Ep 42 : Sharing is caring

Salam.

Sharing is caring? Sharing, caring, loving? Apa-apa aje la..geli pun ada jugak. Hahahahaha.. suatu waktu dahulu memang terasa berbulu telinga dengan istilah ‘manja’ macam tu..

Permai nak kecilkan skop kepada perkongsian masalah dan perasaan ja.

Permai yang pendiam: Tentu dah boleh faham bahawa berkongsi bukanlah amalan Permai.

Bukan apa, kadang-kadang rasa tak percaya untuk berkongsi. Masing-masing daripada kita ada sejarah tersendiri dan dididik dengan cara yang berbeza, itu akan menyebabkan penerimaan kita terhadap sesuatu perkara akan berlainan. Sebagai contoh, dalam keadaan penerimaan yang terbuka terhadap jeans, masih ada yang tidak menganggap jeans sebagai pakaian yang elok. Trendy semata-mata bukanlah tiket untuk mengesahkan sesuatu yang biasa pada kita akan diterima sebagai biasa juga pada orang lain. Contoh lain, mungkin biasa bagi kita tiada pangkat kakak-abang-adik dalam keluarga, semuanya selesa mengguna panggilan nama sahaja, tapi bagi sesetengah orang itu mungkin sebahagian daripada sikap kurang ajar.

Orang yang kenal sejarah kita pun kadang-kadang masih sukar untuk menerima kisah kita. Akhirnya, Permai memilih untuk bersikap tertutup dalam banyak perkara terutama berkaitan kongsi perasaan dan masalah. Hasilnya, Permai tidak mesra perasaan dan masalah.

Tetapi, selautan terima kasih kepada sahabat yang membina perspektif baru buat Permai tentang perkongsian. Manis juga rasanya berkongsi apa yang kita rasa dengan orang lain. Kadang-kadang perkongsian buat kita lebih lega dan lebih terbuka untuk menerima pendapat dan nasihat orang lain. Perkongsian juga menunjukkan kesediaan kita untuk mengakui peranan orang lain dan menimbulkan sifat kehambaan dalam diri kita. Bahawa sesungguhnya kita ini banyak yang lemah, kita ini hanyalah hamba kepada Yang Maha Hebat, yang menciptakan fitrah dalam diri kita untuk berkongsi.

Cuma, sikap tak nak share tu telah membekas lama dalam diri. Suatu pagi yang sungguh kalut, Permai menarik senyum seorang diri kerana terfikirkan bahawa diri ini masih ada sikap lokek. Hehehehe….

Ceritanya, Permai kelewatan untuk ke tempat kerja sedangkan Permai yang memegang kunci. Amanah tu...

Boss : Permai, kamu tahu pukul berapa sepatutnya kamu sampai?

Permai : 15 minit sebelum pukul 7

Boss : Pukul berapa?

Permai :15 minit sebelum pukul 7 pagi..dalam pukul 6.45 pagi

Boss : Jadi, kenapa tadi kamu sampai pukul 7?


Permai : Saya terbangun lewat.. saya minta maaf

Boss : Ok, saya faham, semalam kamu syif malam kan?

Permai : Hmmm..minta maaf

Boss : Tak apa..Cuma kesian dengan kawan-kawan yang sampai awal..ambil ini sebagai pengajaran ya..

Permai : Ya, saya dah minta maaf dengan semua tadi

Boss : Lain kali, biasakan diri..ada apa-apa hal..bagitau..sekadar sms pun dah ok, saya tak suka sikap sambil lewa walaupun dah salah.

Permai : Saya minta maaf, pagi tadi saya kalut sangat, tak sempat nak taip sms atau call

Boss : (‘’,)

Apa? Muka aku nampak macam tak kena air ke?hahahahaha

Sharing..memang penting..

Beberapa hari kemudian, adindaku yang di USM itu mengugut menerusi sms jam 2 pagi

“salam. Kalau kamu tak bagitau apa-apa perkembangan kat rumah, siap la kamu.ha3”

Hahahahaha…ni semua gara-gara Permai lupa nak sharing dengan dia yang air bah sudah menghampiri muka pintu rumah kami. Sungguh-sungguh terlupa!

Selain itu, dia sedang mengungkit Permai yang terlalu berkias memberitahu ada orang penting datang berziarah. (^^,)Y

Ala, tak ada la Permai ni tertutup mana, tengok Permai ‘rajin’ aje sharing kat tanah Permaisuri ni kan…berblog pun sebahagian daripada sharing jugak apa…hehehehe..tak betol ey?

P.E.R.M.A.I : Kenapa orang sebut perkahwinan sebagai “perkongsian hidup”? lagi payah nak terima, setakat skop kongsi masalah dan perasaan pun dah cukup buat Permai terkebil2, ni kan pula berkongsi hidup…bantulah hambaMU Ya ALLAH…

Ep 41 : Segenggam tabah

Salam.

Lamanya tak update Permasuri ni. Apa sudah jadi?. Permai agak sibuk dengan kehidupan harian disamping Suci kesayangan dipinjamkan untuk urusan yang lebih penting. Memang sekadar alasan aje..

Jujurnya, Permai sungguh sibuk dalam 2 bulan kebelakangan ini. Bertugas sebagai pembantu kedai dengan rutin tugas yang sama. Dah macam robot pun ada. Berkerja 8 jam setiap hari, 7 hari seminggu. Memang sungguh melelahkan. Permai kehilangan banyak masa terbaik dan sebagai balasan, Permai mendapat sekelumit pengalaman.

