Diari Budak Pondok 1995 (5)

 Lima 

Dalam kelas jahitan tahun ini, kami belajar pelbagai jenis jahitan. Ada yang namanya jelujur, mata ikan, silang pangkah dan sebagainya. Tugasannya, setiap pelajar kena sediakan sehelai saprah mengikut kreativiti masing-masing melibatkan pelbagai jenis jahitan tersebut. Aku sebetulnya tak suka dengan tugasan ini kerana aku tahu kerja tangan bukanlah kebolehanku. Aku ada masa setahun untuk siapkan sehelai saprah, nanti aku fikirkan bagaimana nak buat. Mungkin boleh buat gaya tampalan macam yang Mak Ngah buat untuk telekung yang dijualnya. Mungkin tak keterlaluan untuk aku minta sekuntum bunga 4 lapis itu untuk diletakkan di atas saprahku. Oh, mungkin baik juga kalau aku minta Mak Ngah yang buatkan motif untuk tugasan ini nanti.

Aku pulang sendirian hari ini kerana sebaik selesai solat zuhur tadi Ustazah Fatimah minta aku tolong beliau meletakkan tanda pada buku tulis murid kelas 6 ibtidaiyy. Hari ini ahad, sepatutnya ada kelas jahitan, tapi dibatalkan. Kerana itulah Ustazah Fatimah minta aku menolongnya dah alang-alang kelas jahitan aku tak jadi. Lega juga kelas batal kerana sepatutnya hari ini aku dah kena tunjukkan barang-barang untuk buat saprah yang tak sempat aku sediakan. Aku malu nak minta barang-barang itu pada Tok, apatah lagi pada ibu. Aku bercadang nak guna sahaja kain putih lama yang tok dah tak guna dalam almari besar tu, dah naik kuning pun kain tu, tentu tok akan izinkan aku ambil. Balik ni aku akan terus minta. Benang dan jarum tak apa, guna sahaja yang mana ada, beli benang cap badak di kedai Ramli nanti baru 5 kupang satu. 

Ketika melintas rumah Amirah, dia gamit aku dengan bersungguh-sungguh ajak singgah. Aku asalnya tak mahu, aku sangat lapar kerana belum makan tengahari walaupun dah pun pukul 4 petang. Namun Amirah dah tarik tangan aku sambil tunjukkan sepinggan kuih kaswi.

“mujur kelas jahitan batal kan hari ni..” Amirah ni pernah sekelas denganku dalam 3 ibtidaiyy, tetapi dia tak dapat naik ke 4 ibtidaiyy bersama-sama kerana gagal untuk mendapat markah secukupnya.

“macam mana tahu kelas batal hari ni?” oleh kerana dia pelajar 3 ibtidaiyy yang tak terlibat dengan kelas jahitan, wajarlah aku tanya soalan begini.

“tadi Farah habaq, dia ada cerita juga pasal ada orang ajak dia buat komplot”

“komplot apa?”

“haa..nilah yang kami nak habaq kat hangpa..tu yang kami panggil hangpa mai sini..” suara Amirah semakin perlahan tanda apa yang nak dicakapkannya adalah rahsia.

“Farah kata ada kawan sekelas hangpa yang suruh dia jangan kongsi apa-apa pasal jahitan ni dengan hangpa” oh, hmmm..aku memang ada cakap dua tiga kali dengan Farah yang aku tak ada idea langsung tentang jahitan saprah ni, aku minta pendapat Farah sebab ibunya memang tukang jahit. Aku tahu Farah bercadang untuk minta ibunya sahaja yang siapkan saprah untuknya, aku pun kata suruh Mak Cik Asmah siapkan untuk aku jugalah. Tapi aku tahu, tentu ada upahnya kalau aku minta Mak Cik Asmah buatkan untuk aku, lagi susah jadinya. Aku sebenarnya dah tetapkan hati untuk minta dengan Tok ‘kain buruk’ yang bermain di kepala aku tu sahaja.

“Hangpa jangan marah Farah, dia pun dok pikiaq lagi..bukan dia tak mau buat kat hangpa kain tu..” tiba-tiba Amirah menyambung setelah melihat aku diam sahaja.

