Ep. 96 : Tentang Dhiya

 Assalamualaikum & selamat sejahtera.


Wow, buku ketiga bagi tahun 2022! Tahniah Permai (tangan atas bahu).




Buku ni sebuah novel karya Syud, terbitan Jemari Seni pada tahun 2008. Lama dah..ni sebenarnya Permai ulang baca dan terus buat entry untuk blog..barulah nampak macam banyak membaca dan rajin menulis. Hahahaha.


Tentang Dhiya adalah tulisan awal Syud, tapi masa tu Permai 'tak kenal' sangat Syud. Jadi, Permai tak beli, cuma baca juga dalam kalut-kalut sebab pinjam buku kawan lepas dah siap hantar FYP. Kawan tu pulak dah bersiap-siap nak balik Pahang. Setiap kali baca blurb promo dalam novel-novel Jemari Seni (JS), Permai 'dihantui' kelabu-samar-samar ~aku pernah baca cerita Azril + Lisa ni, tapi tak ingat la macam mana jalan ceritanya. Yang pasti Permai menangis waktu baca cerita tu. Sebab masa tu tengah handle kes kawan yang putus cinta.


Tentang Dhiya hak milik sendiri ni Permai beli prelove tahun 2017. Masa tu dah mula 'kenal' Syud lepas suka sangat dengan cerita Pelangi. Dah mula cari karya Syud yang terbit bersama JS. Permai sengaja tinggalkan buku ni kat rumah mak En. Damai sebab konon boleh baca sambil bercuti. Kali kedua baca pun menangis jugak sebab masa tu ada isu dengan adik. Permai perlukan sebab untuk menangis tanpa buat orang lain bimbang. Jadi memang tak lekat dalam ingatan cerita ni tentang apa. Kemudian terjadilah segala PKP-PKPB-PKPP-PKPD.


2022 ni rasa nak ulang baca, dengan niat nak cuba ingat dan ambil pengajaran. Hahahaha..tak sangka menangis jugak sebab tiba-tiba demam dan tak boleh tidur. Sambil layan part sedih ceritanya, sambil menangis sebab sejuk tak dapat tidur.` Tapi kali ni dapat pin beberapa point jalan cerita dan macam biasa, suka dengan cerita Syud yang simple je.


Oklah, Permai je kot yang rasa simple. Macam cerita Permai. Rasa macam simple je..tapi En. Damai dia kata "Banyak la simple..punya pening dan berliku-liku nak hadap". Hahahahaha


Permai suka cerita-cerita Syud sebab latar tempatnya Negeri Johor dan Permai tak pernah pergi Johor. Selain tu, Permai perasan selalunya ada kisah tentang kasut atau jam tangan. Permai sejenis orang yang susah nak pilih kasut dan jam. Kasut ni baca cara orang Kedah, iaitu semua yang dibuat alas kaki tu adalah kasut. Kalau nak kena beli kasut baru, aduh susahnya hati. Kadang-kadang untuk pastikan Permai tak menyusahkan orang yang teman beli kasut, Permai main pick & go je walaupun hati tak berapa bulat. (Errr..pick & go tu mungkin lepas dah beberapa kali ukur banyak kedai.)


Antara scene kasut dalam Tentang Dhiya ni bila Lisa sanggup jalan kaki ayam sebab kasutnya sangat menyakitkan kaki even sebelum tu Azril baru bercakap tentang cincin tunang. Comel. Tak ada nak control ayu ke apa. Permai setuju sangat dengan idea ni, bahawa kasut yang selesa lagi penting dari rupa tau.


Cerita Azril + Lisa ni tentang penyembuhan dan masa, ada banyak masalah dalam hidup ni yang mengambil masa untuk sembuh. Kadang seiring masa yang bergerak, kita sebenarnya sedang sembuh dari kesakitan lalu. Mungkin tak betul-betul lega, tapi sedikit demi sedikit kita lepaskan beban fikiran tu dan jadi lebih tenang.


P.E.R.M.A.I : Secara peribadi, cerita Azril + Lisa duduk bawah sikit daripada Usamah + Iman. Tapi membaca Tentang Dhiya ni buat Permai rasa nak buat peta pokok atau gambar rajah venn kaitan antara semua watak dalam novel-novel Syud.

Ep. 95 : Namanya Ali

Assalamualaikum & salam sejahtera.