Berkerja sebagai si kolar biru memang membuatkan kita lebih sensitif. Berurusan dengan si kolar putih membuatkan kita terasa sungguh berbeza menjadi yang rendah dalam hierarki berbanding menjadi atasan. Ada yang profesional, padahal cara kerja berterabur. Ada yang pemimpin, padahal banyak kosong daripada berisi. Huhu..Permai jadi insaf. Sukarnya hidup di negara membangun, yang hasilnya dikaut dengan mudah oleh orang berpangkat dan berduit sedang golongan bawahan terusan berusaha dengan pendapatan masih di bawah paras kemiskinan. Siapa mahu ambil peduli dengan kata-kata si miskin? Siapa tahu peritnya menyuap nasi yang didapati hasil kaisan pagi dan petang?.

Sedihnya..sedihnya…

Permai akan ingat ‘amaran’ awal daripada Bos : “kerja ni dalam kategori buruh, memang macam buruh walaupun kerja dalam air-cond. Kamu boleh berhenti jika tugas ini tak sesuai. Saya tak pernah kisah apa kelulusan kamu, tapi saya pentingkan kualiti kerja. Berkerjalah dengan bersungguh-sungguh dan kamu mesti bersikap ikhlas, mesra dan tekun. Saya harap kamu akan dapat sesuatu ketika kamu berkerja dengan saya, sehingga saya akan terasa kehilangan selepas kamu berhenti…”

Macam-macam pengajaran yang Permai dapat. Setiap hari ada pelbagai perkara baru untuk dipelajari dan diambil sebagai iktibar. Paling menyentuh hati, pada suatu petang Permai dapati ada kesan lecur pada muka adik Permai. Jawapannya “hmmm..dah lama akak tak tengok adik, muka adik ni dah 5 hari jadi macam ni”. Sungguh menyentap rasa si family girl ini. Begitu sekali kesibukan yang lima hari itu memisahkan Permai dan adik. Jadi, apa nak dihairankan sebuah keluarga yang tidak mengenali lantaran ibu bapa sibuk berkerja demi melunaskan pelbagai bil?. Dengan itu, apa lagi yang anehnya haruan makan anak?abang rogol adik?mereka sudah tiada lagi wajah keluarga.

Sedihnya….sedihnya..

Ruang masa yang terhad ini mengajar kami erti rindu. Terima kasih kepada ‘si dia’ yang berusaha memahami Permai, mengerti masa sukar ini akan berlalu. Mengingatkan Permai tentang keselamatan dan kesihatan.

Terima kasih..terima kasih..

Seketika pernah berkesempatan mengikut seorang sahabat Permai mencuci kereta. Terfikir pada terik mentari ada golongan yang sedia menjadi buruh yang tidak mungkin pulang sahaja dari berkerja akan dimanjakan dengan layanan seperti di spa. Penatnya badan setelah memerah keringat, penat lagi melayan karenah dan ragam yang pelbagai tapi semuanya digenggam sebagai tabah.



Bertali arus dugaan tiba

Menakung sebak air mata

Menongkah badai bergelora

Diredah bersendirian


Bagaikan camar pulang senja

Patah sayapnya tetap terbang jua

Sekadar secicip rezeki

Buat yang sedang rindu menanti


Segenggam tabah dipertahankan

Buat bekalan di perjalanan

Kau bebat luka yang berdarah

Kau balut hati yang calar


Sudah tertulis suratan nasibmu

Derita buatmu ada hikmahnya

Biarpun jenuh hidup dipalu

Pasti bertemu tenangnya






Dari jauh mereka datang merentas kepayahan. Derita memilih antara kerinduan dan ketabahan, kepenatan dan hasil, kemunduran dan keperluan, malahan antara kesombongan dan kesanggupan.. Dari jauh mereka datang untuk meneguk sedikit nikmat yang murah di sini.

Terharunya…

P.E.R.M.A.I : Syukurlah, alhamduliLLAH.

Ep. 40 : Sedih

salam..

post ni hanya untuk memberitahu..
bahawa kesedihan mestilah ditelan..
kunyahlah dengan perlahan kemudian telan.
ketahuilah, dengan menelan kesedihan kita akan menambah berat badan.

P.E.R.M.A.I : Saat yang sukar sekarang.

Ep. 39 : Puan Sitie

Salam.

Permai ada seorang sahabat yang tak ingin dilupakan. Sahabat dari zaman kanak-kanak ribena sehingga kini. Permai doakan kami sentiasa bersahabat dan diizinkan berkumpul di syurga yang abadi nanti..ameeeeen..

Kami berkenalan dalam suasana yang sungguh janggal sewaktu Permai menjadi pelajar baru. Permai kenal Sitie bukan hanya Sitie, tapi kenal Sitie sekeluarga.. Kami sangat bangga dengan persamaan kami iaitu ‘tinggal dengan tok’.. Menghabiskan masa kanak-kanak dengan sangat gembira.. Belajar memahami dunia yang berserabut ini dari perspektif mata kecil kami..

