Ep. 77 : hari ibu 2019

Assalamualaikum, salam sejahtera

Bulan mei adalah bulan merai orang..hari pekerja, hari guru, hari bomba... Untuk episod kali ini, Permai nak bercerita pasal hari ibu dari sisi seorang isteri. Mari mulakan dengan setinggi terima kasih kepada Encik Damai yang ada saham signifikan untuk memungkinkan Permai sambut hari ibu. 

Terima kasih, sayang...

Bagusnya Encik Damai ni bila sampai bab anak dia sanggup mencuba dan belajar. Ada masa kuat semangat, ada masa awal-awal dah mengalah, ada masa berjaya, ada masa terlupa. Namun, sebagai ketua keluarga, Encik Damai sentiasa berusaha memberi yang terbaik. Permai nampak itu..cuma kadang-kadang sengaja nak melawan..cari pasal..hehehehe

Terima kasih, sayang...

Dikurniakan anak-anak yang sihat bijak, kadang kita leka untuk bersyukur. Kita lebih kerap menekan diri dan anak-anak untuk capai tingkat yang lebih atas tanpa menyangka itu menjadi punca ketegangan dalam keluarga. Aduhai..kadang kita berniat untuk mendidik, tapi rupanya kerja didik ini seni halus yang buat kita selalu serba salah dan keliru. Encik Damai kerap kali ingatkan Permai supaya sebut yang baik-baik. Mulut ibu, tiap kata menjadi doa. Permai pula ingatkan Encik Damai supaya jaga tingkah laku, tiap satu akan ditiru. Ini bahagian yang paling susah bagi Permai. Susah macam mana pun kena berlakon elok-elok ye..mulakan dengan lakonan sehingga ia menjadi tabiat. Untuk bahagian ini, kami tak pernah habis bincang. Jadi pendapat Permai ni sentiasa sahaja jadi penting dan kadang-kadang jadi keputusan akhir juga. Tiada patriaki untuk tajuk didikan anak-anak. Ianya konsensus.

Terima kasih, sayang...

Tapi, ada masanya juga..Permai nak sangat tunjuk dan amal perangai venus dia. Alah..

yang jenis tengah menangis tapi cakap tak ada apa-apa..

yang jenis tengah marah tapi diam sambil hempuk periuk belanga pinggan mangkuk..

yang jenis tengah terasa hati tapi senyap sambil tulis status bukan-bukan..

yang jenis tengah sakit hati kat mars tapi jerit kat anak-anak..

yang jenis tengah #%@^+&*(! tapi harap mars faham..eh, takkan tak faham lagi..??hari2 tengok fb..berjam2..ada macam2 orang tulis pasal venus..tapi awak buat 'kedek' je kat venus sorang ni..apa??awak sibuk main game???tahukah awak?awak buang masa baca page bola, politik Malaysia, artis..amboi..banyaknya masa awak..takkan awak harap saya tag fb awak kat page yang share pasal saya ni..kita hidup dalam rumah..bukan dalam fesbuk..tu yang awak bla bla bla..saya ni bla bla bla..kita bla bla bla..patutnya bla bla bla..ni tidak bla bla bla..ko jangan bla bla bla..bila aku dah berleter bla bla bla..jangan harap bla bla bla..suatu hari nanti bla bla bla..

haaa..tudia..ni perangai venus lain..Permai insyaAllah sederhana sahaja. Permai hanya perlu tidur sekejap. Recharge. Bahagian ni Encik Damai dah cukup cam.

Terima kasih, sayang..

Jadi ibu, memang lelah. Sekali menjadi ibu, Kita tidak lagi menjadi seperti asal. Perlahan-lahan bertukar. Kita akan bawa sikap ibu ke mana sahaja, sehingga ada masanya rasa ingin berhenti tapi naluri itu selalu mengekori. Seperti mustahil untuk lari, kecuali Allah yang Maha Kuasa memberikan peluang. Ibu anak satu sudah tentu berbeza dengan ibu anak empat. Namun yang sama ialah mulianya kita atas asbab rezeki terpilih ini. Jadi, perempuan yang bergelar ibu, jangan sesekali rendahkan martabat kita dengan memandang jelik perempuan lain naa..tak selayaknya kita bersikap sedemikian. 

Untuk itu sayang..jadilah wali perkasa untuk Permai, Husna dan Fudhla. Kelak saham baik buruk kami sebagai perempuan dan ibu akan dikongsi bersama dengan abang sebagai suami dan ayah. Kami ingin meraikan hari ibu sambil mengenang yang indah tentang ayah. 

P.E.R.M.A.I : terima kasih, sayang..

Ep.76 : kuasa doa

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Suatu waktu, kita berharap doa segera termakbul. Tolong segera ya Allah..cepat..hitungan saat sahaja ya Allah, ya Rahman..kita bertawasul dengan sedikit amal yang pernah kita buat. Yang entah itu amal soleh atau tidak.

Kemudian dalam hitungan detik, Allah beri apa yang kita hajatkan. kita ucapkan syukur sebanyaknya. Kita insaf. Kita terfikir, mungkin hajat itu termakbul bukan kerana amal kita, tapi kerana doa orang lain. Yang melihat paniknya kita, lalu hatinya terlintas.."Ya Allah bantulah dia.."

Itu yang terjadi kepada Permai pada suatu sabtu. Bayangkan suasana pasaraya pada hari sabtu selepas hari gaji. Orang dalam mood persiapan menyambut raya dan waktu itulah puteri sulung Permai hilang!.

Ya tuhan..Permai memang gementar yang amat sangat. Sambil air mata jatuh, dalam hati ini perkara pertama yang datang ialah..Ya Allah, tolong pelihara dia..aku pernah tolong seorang anak yang hilang ibu di pesta buku tahun 2009. Permai nampak suami melilau-lilau..seketika mata kami bertembung, dia menggelengkan kepala tanda tak jumpa. Permai diam sambil mengawas anak-anak lain yang dari mula sedar kehilangan tadi tak sudah-sudah meminta maaf. Maaf kerana ralit. 

Tolong segera ya Allah..temukan kami segera.. jangan dia ditemukan dengan orang yang salah. Biar kami yang jumpa dia dulu..

kemudian, suami Permai datang mendukung si puteri manis. Lega..sangat lega. 

Permai pandang sekeliling. Ada yang melihat. Ada yang tersenyum. Tentu ada yang faham. Tentu ada yang hatinya terdetik sepotong doa untuk kami. Lalu, hati terdalam Permai menyebut 'Ya tuhan..aku ingin selalu berbuat baik..supaya hatiku putih..sehinggakan pada suatu saat aku meminta..segera permintaanku tertunai. Bukan hanya untuk diriku. Untuk sesiapa sahaja'.

P.E.R.M.A.I : buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.