“hangpa patut marah kat orang yang hasut Farah tu..awat dia kedengki sangat kat hangpa..”

“sapa?”

“kami tak boleh habaq, satgi Farah marah..”

Yalah..jangan beritahu apa-apa..sepatutnya jangan beritahu apa-apa dari awal lagi, jangan panggil aku singgah makan kaswi sambil cerita sepotong kisah pengkhianatan begini.

Sebenarnya aku dah tahu siapa orangnya yang menikam aku dari belakang. Aku cuma mahukan pengesahan. Tetapi kadang-kadang aku tak bersedia untuk tahu kebenaran. Fasal jahitan ni, walaupun aku tak berapa minat, aku jenis yang akan cuba sahaja. Aku suka setiap satu yang aku buat ada sentuhan aku sendiri, gaya aku. Aku suka bagaimana sesuatu idea datang meletup-letup dalam fikiran dan benakku, lantas aku menjadi teruja untuk siapkannya. Selalu sahaja kerja aku terbengkalai kerana apa yang datang dalam fikiranku tak dapat dijelmakan sebagaimana sepatutnya, itu yang selalu buat aku hilang mood untuk teruskan atau kemudiannya aku biarkan sahaja kerja itu disiapkan ala kadar. Tanpa sentuhan yang kononnya tersendiri itu. 

Tapi, aku tahu muasal ada sesuatu yang tak kena dalam kelas jahitan ini sejak minggu kedua kelas lagi. Ceritanya, suatu pagi isnin - semalamnya hari ahad ialah hari kelas jahitan - ada sekeping surat. Surat yang dalamnya ada sembang-sembang, kita tulis sebab tak mahu bercakap atau orang yang kita nak sembang tu duduk jauh sikit sedangkan perkara yang kita nak cakap ni adalah rahsia. Kau tahu kan surat semacam tu?. entah apalah yang ada dalam kepala orang yang letakkan surat ni atas buku-buku yang aku tinggalkan di sekolah. 

Isinya?

Tentang kasut merah yang aku pakai ke sekolah. Tentang kawan main-main sahaja dengan aku. Tentang aku tak perlu dapat markah tinggi dalam kelas jahitan kerana markah aku dah tinggi dalam bidang akademik.

Aku segera mengenal tulisan tiga orang yang saling membalas surat itu, namun aku cuba bertenang sedang hatiku sakit yang amat dengan isi surat yang aku rasa penuh khianat itu. Tiga empat hari aku bersedih, namun hari-hari seterusnya aku tetap berkawan seperti biasa. Kawan betul-betul. Bukan kawan main-main seperti isi surat tu. 

Tapi diari..aku juga manusia yang dicipta ada daging, tulang dan hati. Susah lah nak buat macam tak ada apa-apa. Aku betul-betul terkilan dan rasa dikhianati. 

Hari ini, selepas bercakap dengan Amirah, aku kembali bersedih. Aku rasa nak demam. Kerana bila demam kita ada sebab untuk mengalirkan air mata. Aku perlu demam diari...mungkin untuk dua tiga hari..

Aku jadi tak suka dengan kerja-kerja menjahit. Aku jadi tak suka dengan kelas jahitan. Lupakan sahajalah idea nak buat teknik ala-ala bertenun pada bingkai saprah aku itu, lupakan tampal bunga. Saprah aku akhirnya hanya sehelai kain putih yang asalnya telekung bahagian kainnya, lalu aku lukis bunga sebarangan dan aku jahit gaya sulaman. Bingkainya aku silang pangkah sahaja. Ya, hasil yang buruk. Tak selayaknya mendapat markah yang banyak. 


Diari Budak Pondok 1995 (4)

Empat 

Tahun ni tahun Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-9. Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan 10 hari ditetapkan untuk tempoh berkempen sebelum hari pengundian pada 25 April 1995. Kan aku dah beritahu, sekolah ini letaknya dalam Negeri Kedah. Negeri yang komposisi kaumnya didominasi melayu. Justeru negeri ini adalah sasaran Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk dimenangi atau paling tidak menambah jumlah kerusi atau paling-paling tidak menambah jumlah pengundi pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Keluargaku - maksud aku keluarga yang di rumah Tok ini- penyokong PAS dan aku rasa semua rakan-rakan sekolahku juga penyokong parti yang sama. Sebab itulah agaknya kami tak lagi berbincang nak sokong siapa dalam pilihanraya kali ini. Anggap sahajalah kami semua sama.