Bagi Permai, Sitie cepat matang..mungkin sebab dia anak sulung kot. Banyak yang Permai tak tahu dan tak minat nak ambil tahu.. Sitie mesti tahu punya la.. kebetulan tok wan dia pengamal perubatan hemopati, ayah dia pun pandai menilik.. Sitie kadang-kadang macam kakak permai, padahal kami sebaya saja..mungkin sebab Permai selalu tunjuk tolol..buat macam-macam kerja gila..jarang serius (eh, ke x penah serius? =P)..asik cakap merapu ja..so Sitie amek kesempatan la untuk tunjuk kematangan dia..

Sitie suka sangat bunga, kalau kami tengah jalan2, tiba-tiba dia akan berhenti kutip bunga yang dia rasa cantik dan menawan kalbu. Permai yang buta kayu ni layan aje la dia dok puji-puji bunga yang dia petik. Pernah sekali, kami jalan2 depan kebun jagung Tok Long ‘Ah.. tak sangka pandangan dia boleh menjangkau sekuntum bunga pokok ati-ati tepi pagar..beria-ia dia nak mintak bunga tu..hadui..



Sitie ni kecil molek saja orangnya tapi berjiwa besar..dia comel sangat..Liza kata ada game yang sesuai dengan dia, ‘city connect’.. Kodeks pun selalu usik-usik dan mengata dia..mungkin sebab itulah jiwanya tersiram semangat..Sitie sangat tegas dan teliti dengan apa yang dia buat, kalau dia mahu..dia akan usahakan sampai dapat. Bila dia bertegas mahu menyambung pelajaran ke Mesir, keluarga macam berat hati jugak nak benarkan, tapi tahu aje la Cik Sitie tu..mesti dapat punya la..(‘’,)

Sitie orang yang kemas dan teliti, terutama hal yang bersangkut dengan diri dia.. Sitie suka dia kelihatan cantik, tak macam Permai yang suka nampak season, macam buruk je..hehehehe.

Permai selalu ajak Sitie buat kerja gila.. kalau boring kat rumah, kami akan keluar merayau..berjalan sambil bercerita..sebelum tu singgah kedai Ali untuk beli lollipop atau ais pop atau chewing gum. Pernah kami beli ais kacang dan cadang nak makan kat rumah Liza, tak sempat sampai rumah Liza tiba-tiba hujan mencurah..punya la takut Pak Mat (Ayah Liza) marah, kami makan kat bawah pokok dalam hutan tepi rumah dia, esoknya dan sampai sekarang Liza tak tahu pun kerja gila ni. Adoi..Permai ni selalu tak senonoh!![‘’]Y

Teringat masa final exam, baru lepas perah otak menjawab subjek tafsir, ada lagi masa panjat motosikal Dayah dan ternganga tengok Hindustan kat padang temusu, esok bukannya tak ada exam, saja cari pasal. Pastu buat gila lagi, kali pertama ‘dating’ kat KFC..peghak gila…mesin pengering tangan bunyi pun cuak.. kami sangat suka melepak, kat tepi jalan pun boleh, kat rumah orang pun boleh, kat tepi sungai pun jadi..biasanya aktiviti melepak ni melibatkan 3 orang yang lain. Best. Best. Best. Permai sangat rindu dengan aktiviti lama ni.

Bukan kami tak pernah bergaduh, selalu sangat bergaduh..biasa la, perempuan kan emo..tapi bergaduh tu sangat manis buat Permai. Rasanya itulah yang buat kami bertambah rapat. Sebab kami dapat menerima yang buruk dan baik dalam diri sahabat. Ya Allah..rindunya..

AlhamduliLLAH, petang 8 Syawal 1431 bersamaan 17 september 2010 selepas solat asar, Siti Zaharah Muhammad sah menjadi isteri Mohd Fadhli Ismail. Majlisnya sempurna. Dia cantik. Sahabatnya macam nak pitam.



Akhirnya sahabat Permai sejak zaman kanak-kanak ini telah memberanikan diri memikul komitmen sebagai isteri. Permai hepi sangat. Bukan sedikit perkongsian kami, tapi mana kan sama sahabat dan kekasih. Permai jadi rindu dan tiba-tiba jadi tamak untuk ‘merelakan’ Sitie menjadi milik mutlak kekasihnya. Tahu dah, selepas sah menjadi isteri, mana mungkin Permai dapat ajak Sitie melepak dan merepek macam dulu.. tapi, sedar diri la..dah besar panjang macam ni takkan la permai nak ajak Sitie gonggong lollipop pulak..(ke Permai ni ada ja potensi nak wat perangai camtu lagi?hahahaha). Dia kan dah jadi PUAN..

Cuma, Permai ingin terus berkongsi dengan Sitie, harap-harap En. Fadhli izinkan..

Moga pengantin baru ni diberi kekuatan untuk mengumpul sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumah tangga mereka. Amiiiiin..

BarakaLLAHU lakuma, wa Baraka a’laikuma, wa jama’a bainakuma fil khair. Amiiiiin.

P.E.R.M.A.I : Sahabat yang sangat Permai kasihi. Puan Sitie, cepat-cepat jadi ibu eh..ni nasib je aku tak terlangkah bendul..(^^,)

Ep 38 : 2 in 1

Salam.

Dah 10 syawal, kullu a’am wa antum bi khair…

Hari ni dengar sembang pagi kat radio dengan topik ‘raya 2 in 1’ ..maksudnya dalam beraya ada tak sibuk dengan hal lain?

Memang aidil fitri 1431 ni 2 in 1 bagi permai dan keluarga..