Ali memang nama yang biasa untuk sebuah cerita rekaan. Ali, Abu, Ah Meng, Raju, biasa. Tapi bagi kami, anak-anak Cikgu Mad, watak Ali bukan rekaan, bukan biasa sebab dia ada kelainan. Sewaktu Permai dalam fasa bertunang, Permai perkenalkan kepada En. Damai kami 10 beradik via SMS. Permai tulis " Yang ke lapan namanya Ali. Dia istimewa". Lalu En. Damai yang baik hati itu menjawab dalam jawab "Hebatnya keluarga awak ada anak istimewa, boleh rasa aura bangga bukannya rendah diri bila awak perkenalkan Ali". Kahkahkah.


Ali istimewa, dia malas pergi sekolah, tapi scorer. Dia senyap sahaja, tapi debater. Permai jarak 13 tahun dengan dia, jurang generasi tu ada, tapi cepat Ali tutup dengan topik-topik dewasa yang dia kuasai sejak kanak-kanak. Sebab tu dia boleh sembang dengan kawan-kawan Abi dengan mudah tanpa canggung tapi masih beradab sesuai budaya dan amalan kebiasaan kita.


Ali minat membaca dan bacaannya cepat tercerna menjadikan pemikirannya mendahului umur dan membentuk seorang Ali yang berkeyakinan tinggi. Oh, kadang terlalu yakin..sehingga dia lupa dia masih amat mentah. Permai sebagai kakak, tiada rasa berat hati melepaskan Ali ke mana-mana. Dia sungguh boleh diharap dan jenis yang boleh hidup walaupun dia asalnya dia orang yang memilih makanan. Tapikan hidup ini bukan tentang makan sahaja. Justeru, niat Abi mahu kirimkan Ali ke Tanah Besar China ketika usianya belum remaja memang masuk akal. 


Ketika penerbitan buku alternatif sedang mekar, Ali masuk scene dengan nama rekaan yang memgundang tarikan katanya. Permai mendapat faedah dengan kiriman buku-buku segar dari pelbagai rumah penerbitan yang menjadi 'kawan-kawannya'. Ali bermurah hati hantar kotak-kotak berisi buku pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur untuk kami adik beradiknya. Waktu itu, Permai sudah tahu yang Ali bukan lagi untuk kami sekeluarga sahaja. Dia sudah bergabung dalam masyarakat, malah sudah menyalin gaya Abi yang harus kerap menjawab panggilan telefon, lalu Permai tinggal mengintai-intai sahaja lewat media sosial. 


Khabar Ali selanjutnya diterima daripada ummi yang lebih kerap dihubungi Ali berbanding Permai, kakaknya. Tak mengapa, asal dia baik-baik sahaja, asal dia masih adik kami. 


Tentulah dia tetap adik Permai.


Mengenang Ali kini tidak lagi mengundang senyum atau dekah. Fikiran serta merta jadi berat dan seperti ada satu pisau tajam menghiris hati Permai. Risau bercampur marah, kasihan bercampur hiba, rindu bercampur hampa.


Ali ditahan di penjara.

Harapnya sementara. 

Kerana memang semuanya sementara.


Semoga dipertemukan dengan orang yang baik. 

Kerana orang yang baik ada di mana-mana.

Kerana semua orang asalnya baik.

Kerana semua orang layak menjadi yang terbaik.


P.E.R.M.A.I : Dia tetap adik Permai. Di luar penjara atau di dalam penjara.

Ep. 94 : Madinah Takkan Rebah

 Assalamualaikum & salam sejahtera.


Buku kedua yang dibaca tahun 2022. #PositiveVibe Semoga berlama-lama la mood membaca ni, semoga berlama-lama lah mood membuat resensi. 



Bab 1 hingga 6 mengalir air mata Permai kerana rasa hidup sangat jalan ceritanya. Kisah detik-detik akhir Rasulullah sebelum menghembuskan nafas.  oh, indahnya menatap kisah 'comel' keakraban para sahabat. Duhai tentulah..mereka diiktiraf sebaik-sebaik generasi. Duhai..Sayu sungguh hati apabila masing-masing mahu beri yang terbaik untuk Madinah. Bagi Permai secara peribadi, buku ini beri sisi pandang baharu kepada Ansar yang selama ini membawa watak 'orang yang membantu Muhajirin'. Bahagian mereka kehilangan kuasa atas tanah air mereka semata-mata kerana mahu islam dijulang tinggi itu oh Ya Allah sangat meruntun jiwa. Sebuah muhasabah akan peri hidup kita. 


