Diari Budak Pondok 1995 (4)

Empat 

Tahun ni tahun Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-9. Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan 10 hari ditetapkan untuk tempoh berkempen sebelum hari pengundian pada 25 April 1995. Kan aku dah beritahu, sekolah ini letaknya dalam Negeri Kedah. Negeri yang komposisi kaumnya didominasi melayu. Justeru negeri ini adalah sasaran Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk dimenangi atau paling tidak menambah jumlah kerusi atau paling-paling tidak menambah jumlah pengundi pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Keluargaku - maksud aku keluarga yang di rumah Tok ini- penyokong PAS dan aku rasa semua rakan-rakan sekolahku juga penyokong parti yang sama. Sebab itulah agaknya kami tak lagi berbincang nak sokong siapa dalam pilihanraya kali ini. Anggap sahajalah kami semua sama.

Suasana PRU kali ini hangat dengan isu skandal bank Negara malaysia (BNM). entah kebetulan atau apa, akhbar Utusan Malaysia pada 1 dan 4 April 1995 letakkan tajuk berkaitan skandal itu pada muka hadapannya. Utusan bukanlah akhbar pilihan bagi rumah ini. Tapi kalau ada tajuk yang hangat begitu, ada jugalah yang tolong belikan untuk kami baca. Aku, tok, Pak Cik Ali dan Mak Su Aliyah akan baca akhbar tu dari muka depan hingga muka belakang, termasuk semua sisipan yang ada kecuali bahagian bisnes dan ekonomi. Bahagian saham yang ada sampai penuh 3 muka surat tu pun memang kami akan langkau sahaja. Tak faham.

Lepas baca kami akan bincangkan. Kami tu sebenarnya tak termasuk aku pun. Aku dengar sahaja perbincangan antara tok dengan orang lain. Ahli perbincangan tu boleh bertukar-tukar. Sama ada Pak Cik, atau Pak Njang atau Pak Ngah. Musim pilihanraya begini, tajuk politik memang paling sedap nak buat modal bersembang. Tapi oleh kerana akhbar harakah hanya keluar dua kali sebulan, lambat lagilah nak dapat jawapan balas pembangkang atau ulasan isu-isu semasa. 

Hmmmm..kenapa pula dengan Harakah?. 

Oh, penyokong PAS kata Utusan tu akhbar pembelit. Harakah sahaja yang boleh dipercayai.   

Hmmm.. sebenarnya apabila timbul sesuatu isu, terpulang kepada semua pihak untuk ‘menggunakan’ isu tersebut mengikut kepentingan masing-masing. Itu seninya. Kadang-kadang untuk rasionalkan reaksi mereka itu, ia dipanggil strategi. Aku pun tak tahu sangat pasal keadaan politik ni. Kenapalah orang berani terang-terang buat perkara yang tak betul? Kenapa bila dah tahu tak betul, orang masih biarkan lagi? Susahlah tajuk politik ni..

Musim pilihanraya begini, pentas ceramah akan jadi lebih hangat dan gempita. Isu-isu semasa dijawab di hadapan secara langsung. Tidak ada sesi soal jawab. Sekadar penyampaian satu hala. Itu yang selalu buat aku musykil, bagaimana sesuatu persoalan boleh dijawab tanpa mengetahui apa sebenarnya yang tak difahami oleh khalayak?. tapi, tak apalah..nanti besar sikit aku akan belajar tentang tanya dan jawab ini.

Sebelum pergi dengar ceramah, aku dah study dulu apa yang yang nak disampaikan berdasarkan tajuk ceramah yang diiklankan dalam poster yang ditampal serata pokok dan tiang elektrik. Tapi kalau tajuknya sekadar ‘ceramah umum’, tak ada apalah aku nak study. Tajuk ceramah umum begini memudahkan penceramah untuk bawa apa sahaja tajuk tanpa terikat dengan fakta atau isu yang ingin dijawab. Oleh kerana harakah terbit 2 minggu sekali sahaja sedangkan akhbar lain malah siaran RTM ada setiap hari, jadi pentas ceramah lebih capat dan cekap untuk menjawab isu berbanding akhbar. Kalau penceramah tak cekap, bahannya sudah pun aku baca di Harakah, sekadar ulangan dalam bentuk audio lah pula bagiku. Tapi ceramah PAS pun bukan boleh buat setiap hari. Ada banyak kekangannya. Tak lulus permit la.. orang buat kacau la.. SB berkeliaran la.. masalah teknikal PA system dan lampu la..termasuk tak ada dana untuk buat ceramah juga.

Ceramah Barisan Nasional (BN) orang kata tak meriah, tak sedap bahasa pidatonya, siap ada diberi upah untuk datang mendengar ceramah mereka. Aku sebenarnya tak tahu betul ke cakap-cakap orang tu sebab aku tak pernah menghadiri ceramah BN. Di hadapan rumah Tok ni ada dibina sebuah balai..hmmm..ia macam sebuah dewan kecil. Betul-betul di tepi pagarnya ada papan tanda bertulis. “sebuah lagi projek kerajaan Barisan Nasional”. balai ini digunakan untuk apa-apa aktiviti masyarakat, seperti mesyuarat UMNO kawasan, taklimat bantuan kerajaan dan lain-lain yang selalunya berkaitan BN lah.

Sebagai orang yang mendapat cukup doktrin daripada keluarga terutamanya Pak Njang Syauqi yang memang kaki ceramah PAS, melihat balai tu pun aku dah rasa berat. Apa lagi nak lalu di situ kalau ada masa meriahnya, anak muda akan berkumpul dengan motor masing-masing dan buat bising di situ. Musim pilihan raya begini teranglah balai tu, kalau tidak lalang sampai ke bumbung. Seram!