Beberapa hari sebelum ramadhan, ibu saudara permai menjalani pembedahan tulang belakang..pembedahan yang serius akibat terjatuh kerusi pada usia 10 tahun. Kini, pada usia 26 tahun baru dapat tahu apa yang tak kena pada badannya sehingga dia menjadi lemah, bahagian kanan badan tidak dapat berfungsi dengan baik selama tempoh tersebut. Bukan satu dua tempat dibawa untuk berubat, tapi tidak berjaya memulihkannya seperti zaman kanak-kanak dahulu.

selepas menjalani ujian MRI, rupanya bukan kakinya yang bermasalah, sebaliknya ia berpunca daripada saraf yang bertindih pada bahagian tulang belakangnya. Hmm..permai nak bercerita panjang pun tak tahu la betul ke tak..tapi setakat yang permai faham, macam yang permai cerita kat atas tadi r..

pembedahan tu amek masa 10 jam, pastu berkampung kat ICU hampir 2 minggu..jadi ramadhan 1431 ni kena la berpuasa di wad spinal J, PPUKM. alhamduliLLAH…

raya ni 2 in 1 bagi ibu saudara permai sebab dok terbaring ja atas katil, banyak hidangan raya yang terpaksa berpantang..tak ada maknanya nak merasa hidangan yang terbentang tu, makan ubat saja pun dah kenyang.

Beberapa hari menjelang syawal, sahabat permai dapat kelulusan untuk sambung belajar di Jordan. Asalnya menunggu dengan berharap, tapi bila permai dapat tahu dah dapat sambung..macam berat hati pulak nak ‘lepaskan’… tahu ja ni perasaan yang bukan-bukan.. dah orang dapat teruskan pengajian, jauh pulak kat tanah arab sana..bagus la kan..Cuma permai ada sikit la rasa jeles..hehehehehe..tak baik kan..?

Raya ni 2 in 1 bagi dia sebab dalam sibuk nak beraya, sibuk jugak la buat persiapan untuk terbang ke Jordan pada hari raya ke 4..moga semuanya berjalan lancar..semoga niat dan azam untuk menyemai bekalan ke akhirat dibantu olehNYA..ila alliqa’..

Beberapa hari selepas syawal, permai mesti menjawab setuju atau tidak..raya ini bukan lagi 2 in 1..tapi sudah bercampur baur..tidak lagi permai..

P.E.R.M.A.I : mintak maaf banyak2..ke tak elok meminta2..?[-,-]’

Ep 37 : Ramadhan 1431


Pagi,

Aku bangun longlai..

Solat subuh..tunai


Tengah hari,

Aku dirikan solat zohor..

Bersama hati yang tohor


Petang,

Aku bingkas bersolat asar..

Ketika semilir kasar


Maghrib,

Aku berbuka puasa..

Inilah seindah kurnia


Isya’,

tarawih bersambung qiyam..

meriahnya ramadhan dalam diam




Ramadhan 1431 dah berakhir..apa yang Permai rasa? Rasa cepat sangat..apa dah jadi dengan puasa kita..adakah diterima?

nastaghfiruLLAH..

P.E.R.M.A.I : pinjam tag line majalah solusi..melalaikan berzikir adalah lebih buruk daripada zikir dalam kelalaian.

Ep 36 : HAri wanita

Salam.

Salam ramadhan, moga doa-doa kita sepanjang rejab dan syaaban untuk menempuh ramadhan tahun ini membawa bersama faedah dan manfaat untuk seluruh kehidupan.

Bersempena dengan tarikh 25 ogos 2010 yang diangkat sebagai hari wanita ini, Permai jadi teringin untuk menulis sesuatu. Dah nama pun Permaisuri, mana mungkin Permai mampu mengelak daripada meraikan hari wanita seperti ini. Tema tahun ini, ‘1 Azam Wanita 1 Malaysia’ …bunyi macam gempak.. biasalah, kita kena faham seni beretorik..

Setinggi-tinggi penghargaan buat Ris yang menghadiahkan Permai “Jangan Bersedih ; Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia”..hadiah 2 dalam 1 yang memang menyentuh hati Permai..

Sebagai wanita, apa ye 1 azam?

Kebetulan hari wanita jatuh pada bulan ramadhan tahun ini, suka untuk permai memetik sebuah hadis yang masyhur..

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki" – (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Sungguh terpujuk ketika membaca dorongan daripada RasuluLLAH ini. Seperti mudah saja untuk melalui perjalanan hidup setelah ditakdirkan menjadi wanita. Namun wajar juga berpijak pada realiti setelah mendengar sekian banyak inzar akan payahnya mendapatkan syurga hanya kerana wanita.

Wanita hari ini bukan lagi seperti wanita pada tahun-tahun lampau..telah banyak evolusi dan revolusi yang membawa perubahan besar pada tata cara kehidupan seorang wanita. Hari ini kita terkenang detik anak perempuan ditanam hidup-hidup, kemudian wanita diangkat menjadi rujukan pelbagai ilmu, seketika jatuh lagi ingatan pada wanita yang menjadi bahan permainan dan hari ini meski dalam bising bahawa masih sedikit wanita sebagai kuasa pemutus, kita tidak pernah lupa pengaruh Benazir Bhuttho, Ang San Suu Kyi, Puteri Diana dan sekian ramai nama yang telah menggoncang dunia dengan pelbagai isu. Di Malaysia, berapa ramai wanita yang menjadi guru besar dan pengetua di sekolah-sekolah, tidak kurang pula sebagai ketua pengarah di pelbagai jabatan, CEO di syarikat swasta, orang korporat dalam dunia perniagaan, ahli Yang Berhormat yang menggalas amanah rakyat, malahan begitu ramai sekali wanita Malaysia yang menjadi orang atasan yang mempunyai orang bawahan.

