Ep. 69 : Masjid Asy Syarif

Assalamualaikum.

Seorang pensyarah yang dulunya seorang guru pernah ceritakan. Sewaktu pertama kali 'posting' mengajar tahun 1988, beliau ditempatkan di Kuala Selangor. Ibunya di Kelantan berpesan untuk beliau tuju ke dua tempat penting dan cari dua orang penting. Ke masjid mencari imam, ke rumah penghulu mencari ketua kampung. Begitulah, kita tak harus berpisah dengan masyarakat. Begitulah, Hari-hari pertama di Meru, banyak masa yang Permai & En.Damai habiskan di Masjid Asy syarif.



Masjid ini bangunan ikonik Meru. Terletak di tepi jalan selepas simpang empat utama Pekan Meru, tentu sekali Masjid Asy syarif adalah tumpuan Permai & En.Damai untuk memulakan hidup di sini. Kami bersantai di ruang legar antara bilik-bilik yang ada di dalam masjid. Kami sedang akses internet menggunakan khidmat jalur lebar percuma masjid untuk mencari rumah atau bilik sewa sekitar Meru, Klang di laman sesawang.

"Maaf, apa hubungan kamu berdua?, tak elok buat macam ni..tambahan dalam masjid pula.."

Wah, gugupnya ditangkap begini!!

"Kami suami isteri.." Lalu, dihulur kad akuan nikah. Mujurlah En. Damai beriya minta Permai cepatkan permohonan kad tu. 

"...kami sedang mencari rumah sewa.." Begitu En. Damai menyambung. Permai dah jadi patung cendana. Malunya kena tangkap dok berbincang-bergelak-bersembang berdua-duaan macam ni..

"Oh..masjid ada rumah wakaf..tapi baru je orang menyewa masuk..Meru ni ada banyak rumah sewa..tapi cepat je orang sambar kalau tahu ada rumah sewa kosong.." Hubungan kami & masjid menjadi cair dan akrab dengan permulaan begitu. Aduhai, indahnya..

Tapi kan..kasihan En. Damai tu..selain kena tangkap basah, dia pernah kena tangkap kering juga oleh AJK Masjid. Kisahnya, dia menumpang tidur di Masjid kerana waktu tu Permai menyewa bersama 2 orang anak dara. Tentu sekali membawa lelaki masuk ke rumah adalah suatu larangan mandatori. Jadi, En. Damai pilih tidur di masjid. Sudahlah dihurung nyamuk, elok sahaja mata dapat lelap, dia dikehendaki masuk ke bilik khas untuk diambil gambar manakala kad pengenalannya disimpan sementara untuk keselamatan dan langkah berjaga-jaga pihak masjid.

Hari-hari berikutnya, kami kerap ke masjid ini kerana ia makmur dengan kuliah daripada bintang ternama dalam kalangan pengkuliah selain ada pelbagai program yang konsisten dan mesra, jemaah pun ramai. Seronoknya kuliah pagi sabtu ~fiqh siyasah, sementara menunggu aktiviti kokurikulum bermula. Boleh santai mendengar kuliah di pondok wakaf sambil makan nasi lemak.

Bulan ramadhan, seperti kebanyakan masjid juga, Masjid Asy Syarif raikan orang berpuasa dengan agenda kuliah iftar- iftar jamaie - solat jemaah - kuliah. Permai selalu dibawa ke sini. Di sini Muhammad Thaqif & Muhammad Hafiy dikenalkan dengan masjid dan adab-adab hidup. Pelajaran yang sangat penting untuk mereka. 

Permai pernah datang buang sampah di masjid ini. Minyak masak terpakai dan  bahan-bahan yang boleh dikitar semula boleh dihantar ke sini.

Permai akui, waktu pertama kali terserempak dengan YB Dr. Rani (adun Meru) di sini, terujanya lain macam. Kemudian, kawan-kawan dan En. Damai sahkan yang YB memang selalu imamkan solat jumaat atau solat fardhu lain di Masjid Asy Syarif ini. Jadi, mereka kata..tak ada apa nak terujanya..pemandangan biasa.

Baiklah...
biasa sahajalah ketua menjadi imam solat..

Jadi,
biasa- biasakan lah ye..