Untuk aku, pergi ceramah politik ini kena tunggu Pak Ngah Saufi yang ajak. Pak ngah dan mak ngah sahajalah yang rajin ke ceramah dan ada kereta untuk bawa tok pergi mendengar ceramah. Kalau dah bawa tok, mesti bawa aku bersama. Takkan nak tinggalkan aku sorang-sorang di rumah. Mak su sudah tentulah akan mengekor sekali. Kalau dia tak ikut, memang dia tak nak jagakan aku. 

Kemeriahan pentas pidato ini bergantung juga kepada penceramah yang akan beraksi. Kalau Muhammad Sabu, Ustaz Fadzil Noor memang sawah bendang yang kering tu akan penuh dan padat. Kami akan duduk atas tikar yang dibawa sendiri kemudian beli kacang kuda rebus dan makan sambil dengar ceramah. Begitulah keadaan di ceramah PAS. Sederhana sahaja.

Muhammad Sabu kan tak perlu diperkenalkan lagi dengan gaya pidatonya. Daripada ceramahnya aku dengar peribahasa indah;

Yang sopak mencari buluh,
Yang buta datang bertongkat.

Kemudian..

“kenapa conteng buku nota kamu? Buku ni untuk tulis hadist, tulis apa yang saya ajar!!”. Suara Ustazah Aisyah memetir. Guru mata pelajaran hadist ni mana ada suara perlahan, suara tinggi sedia sedia. Beliau terjumpa nota ceramah yang aku salin. Oh Sharifah Nurul Huda, kenapa kau conteng buku hadist..?huhuhuhu

Aku diam. Tiada alasan nak direka. 

“Diam tanda salah la tu..”

“Kalau kamu tulis buku campur-campur  macam ni, jadi buku rojak la..gaul semuanya. Nak makan jenuh pilih, dah tak tahu mana sengkuang, mana nenas, mana jambu, mana pelam..” sambung Ustazah Aisyah beranalogi. Di sini rojak itu merujuk rojak buah-buahan. Kalau cucur udang dicampur kuah kacang, timun dan sengkuang itu dipanggil pasembor.

“amboi, bukan main dia tulis ceramah. Dah macam wartawan” ulas ustazah lagi.

“tangan jenis tak boleh duduk diam” inilah fasa ustazah akan beri cubitan signaturenya.

Cubit kecil atas belakang tangan. Sakit oii..boleh terbit air mata. Jujurnya aku sangat takut dengan cubitan itu. Ini kali ketiga aku kena. Aku selalu menjaga reputasi di depan ustazah kerana seram dengan cubitan dan suara petir beliau. Hadis-hadis yang wajib dihafal sekejap sahaja aku sudah tasmik pada beliau. Mesti segera!.

Dari saat itulah aku sedar rupanya aku ada tabiat menulis - menyalin - apa yang aku dengar. Kalau semasa bersembang-sembang, di tanganku ada alat tulis dan kertas, memang penuhlah kertas tu dengan contenganku. Bila orang sebut busuk, aku akan tulis busuk. Orang sebut busuk hau..aku tulis busuk hau. Kadang-kadang sekali salin sahaja, kadang-kadang dua tiga kali perkataan itu disalin, mungkin dalam bentuk tulisan yang berbeza-beza pula. Begitulah. Apabila dibaca semula, aku sendiri pun jadi pening kenapalah banyak sangat ‘isu’ yang aku dengar dan kenapalah aku sibuk nak salin pula..

Sebenarnya ustazah Aisyah tak patut marah aku. Bukannya buku hadis sahaja yang aku conteng, semua buku lain pun ada aku tulis-tulis di belakangnya. Lagi pula bukannya habis pun satu buku tulis dalam setahun. Kalau habis pun boleh kan tambah buku lain dibelakangnya?. aku jenis yang tak suka koyak buku sebab aku rasa kertas yang dikoyak ambil saiz sikit daripada tulang buku akan nampak sempit. Kalau koyak terus dari tulang nanti akan terburai pula.  

ok sambung pasal Pilihan Raya.

Satu perkara yang aku tak suka bila ada pilihan raya ialah sampah. Banyak betul sampah. Apa ya dipanggil? Bunting kah? - plastik kecil yang ada logo parti masing-masing - direntangkan serata kampung, rimas. Kalau hujan lebat, dibuat khianat, bunting ini jatuh dan menjadi sampah, semak.  Tidak ada tiang elektrik yang kosong, semuanya ditampal gambar calon atau slogan atau logo. Membazir. Sebab masing-masing dah tahu nak pilih siapa. Kenapa nak dipaksa-paksa dengan segala macam sampah ini?. tak tahulah. 

Bagi budak kecil pelajar sekolah macam aku, pilihan raya tidak ada apa-apa selain ianya waktu semangat guru-guru bertambah, kuliahnya jadi panjang dengan cerita luar silibus atau jadi pendek kerana urusan luar bilik darjah yang pelbagai.  Dua-dua pun kami suka kerana kalau kuliah panjang, kami tinggal dengar sahaja, tak perlu menulis apa-apa latihan. Kalau kuliah pendek lagilah seronok. Kami ada pelbagai acara nak dibuat. Main pemadam, batu seremban atau kadang kami panggil batu selambut, main teka teki, melukis dan sebagainya.


0 comments:

Post a Comment