Sehebat mana pun seorang wanita itu hebat, dia paling tersanjung apabila bergelar isteri dan ibu. Pangkat yang paling tinggi pernah dianugerahkan kepada seorang wanita ialah pangkat isteri kepada suami dan ibu kepada anak-anak. Meski tidak cantik, meski tidak berijazah, meski cakapnya tidak ada seni retorik, isteri dan ibu tetap mempunyai kedudukan yang sungguh istimewa..ada nilaian yang tersendiri. Pangkat ini sama sekali tidak kalah dengan segala pangkat yang ada dalam alam jagat.

Dunia ini telah diingatkan bahawa ia sebuah perhiasan, dan perhiasan yang paling indah adalah wanita solehah. Beritahu permai, wanita mana yang tidak suka dikaitkan dengan kecantikan dan keindahan? Wanita mana yang akan hangin bila keningnya dikata bak pauh dilayang, bibirnya dikata delima merekah, kulitnya dikata bagai telur dikupas, matanya disebut bagai kunang-kunang mengerlip cemerlang? Wanita apakah yang naik hantu apabila dirinya dibanding dengan segala bentuk keindahan yang terzahir pada pandangan?. Justeru, ketika diiktiraf sebagi perhiasan yang paling indah sekali lagi perasaan sungguh tersanjung menjadi wanita amat terasa. Sekarang fikir baik-baik, bagaimana untuk menjadi wanita solehah.


Mula-mula kena sembahyang bagi cukup 5 waktu, sembahyang elok2.. sebab solat ni KPI (key performance index) yang paling penting

Pastu kena puasa dalam bulan ramadhan, sebelum ramadhan pun kena puasa jugak, berlatih..pas ramadhan pun kena puasa jugak..puasa 6 hari bulan syawal bagus tau..

Pastu kena kawin..sebab mana boleh menanti suami kalau tak kawin lagi..setakat tunggu ’bakal suami’ ja tak jadi...pelik pulak dok bersidai je tunggu bakal suami datang rumah..dapat ke jadi solehah kalo camtu..?

Pastu kena menjaga kehormatan..ni part penting..part ni selalunya menjadi jalan untuk menggagalkan usaha murni kita bagi mencapai taraf wanita solehah yang akan dipanggil masuk syurga ikut mana-mana pintu yang kita nak..huhuhuhu..menjaga kehormatan ni kena mula dengan menjaga KPI tadi..pilih kawan yang baik2..sentiasa tingkatkan ilmu..kena ada imunisasi yang kuat untuk menjaga kehormatan diri..

Ya ALLAH..Permudahkan urusan kami..

Ya HAAFIZ..jagalah hati kami..jangan mudah berpaling dari arahanMU

Ya RABB..didiklah kami menuju syurgaMU

P.E.R.M.A.I : Satu-satunya azam yang terpahat di hati semua wanita di Malaysia adalah untuk mendapat keredhoan ALLAH.

ep 35 : makna lain bola sepak

sambungan...


Ada banyak hal sebenarnya tentang dunia hari ini yang boleh kita pelajari daripada bola sepak. Dalam bukunya itu, Foer menghujahkan bagaimana bola sepak adalah metafora kepada globalisasi. Ia menjelaskan bagaimana keadaan geopolitik dunia mempengaruhi atau dipengaruhi oleh bola sepak.

Malah dalam kata pengantarnya yang sama dalam laporan ekonomi Goldman Sachs itu, Fischer mengatakan bahawa bola sepak hari ini bukan hanya satu perniagaan yang besar tetapi juga contoh kejayaan globalisasi antara dunia pertama dengan dunia ketiga yang sangat mengagumkan.

Piala dunia misalnya tidak lagi dikuasai oleh pasukan dari Eropah dan Amerika Latin tetapi betul-betul menjadi satu kejohanan yang melibatkan pasukan –pasukan dari serata benua. Inilah satu-satunya acara pertandingan besbolnya sebagai kejohanan siri dunia sedangkan yang bermain itu hanya kelab-kelab dari serata negara itu dan Canada.

Analisis Foer dalam bukunya itu tentulah tidak boleh disamakan dengan apa yang dilakukan misalnya oleh Thomas L. Fried Man dalam The Lexus and the Olive Tree, Joseph stiglitz dalam Globalization and Its Discontents atau Amy Chua dalam World On Fire .

Ini kerana Foer tidak memberikan apa-apa teori baru tentang globalisasi,mencatatkan bagaimana fenomena globalisasi boleh dilihat dengan lebih jelas dalam bola sepak berbanding mana-mana institusi atau ekonomi dunia .

Beliau hanya meletakkan budaya popular itu dibawah mikroskop dan cuba memahaminya dalam pengertian buruk baik globalisasi .dalam erti kata lain ,beliau menggunakan bola sepak untuk bercerita tentang globalisasi, sama barang kali seperti yang dilakukan oleh Pietra Rivoli dalam The Travels of T-shirt in the Global Economy .

