah ketiadaan Tok Wan. Meski tidak akrab, Permai selalu dapatkan cerita terkini tentang Yam daripada Ummi. Perihal Tok, Jah, Yam dan Bedah adalah sepotong cerita yang Ummi akan update dari semasa ke semasa.

Yam si bijak, punya ragam lazim anak kedua. Namun sejak memegang gelaran OKU, karenahnya mengundang simpati. Kisah bagaimana Yam si anak cergas cerdas menjadi lemah selalu Permai ulang dalam mengingatkan anak-anak dan anak murid akan had dalam bergurau. Suatu hari, Yam ditolak rakan sekolah atas niat bergurau. Esoknya Yam sakit, lusanya demam, tulatnya menggeletar, hari-hari berikutnya dia menjadi orang kurang upaya. Ayah yang pikun dan ibu yang buta huruf tidak pernah menutup anak ini dari menatap dunia. Dia dimanjakan dengan gelar orang cacat yang perlukan perhatian lebih malah kakak dan adiknya diasuh agar sayangkan Yam sepenuh ikhlas.

Yam tumbuh menggunakan akal cerdasnya walau tubuhnya sering terhambat untuk cergas. Dia berani meminta lepas dari dukungan ibunya supaya dapat menjejak kaki ke Politeknik Pulau Pinang untuk program Diploma. Lalu, tanpa lelah dia mohon dokongan untuk melangkah ke UTM Jalan Semarak meladeni Ijazah Sarjana Muda. Orang kampung Kubur Panjang, Kedah bernama yang Permai panggil Yam ini tamat pengajian ketika Permai di Tahun Akhir UM. Yam jemput Permai ke UTM untuk bantu kemaskan beg dan barang-barang untuk dipindahkan sementara ke rumah sepupu Permai di Selayang.

Pengalaman menemani Yam seminggu sebelum operation majornya di HUKM itu antara ‘jasa’ yang Permai pernah beri. Dari Kedah, Permai mohon cuti dengan alasan ingin membuat persiapan untuk majlis konvokesyen di Kuala Lumpur sambil bawa beberapa barang kiriman untuk Tok yang sudah sebulan berkampung di HUKM. Selain urusan mengambil jubah, rehearsal dan konvokesyen hujung minggunya, Permai sebenarnya ada dua temuduga kerja. Jadi seminggu itu sangat padat bagi Permai. Berulang alik Selayang – Bangi – Petaling Jaya – Cheras - Putrajaya – Shah Alam – Bangsar, 3 kali bermalam di HUKM, 2 malam di Bangsar, 1 malam di Putrajaya, 1 malam di Selayang.

LETIH.

Namun, jeda di HUKM paling menyentuh hati. Tok minta Permai ambil alih sekejap tugas menemani Yam di wad sementara Tok berehat, uruskan diri di rumah sepupu Permai. Kau tahukan, menunggu adalah perkara yang melelahkan. Apalagi bagi Tok yang selalu cergas. Cepuih cepuih buat gheja, kata orang Kedah.

Pembedahan selama 23 jam. Permai tunggu sambil mengenang sehari sebelum Yam perlu berpuasa. Dia minta Permai bawa Char Kuey Teow yang terkenal di Stesen LRT Universiti, gerainya hanya beroperasi waktu malam, Permai separuh berani separuh takut gigih memesan CKT dan hantar ke wad di HUKM panas-panas berasap. Sambil Yam makan, Permai pasang toto atas kerusi malas yang akan jadi tempat tidur Permai malam itu. Yam bercerita tentang kebaikan nurse di HUKM, tentang kebaikan doktor yang akan membedahnya esok. Orangnya muda lagi dah jadi pakar, sayang tak handsome, kata Yam.

Tak perlu tunggu sehari sebelum kena puasa, Yam sering bercerita perihal cita-cita dan kesukaan sebagaimana lazim kita biasa. Tentang kereta yang selesa, tentang rumah dengan dekorasi sekian sekian, tentang perkakasan pinggan vintage, mangkuk corelle, jam tissot, cadar ikea, laptop dan smartphone samsung, rantai tangan habib segala bagai. Yam bercerita dengan berselera tanpa sedikitpun resah dengan kekurangannya. Yam seolah lupa mengukur baju pada badannya yang kekurangan. Dia yang selepas jatuh itu, boleh berlari perlahan, kemudiannya hanya boleh berjalan, kemudian perlu bertongkat, kemudian perlu berkerusi roda. Pendek kata hari demi hari semakin laih, upayanya semakin lemah.

Dia akhirnya hanya mampu terbaring dalam kebanyakkan masa. Mahu ke tandas, Tok akan dukung. Mahu makan, Tok akan suap. Mahu menonton tv Tok akan usahakan untuk mudahkan Yam. Namun siapa tahu, ketika terkurung dalam pengap rumah. Yam menggerakkan tangan kurusnya menjahit manik pada tudung sehingga didagangkan di Singapura. Ruang tengah antara ruang tamu dan biliknya penuh kain berkayu-kayu, menjadi pabrik perusahaan butik tudung bawal yang dicap ‘Yam Handmade’. Diam-diam keuntungan pabriknya itu Yam simpan buat modal untuk membuka mini market. Kali pertama mendengar berita Yam menjadi tauke kedai runcit, Permai terdetik "hanya soal waktu, Yam nanti akan buka pasaraya pula". Permai yang berangan, bukan Mat Jenin, bukan Yam.