Sebenarnya, sekitar masjid Asy Syarif ada banyak masjid dan surau. Separuh Persiaran Hamzah Alang sahaja dah ada tiga surau. Inilah yang seronoknya tinggal di Meru, panggilan azan itu sahut menyahut. Tinggal lagi, kita akan menjawab seruan itu dengan segera atau tangguh?sendirian atau berjamaah?.

Ep. 68 : perjalanan masih jauh.


Permai memandu menuju ke klinik. Alhamdulillah dapat petak parking yang dekat sahaja dengan pintu masuk, tak perlu menapak jauh. Masuk dalam ruang menunggu, Alhamdulillah orang tak ramai hari ni. Tapi, lamanya menunggu..tak dipanggil. Permai asyik pandang jam sahaja. Dari pukul 9.30 pagi hingga 12.20 langsung tak ada pesakit lain yang datang. Tapi Permai masih belum dipanggil berjumpa doktor. 12.25 nombor giliran bergerak, sekarang masanya untuk Permai jumpa doktor.

“Maaf ye puan, kami dah nak rehat ni. Saya bagi puan ubat,makan ikut peraturan. Kalau masih tak ok, ubat ni boleh dapatkan di farmasi. Tapi harapnya cepat baik.”

Haaa?? Itu je?..hmmm ok la..sekurang-kurangnya dah boleh balik, tak perlu menunggu lagi dah.

Lalu Permai keluar menuju ke tempat letak kereta yang sudah lengang. Ya Allah! Kereta hilang. Tak ada di petak parking tadi. Malah tak ada langsung kereta yang lain.

Ya ALLAH..tu bukan kereta Permai tu..kereta pinjam sahaja..macam mana nak menjawab nanti?. Aduhai…tolonglah..jangan hilang sekarang..waktu tengah sesak nak pakai duit untuk perkara-perkara lain. Geramnya kat diri sendiri. Tak habis-habis fikir, aku ke yang cuai? Aku ke yang silap letak?.

Sedihlah macam ni..

Permai pergi ke pondok pengawal, ada 3 orang yang berpakaian uniform dan seorang lagi berbaju biasa sedang berbual-bual. Masing-masing dengan selamba beritahu tak perasan  ada kereta saga warna perak di sini. Permai minta nak tengok CCTV. Sakitnya hati mendengar jawapan..

“itu hiasan je..untuk takutkan pencuri ke petugas ke..”

“buat laporan polis sahajalah..tapi puan kena tahan la..entah bila kes boleh selesai..”

“eh..ada ke kes yang selesai?” disambut ketawa beramai-ramai.

“nak kami cari pun boleh. Kami ada satu kamera yang ok..tapi ada bayar sikit la..sikit bayar..sikit tengok”

Permai cepat-cepat semak dompet..RM6..

“hmmm..tak apalah  saya tengah tak ada duit ni..”

Matahari pukul 1.30 faham sahajalah..nak minta tolong siapa ni?. Telefon bimbit pula tertinggal dalam kereta tadi.

Geramnya..letihnya..

Permai berjalan rentas sebuah sekolah. Ada sekumpulan pelajar yang sedang leka dengan gajet masing-masing. Permai tanyakan arah ke hentian bas atau telefon awam. Di jawab tak tahu tanpa angkat muka sekilas pun. Oh aduhai…

Teruskan lagi perjalanan, rentas sebuah taman yang sedang dalam pembinaan. Pokok-pokok pun belum betul ‘masak’ lagi..kering sahaja..

Tiba-tiba terdengar suara kanak-kanak menangis, Permai segera berlari mencari arah suara tangisan tersebut. Kelihatan dua orang kanak-kanak sedang bertangisan sambil sibuk cuba menutup satu punca air. Oh, terowong air macam bermasalah. Permai cepat-cepat arahkan mereka lari dan cuba dapatkan bantuan. Air semakin kuat menolak tanah. Rasanya memang tak tertolong lagi dah. Permai hampir tertimbus dalam tanah berlumpur.

Permai terjaga.
Alhamdulillah Cuma mimpi..
Mana ada doktor yang lalai dalam kerjanya..
Mana ada pengawal keselamatan yang culas dan buat tak bena sahaja..
Mana ada pelajar sekolah yang kurang ajar..
Mana ada kontraktor buat kerja halai balai
Tak ada semua tu kecuali dalam mimpi..


P.E.R.M.A.I : bukan main..mimpi pun tentang isu integriti.