Menurut Foer, globalisasi menjanjikan penghapusan nilai-nilai nasionalisme apa bila dunia bersatu dalam rangkaian perdagangan dan pengaruh budaya yang sama tetapi hakikatnya apa yang berlaku ialah globalisasi sebaliknya mengukuhkan semangat berpuak dan nasionalisme .

Foer memberikan contoh persaingan tradisiantara dua kelab di Glasgow Scotland iaitu Rangers dan Celtic. Permusuhan antara dua kelab itu tidak hanya terhad di padang tetapi sebaliknya berakar umbi daripada sejarah panjang pertembungan antara agama katolik dan protestan.

RASUAH

Sungguhpun pasukan Rangers yang secara tradisinya dikaitkan dengan masyarakat protestan dan para pemainnya hari ini terdiri pelbagai kaum dan kepercayaan, apabila mereka turun ke padang para penyokongnya masih lagi menyorakkan slogan anti-katolik.

Foer juga mengupas tentang pengaliran modal dunia dengan menceritakan apa yang dilihat terjadi di brazil. Globalisasi dan liberalisasi ekonomi di yakini boleh membersihkan amalan rasuah tetapi itu tidak dilihatnya terjadi di brazil. Beliau menunjukkan bagaimana globalisasi gagal menghapuskan rasuah dan penyelewengan yang telah berakar umbi lama sebelum liberalisasi perdagangan.

Foer turut cuba menjelaskan tentang budaya Amerika Syarikat melalui bola sepak. Dalam bab akhir bukunya itu yang diberi tajuk how soccer explain the American culture wars beliau menunjukkan keganjilan budaya popular itu di Amerika syarikat. Kalau bola sepak menjadi permainan yang tidak mengenal kelas di mana-mana pun di dunia, di Amerika syarikat ia sebaliknya dimainkan oleh golongan kelas pertengahan.

Malah amerika syarikat adalah satu-satunya negara di dunia yang boleh malahirkan kumpulan anti-bola sepak. Ahli kongres Jack Kemp dalam ucapannya membantah resolusi kongres menyokong usaha amerika syarikat menjadi tuan rumah piala dunia menyisafkan permainan itu sebagai “sukan sosialis eropah “manakala bola sepak amerika adalah sukan yang demokratik dan mencerminkan kapitalisme .

Beliau ternyata salah. Amerika syarikat menganjurkan piala dunia 1994 yang menyaksikan kehadiran penonton paling tinggi dalam sejarah kejohanan itu. Selebihnya,bola sepak hari ini adalah perniagaan yang melibatkan pelaburan dan keuntungan berbilion dolar.

Kalau analisis foer melalui bukunya itu terasa terlalu serius sehingga mengikis bola sepak daripada sifatnya yang dikatakan oleh lagenda brazil,pele sebagai “satu permainan yang indah“, cuba lihat pula apa yang dilakukan oleh pakar-pakar ekonomi di bank-bank pelaburan utama dunia.

Selain analisis goldman sachs yang menilai hubung kait antara bola sepak dengan kedudukan ekonomi 32 negara yang sedang bersaing di jerman,abn amro pula menerbitkan analisisnya bertajuk soccer nomics 2006.

Analisis itu membuat ramalan tantang kesan keputusan piala dunia 2006 kepada ekonomi dunia. Selepas meneliti angka-angka yang ada,ia merumuskan bahawa negara yang menang piala dunia akan menikmati kenaikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.7% manakala negara yang kalah dalam perlawanan akhir akan rugi 0.3%.

Ia membuat analisis dan ramalan hanya berasaskan kepada faktor pertumbuhan ekonomi dunia .Oleh itu ,ia meramalkan Itali adalah negara yang seharusnya memenangi Piala Dunia pada kali ini kerana ‘’ia akan meningkatkan ekonomi dunia’’.

Kemenangan amerika syarikat ,kata abn amro ,sebaliknya akan terus melebarkan jurang yang ada manakala kejayaan negara dari asia hanya akan meruapkan ekonomi ratau ini yang sedang melonjak .bagaimana pula dengan dengan amerika selatan ,atau khususnya brazil yang menjadi pasukan pilihan majoroti peminat bola sepak diseluruh dunia?. Menurut ABN, Amro, ia tidak akan memberikan apa-apa kesan.

Kalau bank utama dari belanda itu menggunakan analisis ekonomi untuk membuat ramalannya, foer juga melakukan hal yang hampir sama. Dalam tulisannya yang lain yang termuat dalam buku the thinking fan’s guide to the world cup, beliau menjelaskan apakah bentuk kerajaan negara yang akan menang piala dunia. katanya, selepas 17 kali dianjurkan, kejohanan empat tahun sekali itu menyediakan banyak bukti empirical yang boleh dikaji menggunakan kaedah yang canggih untuk melihatkan bentuk politik dan ekonomi yang melahirkan juara.

Tetapi judul buku yang menghimpunkan tulisan 32 wartawan dan penulis terkemuka termasuklah sean wilsey, nick hornby dan eric schlosser itupun membanyangkan ia hanya ditujukan untukpara peminat bola sepak yang mahu berfikir

Soalnya, apabila wisel berbunyi untuk sepak mula, siapa yang mahu berfikir apa-apa selain menikmati sekali lagi, meminjam kata-kata pele sebuah permainan yang indah?.


P.E.R.M.A.I : bola oh bola..

Ep 34 : Makna Lain Bola Sepak

salam.