Dua tiga kali Yam whatsapps mohon dokongan, dia ceritakan yang dia tak perlukan simpati. Mengusahakan kedai runcit dalam keadaan diri serba kurang, banyak perlukan bantuan orang lain untuk bergerak, tidak mendapat bantuan modal (siapa mahu beri modal kalau hanya berbekalkan azam?) dan dari manakah muasal ketekalan membuka kedai runcit ini.

Selain mahu membina diri sendiri, Yam mahu beri sesuatu kepada ibu dan kakaknya yang telah banyak membantunya meneruskan kehidupan. Dia bukan ingin tunjuk lagak, dia hanya ingin berbakti.

31 Mei 2021. Yam dipanggil pulang ke Rahmatullah. Selamat jalan Yam. Tamatlah kisah puji dan keji. Pulang ke hadrat Allah membawa hati yang tenang. Pulang kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau redho dan (semoga) Allah merehoimu.

P.E.R.M..A.I : Subhanallah. Maha Suci Allah Yang Maha Mengatur.

Ep. 91 : Gangguan kesihatan mental

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Permai sedang melalui hari-hari penuh susah hati. Pada musim pandemik seperti ini, ya Permai bersyukur masih sihat, masih ada kerjaya, masih bergaji. Tapi kawan, rasa susah hati bukan tentang materi sahaja. Melihat orang lain tidak licin kehidupan mereka, rasa berat sentiasa mengikut Permai. Seperti ada sesuatu yang tak beres dalam menjalani kehidupan harian. Rasa tak selesa ini buat Permai tak gembira, terpuruk mendengar bunyi tak jelas yang bersimpang dalam kepala dan sukar tidur lena.

Kawan,

Sepenuh sedar Permai faham rasa susah hati, rasa berat, rasa tidak beres, rasa tak selesa, tak gembira dan mendengar suara ini adalah sebahagian tanda Permai mengalami gejala gangguan kesihatan mental.

Ah, pulak!

Permai sedang kuat berusaha mengatasi semua rasa ini. Permai yakin, semua pun sedang gigih mengenal diri sendiri, lalu gagah melawan diri sendiri. Sukar kawan, amat payah. Dua minggu positif. Seminggu pesimis. Sebulan bangkit. Dua minggu down. Turun naik berulang kali.

Setahun melalui pandemik.

Setahun menghadapi kurungan cara Perintah Kawalan Pergerakan.

Setahun menjalani tugas hakiki yang berubah mendadak.

Setahun mencari cara untuk kekal seperti mana sebelum setahun ini. Agak sukar bagi Permai.

Tahun-tahun mendatang, sesuai janji Tuhan bahawa dunia ini akan berakhir dengan dahsyat, Permai kadang seperti tak jumpa alasan untuk bertahan dengan hidup ini. Namun dengan janji itulah Permai cuba bangun dan mulakan hari baru.

Bahawa, hidup ini singkat yang amat. Akan segera berakhir dan muncullah hidup abadi tanpa sudahnya. Sunnatullah mengaturkan pada masa yang relatif pendek inilah yang akan menentukan bagaimana kehidupan infiniti kita nanti. Oh hati, berkembanglah dengan mekar pada janji TuhanMu sesungguhnya apa yang ditanam di dunia ini, nanti akan dituai di akhirat. Oh jiwa, bukan batang tubuh yang akan kau bawa menghadap Allah, tetapi amalmu. Amal yang kau panggil ibadah. Sesuai dengan tujuan hidupmu.

Itulah harapan.

Dalam takut, yang membangunkan kita adalah harapan.

Jangan pernah putus harapan. 

Pagi ini, seusai tiga malam yang panjang mengundang sakit kepala, Permai bangun melihat harapan. Pada pucuk pudina yang segar tumbuh. Pada anak yang bermain sejak subuh.

 

Hugs.

 

P.E.R.M.A.I : ((..Berbekallah, sebaik-baik bekal ialah taqwa..)) (Al-Baqarah:2:197)  

Diari Budak Pondok 1995 (1)

Darjah 4 – 1995

Darjah 4 adalah tahun pengajian di tahap dua. Kami tak boleh belajar di Majidiyyah lagi dah. Kami sekarang berpindah ke bahagian baharu sekolah. Biasanya kami panggil ‘kawasan zink’ kerana kawasan sekelilingnya di pasang zink. Seperti sebuah kubu. Nama rasminya ialah kawasan banat. Kawasan untuk pelajar perempuan sahaja. Pelajar asrama juga mesti berpindah. Tak boleh lagi dah mendiam di Majidiyyah. Tapi oleh kerana asrama di kawasan zink ada masalah, Majidiyyah masih kekal menjadi asrama pelajar darjah 4 buat sementara waktu. Ada tiga pintu masuk ke kawasan zink yang menjadi kawasan larangan bagi lelaki. Oleh itu, mulai tahun ini kami akan belajar bersama guru perempuan sahaja.