Buku ini disampaikan dengan santai sahaja dalam bentuk novel. Namun dengan paparan nama para sahabat dan nilai mereka, buat Permai jadi 'berat' kerana rasa kagum dengan mereka semua. Kagum ni beban tau sebab kita akan terdesak untuk mengikut atau mencontohi mereka dalam hidup seharian kita. 


Madinah Takkan Rebah ditutup dengan air mata ketika Saidina Abu Bakar mengangkat anakanda Saidina Ali lalu berseloroh. Air mata gembira dan syukur atas keluasan hati hasil didikan Murabbi terbaik sepanjang zaman. Air mata syahdu kerana masih terlalu jauh Permai dan para sahabat.


P.E.R.M.A.I : Betapa ketika hidayah menyapa, perkara lain sama bertukar menjadi indah. 

Ep. 93 : Leaving Microsoft to Change the World

 Assalamualaikum & salam sejahtera. 


Tahun baharu 2022 Permai sambut dengan keserabutan perihal tempat kerja yang mungkin bertukar tapi tak tahu ke mana. Kami adik beradik juga sedang cari rumah baharu untuk ummi yang mesti kosongkan rumah sekarang secepat mungkin. Situasi kelabu seperti ini buat tidur Permai terganggu dan badan terasa lesu.



Membaca leaving microsoft to change the world setelah seminggu mengharungi rutin baharu ini sangat membantu Permai. Buku ini berada dalam checklist hampir setahun kerana mengutamakan buku-buku lain disamping rasa geram dengan penguasaan bahasa inggeris Permai yang terhad sehingga kerap kali buat semangat membaca buku yang bagus-bagus merudum teruk. Mujurlah ada yang sudi terjemahkan kepada edisi bahasa melayu dan ada yang sudi terbitkan. Untuk itu, Permai dahulukan dengan setinggi-tinggi penghargaan.


Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan, Permai tentu sekali amat bersetuju bahawa pendidikan adalah alat penting membina masyarakat dan membaca pula adalah tunjang utama dalam pendidikan. Justeru buku ini menimbulkan rasa syukur atas peluang yang terbentang buat Permai untuk menghidupkan pendidikan walau apa cabarannya. Bahagian yang paling menyentuh Permai adalah apabila wujud satu permintaan untuk mendapatkan bantuan daripada Room to read, John Wood segera mengatakan 'ya' walaupun belum pasti bagaimana mahu memenuhi permintaan tersebut. Keinginan beliau untuk memberikan sesuatu dalam pembangunan dunia yang lebih baik tu..cikgu-cikgu sangat. Permai faham perasaan tu..


Bonus untuk buku ini ialah kerana John Wood adalah bekas eksekutif Microsoft. Budaya kerja cemerlang, mengutamakan kejayaan dan pengurusan pintar telah membentuk Room to read menjadi relevan dalam dunia kerja amal. Aktivis dan para sukarelawan boleh mengambil beberapa 'petua' yang diberikan penulis, antaranya:

1. Akauntabiliti

2. Berorientasikan data

3. Setia kepada pekerja

Paling penting, terus buat apa yang dirancang dengan apa yang ada di tangan. Jangan tunggu sehingga terganggu dan akhirnya gagal berbuat apa-apa. Sudah tentu tips ini bukan untuk NGO, tapi untuk Permai sendiri amalkan dalam hidup.


Leaving microsoft to change the world menghantar ingatan Permai ke suatu hari sabtu 12 tahun yang lalu ketika Permai sedang mengedarkan brosur tentang projek wakaf buku untuk sebuah rumah perlindungan wanita. Projek bagi menjayakan tugasan subjek Ekonomi Wakaf meminta Permai si gadis 21 tahun turun padang ke segitiga emas Kuala Lumpur bagi membuat penerangan sambil memohon sumbangan. Sungguh satu pengalaman mahal. Selesai menghantar buku ke sana
, Permai tahu kerja mengajak orang menyumbang dan menggalakkan budaya membaca ini ada tempat yang istimewa di hati Permai.


P.E.R.M.A.I : Mari kita buat perubahan, walaupun kecil pada kita, mungkin besar maknanya bagi orang lain.