Inilah yang Permai janjikan. Satu petikan mengenai bola sepak yang dah lama Permai simpan..terima kasih kepada hikmah, kamilah, saiful dan ali yang sudi menjadi tukang taip untuk memindahkan artikel daripada helaian utusan mingguan kepada softcopy...touche..


MAKNA LAIN BOLA SEPAK

OLEH NOOR AZAM SHAIRI

Kematian Presiden Ivory Coast , Felix Houphouet Boigny pada tahun 1993 selepas memerintah selama 30 tahun telah mencampakkan negara Afrika Barat itu ke lubuk krisis politik yang cukup dalam. Kemuncaknya ialah perang saudara sehingga membelah negara itu kepada dua, antara orang Islam di utara dan masyarakat Kristian di selatan yang menyokong Presiden Laurent Gbagbo. Tetapi sejak skuad gajah itu layak ke Piala Dunia pada Oktober 2006, rakyat negara itu tidak lagi memikirkan tentang krisis politik tetapi sebaliknya bola sepak.

Apa yang menariknya ialah para pemain sendiri yang terdiri daripada orang islam dan kristian yang mahukan konflik itu dihentikan dan rakyat kembali bersatu. Mereka bertanya apakah ertinya layak ke piala dunia tetapi negara porak peranda kerana perang saudara?

Inilah keajaiban bola sepak yang mempunyai kuasa sebagai penyatu. Keajaiban seperti inilah yang barangkali mendorong bekas Menteri Luar Jerman, Joschka Fischer mengisytiharkan dalam kata pengantarnya kepada analisis Goldman Sachs bertajuk The World Cup And Economics 2006 bahawa apabila temasya empat tahun sekali ini bermula “bola sepak akan menjadi simbol dunia yang bersatu”.

Walaupun bola sepak diakui mempunyai kuasa sebagai penyatu ,sejarah bagaimanapun mencatatkan ia juga boleh dan pernah menjadi pencetus kepada perang .

Itulah yang berlaku misalnya dalam perang enam hari antara El Salvador dan Honduras pada tahun 1969 ,krisis yang memuncak rentetan daripada rusuhan semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 1970 antara kedua-dua negara.

Itulah juga yang berlaku dalam perang di negara yang dulunya dikenali sebagai Yugoslavia pada tahun 1990-an. Perlawanan antara pasukan Serb, Red Star Belgrade dengan pasukan Croat, Dynamo Zagreb yang dibatalkan kerana rusuhan antara penonton pada Mac 1990 dilihat menjadi simbol permulaan perang itu.

Malah Ketua Kelab Penyokong Red Star Belgrade, Zeljko Raznatovic yang lebih dikenali sebagai Arkan memainkan peranan yang bukan kecil dalam perang itu. Dialah yang membentuk dan mengetuai pasukan pengawal Serb yang terlibat dalam pembersihan etnik bukan Serb, yang tukang-tukang sembelihnya kebanyakkannya terdiri daripada ahli-ahli kelab penyokongnya itu.

Jadi dengan kuasa yang ada padanya sebagai penyatu dan sekali gus pemecah, bolehkah bola sepak dilihat sebagai hanya satu permainan?

Jawapannya tentulah tidak. Bola sepak mempunyai maknanya yang tersendiri yang jauh lebih besar daripada definasi pertembungan skil dan kretiviti 22 orang pemain berebutkan sebiji bola untuk dimasukkan ke gawang lawan di atas sebuah padang berukuran 110 meter dan 75 meter dalam dua separuh masa masing-masing sepanjang 45 minit dengan rehat 15 di antara kedua-duanya.

Kepada Jerman sendiri misalnya, bola sepak khususnya Piala Dunia 1954 adalah pentas yang meletakkan kembali negara itu ke tengah-tengah masyarakat dunia selepas ia terpecah teruk, runtuh dan musnah kerana Perang Dunia Kedua.

Bola sepak bukan hanya satu permainan semata-mata. Hal ini diungkapkan dengan baik oleh bintang bola sepak, Diego Maradona semasa mengulas perlawanan bersejarah antara Argentina dengan England pada suku akhir Piala Dunia 1986, perlawanan yang dikenang barangkali kerana gol ‘tangan tuhan ‘atau gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia, atau barangkali juga kedua-duanya sekali.

Kepada rakyat Argentina, perlawanan itu mempunyai makna yang cukup besar kerana itulah pertemuan pertama pasukan mereka dengan England sejak perang Fralkland 1982. Dalam biografinya, el diego, Maradona menceritakan bagaimana dia begitu mahu, sangat terdesak sebenarnya, melihat England tewas sebagai membalas kekalahan Argentina dalam perang itu.

“Kami tidak memikirkan tentang hal lain selain Falklands. Kami tahu ramai anak-anak muda Argentina mati ditembak seperti burung.

“Ini bukan tentang mengalahkan sebuah pasukan bola sepak tetapi lebih daripada itu, mengalahkan sebuah negara,” tulisnya dalam buku itu.

Itulah juga yang dirasakan oleh para pemain Belanda dalam Piala Euro 1988. Kemuncak kegembiraan mereka bukanlah apabila menjuarai piala itu dengan mengalah Russia tetapi semasa mengalah Jerman pada peringkat separuh akhir.