Kelas 4 ibtidaiyy terletak di sebuah blok 1 tingkat betul-betul di tepi musolla (surau). Blok ini ada pemisah yang boleh dilipat-lipat dan menempatkan kelas. Kelas 4 ibtidaiyy hujung sekali, agak berbau pengap kerana hanya terdapat 1 baris tingkap nako di tepi papan tulis. Lantainya di pasangkan karpet nipis berwarna hijau yang perlu digulung semula selepas tamat waktu belajar kerana dibimbangi akan basah kalau hari hujan. Lagipun di kawasan zink ni ada banyak kucing terbuang, kalau kucing-kucing tu masuk tidur dalam kelas ni, habislah berbulu karpet tu. Itu puncanya aku tak suka hari bertugas, sebab susahlah nak menyapu guna penyapu lidi. Lagipun penyapu lidi kelas kami selalu hilang. Ada la tu yang mengambil buat melibas kucing ke..sapu air bertakung ke..tak suka la.. pintunya pula perlu berkongsi dengan kelas 5 ibtidaiyy. Kalau kita nak keluar sekejap pergi ke tandas atau sebagainya, pelajar 5 ibtidaiyy pakat-pakat toleh tengok kita macam kita buat salah.

Pelajaran pula semakin bertambah. Banyak pelajaran yang memerlukan hafalan seperti tafsir dan hadist. aku suka pelajaran tafsir kerana guru matapelajaran ni Ustazah Aidah yang juga guru kelas kami. Orangnya kecil molek dan manis sahaja raut wajahnya. Langsung tak cengei seperti mudirah (ketua guru) bahagian banat ni yang sentiasa berwajah garang. Kadang-kadang sewaktu kami sedang belajar, akan terdengar suara mudirah menjerit-jerit marahkan pelajar kelas lain atau marahkan apa sahajalah di luar kelas tu. Aduhai..menakutkan betul…

Buku teks masih lagi merupakan buku-buku yang disusun oleh guru di sini. Kecuali untuk pelajaran nahu – asas tatabahasa bahasa arab – kami mengguna pakai kitab matan ajrumiyyah. Sebuah buku kecil sebesar buku 555 tu sahaja  ~tapi kitab aku besar sikit, edisi tahun Pak Cik Ali ~. Isi kitab ini mesti dihafal semuanya dari mula hingga akhir. Pelajaran nahu ini berpasangan dengan pelajar sorof – asas susunan atau pembinaan perkataan dalam bahasa arab -  yang aku langsung tak minat kerana aku tak faham kenapa perlu hafal perkataan yang sama setiap hari. Guru matapelajaran ini adalah Ustazah Hanum yang berasal daripada Indonesia. Jadi bahasanya kedengaran pelik di telinga aku. Loghat Kedahnya memang keras. Astaghfirullah..mulut aku ni makin jahat la. Tak baik tau mengata guru macam tu.  Di sini guru sangat dihormati. Tak ada kata untuk menyanggah cakap-cakap guru. Sedang kami tak pernah sekalipun duduk di kerusi guru. Tempat itu sangat tabu bagi kami. Ada izzahnya. Manakan kami yang sangat kurang ilmunya ini dapat membantah guru kami yang hebat-hebat. Ustazah Hanum tu, bukan sebarang orang tau. Dia pelajar terbaik di pesantren tempat dia belajar di Indonesia lalu terpilih oleh gurunya sendiri untuk dihantar mengajar di sekolah tempat aku belajar ni. Aku mesti memohon maaf dengan Ustazah Hanum dan belajar merendah diri. Jangan asyik merungut sahaja.

buku nahwu (sumber google image)
buku sorf (sumber google image)



           
Selain pelajaran bahasa arab dan berbahasa arab, ada juga pelajaran bahasa melayu, sains dan matematik. Aku suka sains sebab buku notanya lain daripada yang lain. Ada muka untuk menulis, sebelahnya muka untuk melukis. Tahun ini aku ada belajar fasal pertumbuhan dan pembiakan pokok. Ada pelbagai cara tumbuhan boleh berkembang, antaranya melalui percambahan biji benih, anak pokok dan melalui mekanisma lain. Tahulah aku Mak Su Aliya tu penipu, dia pernah melarang aku makan buah jambu batu bersekali dengan bijinya. Katanya nanti pokok akan tumbuh dalam perut aku. Kemudian pecah. Bila orang tanam aku, kubur aku naik pokok jambu, bukan pokok kemboja seperti di kebanyakan perkuburan. Sewaktu Ustazah Fatimah – semua guru kami panggil ustaz@ustazah tanpa mengira matapelajaran apa yang dia ajar- terangkan fasal percambahan biji benih tu, aku jadi tak sabar-sabar nak balik berlawan mulut dengan Mak Su Aliyah yang menjengkelkan tu. Sedap tau isi buah jambu batu yang dekat-dekat dengan bijinya. Manis. Aku suka.

Aku rasa Mak Su Aliyah tak belajar pasal ni. Ataupun sewaktu belajar tajuk ni, dia main-main dalam kelas. Mak Su bukanlah pandai sangat macam Pak Cik Ali yang memang tahu buat aku bangga jadi anak buahnya. Sedangkan Mak Su pelajarannya biasa-biasa sahaja. Jarang atau tak pernah pun dapat anugerah pelajar cemerlang. Macam tu punya orang pun ada hati nak bercakap pasal sains, pasal pokok tumbuh... Geramlah!

