Ep. 83 : Abah

Assalamualaikum & Salam sejahtera.

Seminggu sebelum akad nikah, tunang Permai hantar Short Massege Service (SMS) yang agak panjang sehingga terpotong-potong mesejnya.  Ketahuilah...kalau Encik Damai yang super senyap tu berpesan, tentulah ini perkara serius. Jujurnya, Permai suka ketawakan Encik Damai yang 'mat skema' dan Permai sengaja mencari pasal supaya dia bercakap lebih sikit. Tapi apabila dia sendiri yang mula 'bercakap' panjang ni..macam takut la pulak..

Encik Damai berpesan supaya sentiasa bertahan dan tetap tabah serta buatlah persiapan sebaiknya untuk menghadapi ayahnya, bakal bapa mertua Permai. Perkara pertama yang Permai buat mestilah ketawakan pesanan itu. hahahahahaha.. 

Selalunya ibu mertua kan yang lagi menakutkan? apalah mengusik orang dengan modal ayah ni..

Kemudian, makin banyak pulak pak cik sorang ni berpesan..

aiii..ini sudah boleh mencipta cuak..

Permai pun ada ayah la..biasa la kan kita selalu takut kat ayah? Ayah balik je semua lari ambil tuala, berebut nak masuk mandi..padahal ibu dah berbuih mulut mengingatkan dari awal kan? 

Ni bukan pasal takut la Permai..ni pasal persediaan mental untuk masuk dalam keluarga orang lain..

errr...tu bukan menakut-nakutkan orang ke Encik Damai? tak apa lah..pejam mata, fikir positif..tapi sebenarnya pesanan itu sentiasa mengusik tenang Permai.

Mengenali abah..Permai ada rasa bercampur-campur. Abah lelaki yang amat Encik Damai kasihi. Abah berperwatakan tangguh, abah terus maju setelah lama berjeda dalam fikir-sifir yang dalam. Abah bekas guru matematik yang amat masak dengan pengalaman. Abah yang mahir dengan pelbagai juadah menu, merasa penuh kearifan. Sangat banyak yang Permai pelajari dari cakap-cakap dan kerja buat abah. 

Di mata kita, keputusan abah banyak yang tak betul. Tapi, menyanggah abah perlulah halus berseni. Bukan untuk mengubah abah..tapi untuk kita bertenang sendiri. Di hati kita, cakap abah banyak yang melukakan. Tapi di hati abah tidak satu pun aksara untuk membuat musuh. Kita katakan itu ego, abah rasakan itu ilmu. Kita fahami itu nanti, abah telah menjadikan itu sekarang. Sukarnya mengenal abah..kerana dia seorang lelaki yang puas dihentam badai susah, senang, marah, bengis, nasib, sakit dan sendiri. 

Abah yang sering cuba mengambil hati menantu sulungnya dengan pelbagai kata puji. Abah yang kadangnya mengusik hati anak isteri menantu cucu dengan reaksi sukar dimengerti. Abah yang menjaga keluarganya dengan pelbagai jangkaan terburuk. Abah yang mengawasi tiap gerak isi rumahnya walaupun dalam gelap pandangannya. Tuhan..berilah lelaki ini sebaik-baik balasan atas baiknya dia mengajarkan aku erti menjadi keluarga.

P.E.R.M.A.I : Permai tak kan pernah sekasut dengan abah.

Ep. 82 : Menggantung hati

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Baru-baru ni kerap baca~suka~kongsi status Tere Liye tentang rokok. Rokok ni satu benda yang pelik tau..ramai orang tahu ia haram-tak elok untuk kesihatan-bahaya tapi ramai juga yang merokok. Permai pernah cuba hisap rokok, sebelumnya sudah diperingatkan bahawa rokok ni tak sedap.. rasa asap sahaja.. cuba dulu rokok daun.. jangan dibakar rokok kertas tu..mahal tu harganya.. 

sedutan pertama batuk, sebab telan asap.
sedutan kedua sakit hidung sebab asap naik ke sana.
sedutan ketiga tak ada apa-apa, api dihujung tu terpadam.

Semalam Permai sembang dengan En.Damai tentang kawan-kawan yang merokok, tentang status ustaz tetapi merokok, tentang guru disiplin yang menghukum pelajar merokok sedang masa senggangnya dia pun merokok dalam kawasan sekolah. Biasa sahaja mulut Permai ni menista orang lain waktu bercerita.

"Abang takut kalau suatu hari nanti abang merokok juga"

"Kenapa??" tak percaya En. Damai akan keluarkan kenyataan macam tu..

"Yalah, mungkin akan terpengaruh dengan kawan-kawan..mungkin kita sedap ja mengata orang merokok..jadi ujian kat kita pula.."

"Nauzubillahi min zalik.."

Ya, Permai..tolong sedar! Hidup ini penuh dengan ujian yang tak ada satu pun boleh menjamin kita melepasinya dengan selamat tanpa bantuan Allah. Segala dugaan harta, keluarga, ilmu, sikap dan sebagainya satu persatu akan bertali arus mengasak kita. Tinggal doa-doa kita sebelum, semasa dan selepas diuji itu bakal menguatkan kita. Juga doa sesiapa sahaja yang Allah pilih untuk kabulkan walaupun dia meminta bagi pihak orang lain. Tinggal harapan adanya balas baik dan buruk yang buat kita bertahan teguh mendepani dugaan. Hanya padaNya lah kita menggantung hati.

P.E.R.M.A.I : kita tak boleh pilih nak diuji dengan apa..tapi kita boleh pilih untuk hadapinya sehingga habis..