Malah dalam bukunya, How Soccer Explains The World: An (Unlikely)Theory Of Globalization,Franklin Foer berhujah bagaimana dendam Belanda kepada Jerman yang berakar sejak Perang Dunia Kedua semacam terbayar apabila Frank Rijkaard meludahi Rudi Voller dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 1990, bukan sekali tetapi dua kali.

bersambung....

P.E.R.M.A.I : sambungannya permai akan post kemudian sikit eh..tq

Ep 33 : Itu botak sudah mari..

Lepas anak-anak kecil merengek kepada ibu bapa minta dibelikan raket dan shuttle kerana mood Piala Thomas bulan lepas, percayalah cakap Permai pasti bulan ini rengekan untuk mendapatkan bola dan kasut bola pula yang kedengaran. Seronok juga berpesta begini sebenarnya..maka apa perlu lesen judi halal untuk memeriahkan bola sepak?. Apa relevansi dari aspek ekonomi untuk membenarkan judi yang mendapat lesen bagi membanteras judi yang tidak berlesen?. Memalukan sahaja tiba-tiba merayu pula supaya sama-sama membantu mengawal judi tidak berlesen sempena Piala Dunia 2010 ini. Tak habis-habis nak kayakan orang yang dah kaya dan memiskinkan orang yang dah miskin.

Bola sepak selalu buat Permai teringatkan Ustaz Ghufran, beliau sangat anti bola sepak. Pada beliau bola sepak permainan yang tak cerdik. 22 orang pemain mengejar sebiji bola dan apabila ‘dapat’ bola tersebut, disepak pula. Tak mengapalah, setiap perkara ada pro kontranya..setiap orang ada minat dan kegemaran masing-masing..setiap orang berhak menyatakan pendapat cuma dilarang melampau ja.. sebab tak semestinya idea kita betul..

Permai ada simpan satu artikel yang best tentang bola sepak dan Piala Dunia khususnya. Nanti Permai akan post dalam episod akan datang eh..insyaALLAH..


Sokong sapa Piala Dunia kali ni?..lucu betul adik Permai, dia beria-ia nak sokong Malaysia dalam kempen Piala Dunia… tak dapat la dik oii..

Penting ke Malaysia dapat masuk Piala Dunia ke tak? Mesti la penting.. Malaysia kan selalu hebat…hehehehe

Pada Permai, yang penting bukan masuk atau tak..yang penting kualiti masyarakat akan semakin baik..itu aje..

P.E.R.M.A.I : Sokong Hijau Kuning..

Ep 32 : Showdown

Salam.

Dah lama tinggal zaman tergila tengok orang pakai baju gedabak, layan break dance, menari tak kenal atas bawah, cakap & nyanyi laju-laju sampai tak faham, tak kenal butir…datang dengan pakej gaya badan tersenget sana terbalik sini..tapi masa dok layan menda tu rasa macam cool apa..hehehe

Balik cuti kali ni dapat tengok program realiti tv Showdown 2010 kat 8tv.. memang tak tahu apa faedahnya...tak pulak mengundi dan memang sah-sah tak ada kenalan pun yang masuk pertandingan tu, cuma tengok aje..padahal apa pun tak faham pasal seni koreografi..pandai-pandai aje komen tarian orang tu cantik, ada can nak menang la, ada potensi dan bakat la..(@,@)



Permai cuma bagitahu je pada seorang teman yang Permai sedang menonton program showdown 2010 tu, tiba-tiba bersemangat pulak dia ‘sound’ Permai..punya panjang bincang sampai dia pesan ‘jangan bagi anak tengok rancangan macam tu..jangan bagi belajar benda macam tu..tak ada apa faedah..tengok pun dah semak perut..’ hahahaha…amboi, pesanan dan amaran dia..memang tak bleh handle!...

Lagi la seronok Permai menggiat..’kalau ada kenal mana-mana guru yang boleh ajar breakdance bagitahu la…Permai nak hantar anak ke sana..belajar ni elok berguru..’ hahaha

Teruk sangat ke segala benda berkaitan b.boyz ni..?entah la..tapi ramai aje yang jadi manusia walaupun join benda ni..ramai je yang Permai kenal macam tu. Cuma, apabila bersangkut dengan persepsi..ia jadi negetif pulak..ada banyak perkara kat dunia ni yang jadi negetif semata-mata kerana persepsi..

Teringat watak AO dan Edina dalam Versus..menentang kehendak sendiri untuk baiki diri..mencari dan membentuk ikhlas dalam diri sebab tahu hidup ni bukan ada saya, keluarga saya dan kawan-kawan saya aje. Tak kata orang lain tak baik..tapi sedar diri sendiri tak puas dengan hidup sebagai manusia yang tak faham tujuan sebenar kejadian alam semesta dengan segala isinya ni.. Pointnya bukan semua orang yang masuk group macam ni adalah orang yang tak ada masa depan, geng ni dah rosak akhlak dan akidah ke apa..cuma belum jumpa apakah keutamaan lain. Maka, memandang mereka dengan jelek bukanlah langkah yang tepat.

Semoga kita menemui jalan yang baik dan benar dalam mendidik anak-anak..kerana menjaga kandungan dah sepasal perkara sukar, lahir je nanti lagi rencam kesukaran mendatang dengan persekitaran yang tidak membantu.. susahnya hati ibu bapa sekarang..marilah kita jadi anak yang baik untuk mereka.

P.E.R.M.A.I : Permai gurau aje, tak perlukan pun guru nak ajar anak Permai menari..menakutkan betul..