Untuk pelajaran bahasa melayu, memanglah aku suka sangat terutama bahagian buat karangan, peribahasa, tapi kalau tatabahasa tu aku tak suka sangat, setakat fahamkan sahajalah.

Aku yang berulang ni pun ada sedikit rutin yang berubah. Selain masih diwajibkan untuk solat zuhur di sekolah, beban pelajaran pun semakin bertambah. Ada aktiviti selepas waktu solat zuhur. Kokurikulum namanya. Ada tiga kelas utama untuk kokurikulum setiap ahad, selasa dan rabu iaitu jahitan, masakan dan kraftangan. Hmmmm..semuanya aku tak minat.

Diari Budak Pondok 1994 (5)

Aku ada seorang kawan. Namanya Fitriyyah. Melihatkan bintinya semua orang boleh tahu dia adalah anak kepada Ustaz Hasan, pengasas sekolah ini. Orangnya cantik dan terpingit, tak pernah dibiar jalan-jalan bertandang ke rumah kami, kawan-kawan sekelasnya. Jadi, kalau ada masa, kami yag akan ke rumahnya. Tapi seganlah, rumah mereka besar bersambung-sambung. Tak dengar suara kecil kami beri salam. Lagipun dia ada ramai adik beradik lelaki, tak selesa jugalah nak ke sana.

Ustaz Hasan sangat baik. Tuturnya lembut. Padan dengan orangnya yang bertubuh kecil sahaja. Melihat beliau, sering membuat azamku melonjak. Dia seorang lelaki dengan cara pandang yang berbeza dan terkehadapan. Ruang tempat kami bersembang dengan Fitriyyah ini adalah ruang keluarga bagi mereka. Terujanya aku melihat rak dengan buku yang bersusun dari lantai sehingga ke bumbung. Rendah sahaja bumbungnya, elok-elok seorang lelaki dewasa berdiri. Di depan pintu ruangan ini, ada taman kecil dengan kolam mini beserta pancuran.

“Enti mesti nak pi bilik ayaq. Tengok dah teriyak dah tu” Hafizah ni lah. Janganlah tegur benda macam ni. Dia selalu mengusik yang aku ni macam bayi. Bayi kan menangis je, lapar menangis, mengantuk menangis, lampin basah menangis. Untuk aku, kalau dah tak tahan sangat, air mata akan keluar..banyak..macam menangis.

Fitriyyah segera tunjukkan tandas di luar rumahnya. Tandas untuk tetamu. Sebagai orang besar di sekolah ini, tentulah rumah mereka kerap menerima tetamu. Jadi, tandas di luar begini sangat praktikal untuk keselesaan tetamu dan tuan rumah.

“Ni cucu Tok Nab ni..” terkejut aku dengan sapaan Ustaz Hasan yang sedang menyiram di taman kecil itu. Aku terdiam kerana 3 sebab. Pertama ada urusan yang perlu segera diselesaikan. Kedua aku terkejut ustaz hasan dapat cam aku. Ketiga aku ingin menjawab tetapi yang keluar hanya air mata.

“Laa..awat yang teriyak?..Fitriyyah..Fitriyyah..kawan merajuk ka apa ni..mai tengok..”

Tidak!! kenapa mesti macam ni…kenapa begini jadinya di depan orang terhormat..

Segera aku berlalu ke tandas. Geramlah dengan diri sendiri.

Itulah kali pertama Ustaz Hasan bercakap dengan aku. Tapi itulah, situasinya hmmmm…

Lain kali, bila aku tersempak lagi dengan Ustaz Hasan, dia akan kata “Huda teriyak lagi ka?” arrrrghhh..

Diari Budak Pondok 1994 (4)

Aku sudah mula membaca al quran sejak tahun lepas lagi. Sebelum tu ibu ajarkan aku muqaddam yang sesetengah orang panggil jamaha. Tapi aku khatam muqaddam dengan tok. Muqaddam adalah buku pengenalan huruf-huruf al quran dan disambung dengan surah-surah daripada juzuk ke-30 dalam al quran. Sewaktu belajar muqaddam dengan tok dan ibu, aku mesti mengulang setiap surah yang aku dah baca sampai jadi terhafaz. Oleh kerana silibus matapelajaran tahfiz di sekolah ini adalah juzuk ke-30 untuk darjah 1 sehingga darjah 3, maka sekejap sahaja aku dapat menghafaz dan tasmi’ pada guru. Tasmi’ ialah memperdengarkan bacaan dan hafazan kepada orang lain. Jadi pelajaran tahfiz mudah sahaja bagi aku. Tinggal lagi guru atau tok akan betulkan sedikit sebutan dan tajwid aku kalau ada yang tersilap. Oh sekejap, tajwid itu pula satu cabang dalam ilmu al  quran supaya dapatkan bacaan yang betul dari segi sebutan bunyi huruf, bacaan dengung atau panjang pendeknya.

Selepas solat zuhur di sekolah, kami akan dilepaskan pulang. Nanti, sekitar pukul 3 petang aku ke kelas al quran di rumah Ustazah Zaharah pula. Aku biasanya akan singgah dahulu di kedai Ramli, beli apa-apa ‘bekal’ sebelum ke kelas al quran. Keropok durian, pelbagai jenis asam, gula-gula udang, trebor (kalau ada duit lebih). Itulah sebabnya alquran aku merah di mukasurat 34 yang ada 1 ayat sahaja muka tu, yang cerita pasal muamalat tu. Aku ingat sangat sebab waktu tiba giliran aku baca, aku sedang makan asam ko sembunyi-sembunyi di bawah tudung. Oh, kedah ni sesetengahnya panggil tudung tu sebagai kain kelubung. Waktu itulah ustazah tegur mulut dan gigiku merah dan al quran aku comot. Aku pula semput nak habiskan mukasurat tu. Akhirnya Cuma 1 ayat tu sahajalah yang aku baca.




Ada dua perkara yang aku suka berkaitan sesi mengaji al quran ini. Pertama aku rasa unik sangat ruang kami mengaji ni ada dinding yang asalnya adalah cermin hadapan kereta. Letaknya pula di bawah, bukan sebaris dengan tingkap. Ia memang berfungsi sebagai dinding, bukannya tingkap. Tahukan cermin tu?. Jadi imej yang tercipta di sebalik cermin tu cantik. Kadang kalau hari hujan aku akan ralit memerhati hujan jatuh membentuk lekuk di tanah. Oleh kerana cermin itu adalah dinding, maka ustazah buatkan langsir kecil khas untuknya. Sedondon sahaja dengan langsir untuk dua tingkap nako yang ada di ruang itu. Aku selalu ambil tempat di tepi dinding cermin tu. Entah bagaimana ia dipasangkan bersama batu bata yang lain.  

Perkara kedua yang menarik ialah pokok teh yang ada sekelilingnya. Pokok teh yang jenis ada buah merah dan oren apabila masak tu, rasanya tawar sahaja. Tapi aku dan kawan-kawan suka kutip, buat kunyah-kunyah, bukannya boleh kenyang pun. Cuma seronok lah dapat berebut-rebut kutip buah tu.

Ada masanya tumpuan kami bukan pada buah teh, tapi pada ladybird yang banyak di situ. Ladybird biasa yang warna hitam merah ataupun ladybird yang berwarna keemasan. Kami memanggilnya kura emas.



buah teh (sumber google image)
pokok teh (sumber google image)


kura-kura emas (sumber google image)


Kelas mengaji al quran di rumah Ustazah Zaharah berakhir dengan tasbih kafarah dan surah al asr. Kadang-kadang kami dijamu dengan kuih atau bubur. Macam-macam jenis kuih dan bubur bergantung kepada rezeki. Habis sahaja kelas, acara bebas!

Biasanya aku akan merayau, singgah sana, singgah sini, jalan lambat-lambat supaya lewat sampai ke rumah. Yelah, kalau aku berkejar balik pun tak ada aku nak buat di rumah. Tapi kalau tak ada kawan yang boleh diajak menghabiskan masa begitu, terpaksa jugalah aku balik ke rumah dan aktiviti petang aku boleh jadi menyapu daun rambutan, himpun di satu sudut, kalau rajin terus bakar.. kalau tak rajin esok kena sapu lagi sebab ayam dah kucarkan longgokan tersebut. Boleh jadi juga petang itu aku akan tolong tok sediakan minum petang adan makan malam. Boleh jadi juga aku akan habiskan masa petang aku dengan termenung sahaja di atas pokok jambu di belakang bilik air rumah tok ini. Walaupun aku ni budak kampung, aku harus menjaga gengsi sebagai perempuan, anak cucu keturunan baik-baik, budak mengaji pondok lagi. Jadi aktiviti harian aku tentulah tidak ada yang tak semenggah. Aku sendiri pun jenis yang tak berapa berani sangat. Paling-paling pun aku akan termenung di sungai berhampiran jalan ke rumah Ruslina sambil baling batu daripada titi kecil di situ. Aku mesti pulang sebelum pukul 7 malam. Waktu maghrib tentulah tak elok dok mengukur jalan lagi.

Diari Budak Pondok 1994 (2)

Aku sedang bersedih.

Kenapa?

Sebab peminat rahsiaku meninggal dunia.

Namanya Hamzah. Dia jiran sebelah rumah. Ketika aku sedang membantu (mengacau sebenarnya) tok menyiapkan bancuhan bahulu, aku dengar Pak Cik Ali sedang marah-marah di luar rumah. Aku ingin sangat tahu apa halnya kerana aku sempat menangkap namaku disebut-sebut. Lalu aku  naik ke tingkat atas rumah. Ada tingkap yang menghadap ke rumah Hamzah. Di situ aku nampak Pak Cik Ali sedang jerit-jerit pada Hamzah padahal mereka berdiri saling berhadapan. Hamzah seperti biasa, tersengih-sengih. Roman kecinaan, dengan hingus yang sekejap-sekejap ditarik seperti sengaja buat Pak Cik Ali tambah naik angin.

“jangan dok gatai! Tak padan dengan budak kanyaq!” begitulah antara butiran leteran Pak Cik Ali. Dia marahkan Hamzah yang menulis surat cinta untukku. Hamzah menulis pada sekeping kertas buku tulis dengan banyak ejaan yang salah. Tapi tak mengapalah..aku tetap faham apa yang nak disampaikannya. Hamzah mengajakku bercinta kerana dia sudah terlalu jatuh hati padaku. Surat itu aku simpan sebagai kenang-kenangan, mana tahu surat tu sampai ke tangan Pak cik Ali.

Apa yang aku rasa saat melihat hamzah kena marah dan cintanya tak direstui tu?

Kasihan..

Tapi yang paling penting,aku rasa bangga kerana seperti ada abang yang melindungi aku daripada mata-mata jahat. Eh..tapi Hamzah tak bermata jahat..dia ada anak mata yang hijau kalau tak salah jelinganku.

Apa yang aku rasa saat melihat Pak Cik Ali koyak dan lumatkan surat cinta Hamzah tu?

Kasihan..

Tapi paling penting, aku rasa takut sebab seolah-olah aku ni sudah tak suci hati lagi dah. Di sini..aku mesti menjadi Syarifah Nurul Huda yang terjaga dan terpelihara. Aku bawa nama keturunan yang baik-baik. Jadi, walaupun aku tak ada kesalahan dalam bab surat cinta ni..tapi aku yang terlindung ni terasa bagai sedang dihukum juga.

Beberapa hari kemudian..

Pada umurnya 10 tahun, (aku rasa dia berumur 10 tahun sebab walaupun dia di kelas 3 ibtidaiy..itu tak menjanjikan umurnya 9 tahun kan?) Hamzah maut tertimbus tanah runtuh di sungai. Si bongsu itu pergi kepada tuhannya membawa sekali cintanya padaku.

Hamzah bukanlah orang yang penting bagiku. Watak tambahan sahaja. Tapi sebagai orang yang pernah cuba meluahkan rasa hati padaku, tentulah dia ada letakkan sedikit tanda di hatiku. Jadi, elok rasanya aku mengenang Hamzah sebagai rakan penyumbang kepada idea-idea nakal dan permainan kampung untuk aku, versi perempuan. Selama ini, aku dapat main caplum tu sebab Hamzah lah yang bagi. Manalah aku yang konon berasal dari bandar dan perempuan pula ini dibenarkan ke celah-celah pokok buluh mencari batang buluh nak dibuat caplum. Buluh dipotong sejengkal lebih sikit tangan dewasa dan diraut menjadi seperti gobek tapi gunanya adalah untuk menembak. Pelurunya buah cenerai. Hmmm..bekalan peluru buah cenerai tu Hamzah jugalah yang akan tambah dari semasa ke semasa untuk aku. Hamzah buatkan dua caplum untuk aku yang kemudiannya tok rampas. Mak su Aliyah la ni..dia selalu dengki denganku. Dia mengadu pada tok yang aku ni main bercampur lelaki.. yelah, mana ada budak perempuan main caplum. Tapi kalau aku ada caplum, maknanya aku bercampur dengan lelaki kah?. Meluat!



Sekarang hamzah dah tak ada. Aku sudah tak ada kawan lelaki. Dalam terang ataupun gelap.

Eh, kita di tahun berapa sekarang?

Masih di tahun 1994 

P.E.R.M.A.I : koi koi la nooo...

Ep.90 : Hati ini hanya rindu

 Assalamualaikum & salam sejahtera.


Dedikasi buat dia yang Permai panggil 'Abi'.

Permai ingin menulis ini sekian lama namun tak tahu bagaimana sepatutnya ia disampaikan.


P.E.R.M.A.I : Kalau jumpa, mulut Permai hanya akan diam tetapi otak ini bising dengan pelbagai kata. Hati ini hanya rindu.

Ep. 89 : Penulis kegemaran

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini permai nak bercerita tentang penulis yang permai sangat suka. Suka yang kalau mereka ada terbitkan buku baru, permai akan berusaha untuk dapatkannya. Cepat atau lambat. Oh, kena beritahu.. Senarai ini tidak mewakili ranking. Permai suka buah fikiran dan tulisan mereka. Itu sahaja.

#1 – Hasrizal Abdul Jamil

Sewaktu dalam program asasi, permai mendapat biasiswa. Tinggal di Kelantan dan mendapat biasiswa adalah kombinasi yang menjimatkan belanja. Justeru, setiap bulan Permai berani laburkan untuk membeli buku di SMO, Jaafar Rawas, Kedai Buku Nilam Puri pun ok. Ikut mana yang sempat. 2 tahun itu Permai melanggan majalah I sebagai bahan bacaan wajib selain Reader Digest. Di sinilah Permai berkenalan dengan Ustaz Hasrizal yang merupakan salah seorang kolumnis majalah i.

Rakan sebilik pernah bertanya “kenapa kau sanggup berhabis untuk majalah ni..?”

Dengan yakin permai menjawab “antara sebabnya ialah tulisan Ustaz Hasrizal ni..” permai lantas meminta dia luangkan sedikit masa membaca tulisan ustaz.

“aku rasa kau suka ustaz ni sebab bahasa dia bombastik..tapi aku rasa isinya biasa sahaja..” ulasnya dua hari kemudian.

‘yelah..aku suka bahasa ustaz ni yang kau kata bombastik tu..aku tak banyak duit macam kau setiap dua bulan masuk Speedy beli cd cerita Taiwan..(ratus ratus tau harga CD tu)’ Permai menjawab dalam hati. Entah kenapa bernada merajuk.

Ustaz Hasrizal istimewa sebab dia fasih menulis dan bercakap. Ada kan kita jumpa orang yang tulisannya sedap, tapi bila bercakap macam kurang ummph. Begitu juga sebaliknya. Tapi Ustaz Hasrizal, Permai suka tulisan dan kuliahnya. Pemilihan kata ustaz selalu tepat menggambarkan apa yang nak disampaikan. Disamping Permai kagum orang pandai (berdasarkan peperiksaan upsr, pmr dan spm ustaz..hahahaha) macam ustaz ni boleh ‘terjun’ masuk bidang agama, belajar di Jordan, kemudian berkelana di Ireland menjadi imam dan guru besar sekolah. Semuanya ini Ustaz buat dengan sedar dan cuba buat dengan betul bukan semata-mata mengikut arus dan nasib.

Permai langsung tak berat hati nak membeli Aku Terima Nikahnya walaupun masa tu tak ada tunang atau calon tunang. Melihat ‘kematangan’ Ustaz seiring masa melalui Secangkir Kopi Pengubat Letih, Di Hamparan Shamrock Ku Seru Namamu, Rindu Bau Pohon Tin, Diari Abah, dan lain-lain. Blog ustaz tak pernah Permai tinggal malah sentiasa menjadi penggalak untuk Permai cuba menulis di blog ini.

Membaca Ustaz, terasa membesar bersama-sama saif, naurah dan muiz. Tambahan kemudian ustaz memilih untuk mendalami ilmu pendidikan ketika Permai bertugas sebagai pendidik dan ada anak yang mesti dididik.  Jujurnya, terkadang Permai jadi risau dengan diri sendiri kalau-kalau Permai sudah sampai ke tahap taksub kepada Ustaz. Namun In syaa Allah dengan rendah diri dan sedar, Permai berusaha untuk memahami apa yang Ustaz ‘ajar’ dan menilai dengan akal sihat Permai berpandukan ilmu. Geramnya dengan diri sendiri sebab sentiasa suka dengan apa yang Ustaz kongsikan lewat Saifulislam.com, Facebook, Vlog dan buku.

#2 – Noor Suraya

Di Perpustakaan Awam Alor Setar Permai berjumpa buat pertama kali dengan Noor Suraya melalui Tanah Adriana. Oh tuhan..comelnya Fitri dan Aliya di Langkawi. Kemudian Permai mula mengikut Noor Suraya yang kadang-kadang buat Permai rasa watak-wataknya ada sekeliling Permai sahaja. Di Kedah, di Universiti Malaya, di Cameron Highland.

Ketika Permai berkenalan dengan penulis-penulis Jemari Seni (JS), rasa manis karya mereka buat Permai bangga sangat sebab tahu mereka akan ‘dikawal’ oleh Noor Suraya yang Permai percaya. Sayang sekali umur Jemari Seni tidak lama, namun Hlovate, Syud, Imean, Rodier dan lain-lain pengkarya JS sentiasa mewarnai monolog dan perspektif Permai. Itulah mahalnya Noor Suraya bagi Permai kerana beliau telah melahirkan ramai penulis lain. Usai membaca Noor Suraya (dan beberapa hasil JS yang lain), Permai jadi bersemangat untuk menulis sesuatu. Hubungan Permai dengan JS hanyalah sebagai penjual-pembeli sahaja, tapi kadang-kadang Permai perasan macam ada hubungan keluarga dengan mereka. Kalau ada yang sama mengenal JS, dan-dan rasa bahagia..

Jaja & Din Permai pilih sebagai salah satu barang hantaran perkahwinan. Membacanya kali kedua bersama Encik Damai lain rasanya..kami saling menyapu air mata bahagian Ustaz Din pulang tanpa jari tu. Novel duet Noor Suraya bersama Imean (Cintaku Luruh Di Oxford)  istimewa sangat kerana selain idea duet, latar tempat di UPSI, Trolak dan Taiping tu buat Permai ternampak-nampak Zuha dan Falah di mana-mana dalam jajahan Bidor yang Permai diami kini. Membaca Noor Suraya buat Permai makin mencintai Negeri Kedah dan loghatnya, serta Bahasa Melayu juga.

#3- Faisal Tehrani

Permai mengikut karya beliau dari zaman remaja Permai ketika dia mendapat jolokan ‘penulis muda yang sedang meningkat naik’. Makalah, cerpen, novel ataupun puisi, kalau dihasilkan oleh Faisal Tehrani maka Permai akan beri lebih perhatian. Membaca Faisal Tehrani seperti membaca suara hati sendiri dalam bentuk penulisan yang menarik. Banyak sudut pandang yang Permai ingin nyatakan ditulis dengan baik oleh beliau.. Hahahaha.

Tak ingat apa karya pertama beliau yang Permai baca, tapi rasanya Permai boleh mengenal karyanya  kerana penulisan Faisal Tehrani ada identiti yang tersendiri. Cerpen Semanis Epal yang menjadi silibus dalam KOMSAS Tingkatan 4 dulu antara yang seronok untuk dibaca dan dijadikan bahan bercerita bersama rakan. Kami bercerita tentang angan-angan belajar di luar negara..tentang kerja amal yang boleh kami buat..tentang buah epal yang sedap dan murah..tentang orang tua yang selalu kita abaikan..tentang jahat yang pelbagai bentuk dan yang ada dalam diri kita..

Tahun-tahun tingkatan 4 dan 5 itu Permai berulang-alik dari rumah ke sekolah dengan bas domestik. Sementara menunggu bas seterusnya, Permai akan singgah di Perpustakaan Awam Alor Setar. Di situlah Permai berjumpa dengan Cinta Hari-hari Rusuhan. Asyiknya membaca cerita dunia universiti yang insyaAllah akan Permai tempuhi setahun dua lagi jika keputusan SPM menyebelahi. Pun begitu, Permai sedikit terganggu dengan ilustrasi kulitnya kerana Permai rasa cerita itu ada kaitan dengan Hishamudin Rais yang pernah Permai baca kisahnya 3-4 tahun sebelumnya. Ohh..terganggunya sebab hero yang Permai bayangkan lain mukanya. Ciss..

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2010. Faisal Tehrani menulis ~Selamat menjamu selera, Permai~ pada helaian pertama ketupat cinta yang permai ikuti potong-potong dalam tabloid harakah. Perihal ini Permai dah tulis dalam episod 50.

 #4 – Tere Liye

Mula mengenal tere liye melalui karyanya hasil terjemahan Imean dalam Hafalan Solat Delisa. Ketika itu Permai mengandung anak sulung, Encik Damai ajak ke kedai buku dan bagi can pilih satu novel, begitulah awal kisah bagaimana Permai boleh ‘mengikut’ tere liye. Dia seorang penulis dari Indonesia. Adalah nilai antarabangsanya senarai penulis kegemaran permai ni..lalalalala..

Tere liye menulis genre fiksyen, namun dengan kritis memperihalkan keadaan ekonomi, kemanusiaan, pembangunan sosial, malah menyentuh aspek iman dan rohani dengan baik. Kadang isi ceritanya berat, tetapi dipersembahkan dengan cara yang ringan. Cubalah baca Rembulan Tenggelam Di Wajahmu. Aduh..untuk Permai, setiap kali mengulang, setiap kali itu tertegun. Genius sekali ceritanya. Sehingga Permai takut untuk menonton ceritanya di layar perak kerana expectation yang tinggi dalam imaginasi sendiri melalui novel.

Tere liye menulis sekian banyak. Koleksi Permai baru separuh. Dalam Rindu, Tere Liye dengan santai menyampaikan konsep jihad, Negeri Para Bedebah pula penuh aksi melarikan diri dari khianat dan koruptor, dari yang sekecil-kecil hingga sebesar-sebesar bedebah. Hujan memberi sedar tentang hubungan manusia dengan bumi ini bukan sekadar ‘biasa’ tetapi ada unsur emosinya. Kejarlah siri anak, siri bumi,dan belajarlah mencintai diri sendiri lalu bertemu cinta paling hakiki dari Tuhan.

#5 - Pahrol Mohd Joi

Dari mana mulanya kisah Permai-Pahrol?. Dari kisah Ummi Abi yang berjemaah bersama Ustaz Pahrol dalam Al-Arqam. Permai membesar membaca majalah almukminah, alqiyadah, yang tim redaksinya menerbitkan tulisan Ustaz Pahrol. Mungkin juga Ustaz Pahrol salah seorang editorial majalah, buku dan bahan bacaan lain terbitan al-arqam. Ketika itu, telah Permai fahami bahawa mungkin sebenarnya Ustaz Pahrol ini bukanlah ustaz agama, tetapi seorang penulis. Cuma kerana dia berada dalam al-arqam, dia harus dipanggil ustaz kerana semua orang lelaki dewasa adalah ustaz.

Istimewanya Ustaz Pahrol, gaya penulisannya santai, gaya bercerita, cara orang motivasi, tetapi mempunyai point-point untuk kita berfikir setelah bergulat dengan topik yang cuba diketengahkan beliau. Selain itu, Ustaz Pahrol ada bahasa bunga-bunga dan tahu bermain bunga-bunga bahasa atau kadangnya menggunakan gaya rima akhir perkataan yang hampir sama. Perhatikan tajuk buku-buku yang ditulis beliau, Allah Dekat Tiada Gawat, Kilas Dalam Kias dan sebagainya. Ini menjadi kelebihan yang sangat besar buat Ustaz untuk menulis lirik lagu yang sangat indah dan bermakna. Bagi Permai, membaca tulisan Ustaz Pahrol memberi Permai tambahan kosa kata dan menjadikan Permai berminat ‘mengasah’ kemahiran bahasa melayu dari segi pemilihan perkataan, susun atur ayat dan kena berani bermain kata supaya cantik, menarik dan unik.

P.E.R.M.A.I : Ahmad Lutfi penulis yang Permai percaya untuk membaca tentang politik. Ayman Rasydan pandai menulis tentang budaya dan geopolitik. Ramai lagi..pendek kata, suka la dengan semua orang yang pandai menulis..