Suasana PRU kali ini hangat dengan isu skandal bank Negara malaysia (BNM). entah kebetulan atau apa, akhbar Utusan Malaysia pada 1 dan 4 April 1995 letakkan tajuk berkaitan skandal itu pada muka hadapannya. Utusan bukanlah akhbar pilihan bagi rumah ini. Tapi kalau ada tajuk yang hangat begitu, ada jugalah yang tolong belikan untuk kami baca. Aku, tok, Pak Cik Ali dan Mak Su Aliyah akan baca akhbar tu dari muka depan hingga muka belakang, termasuk semua sisipan yang ada kecuali bahagian bisnes dan ekonomi. Bahagian saham yang ada sampai penuh 3 muka surat tu pun memang kami akan langkau sahaja. Tak faham.

Lepas baca kami akan bincangkan. Kami tu sebenarnya tak termasuk aku pun. Aku dengar sahaja perbincangan antara tok dengan orang lain. Ahli perbincangan tu boleh bertukar-tukar. Sama ada Pak Cik, atau Pak Njang atau Pak Ngah. Musim pilihanraya begini, tajuk politik memang paling sedap nak buat modal bersembang. Tapi oleh kerana akhbar harakah hanya keluar dua kali sebulan, lambat lagilah nak dapat jawapan balas pembangkang atau ulasan isu-isu semasa. 

Hmmmm..kenapa pula dengan Harakah?. 

Oh, penyokong PAS kata Utusan tu akhbar pembelit. Harakah sahaja yang boleh dipercayai.   

Hmmm.. sebenarnya apabila timbul sesuatu isu, terpulang kepada semua pihak untuk ‘menggunakan’ isu tersebut mengikut kepentingan masing-masing. Itu seninya. Kadang-kadang untuk rasionalkan reaksi mereka itu, ia dipanggil strategi. Aku pun tak tahu sangat pasal keadaan politik ni. Kenapalah orang berani terang-terang buat perkara yang tak betul? Kenapa bila dah tahu tak betul, orang masih biarkan lagi? Susahlah tajuk politik ni..

Musim pilihanraya begini, pentas ceramah akan jadi lebih hangat dan gempita. Isu-isu semasa dijawab di hadapan secara langsung. Tidak ada sesi soal jawab. Sekadar penyampaian satu hala. Itu yang selalu buat aku musykil, bagaimana sesuatu persoalan boleh dijawab tanpa mengetahui apa sebenarnya yang tak difahami oleh khalayak?. tapi, tak apalah..nanti besar sikit aku akan belajar tentang tanya dan jawab ini.

Sebelum pergi dengar ceramah, aku dah study dulu apa yang yang nak disampaikan berdasarkan tajuk ceramah yang diiklankan dalam poster yang ditampal serata pokok dan tiang elektrik. Tapi kalau tajuknya sekadar ‘ceramah umum’, tak ada apalah aku nak study. Tajuk ceramah umum begini memudahkan penceramah untuk bawa apa sahaja tajuk tanpa terikat dengan fakta atau isu yang ingin dijawab. Oleh kerana harakah terbit 2 minggu sekali sahaja sedangkan akhbar lain malah siaran RTM ada setiap hari, jadi pentas ceramah lebih capat dan cekap untuk menjawab isu berbanding akhbar. Kalau penceramah tak cekap, bahannya sudah pun aku baca di Harakah, sekadar ulangan dalam bentuk audio lah pula bagiku. Tapi ceramah PAS pun bukan boleh buat setiap hari. Ada banyak kekangannya. Tak lulus permit la.. orang buat kacau la.. SB berkeliaran la.. masalah teknikal PA system dan lampu la..termasuk tak ada dana untuk buat ceramah juga.

Ceramah Barisan Nasional (BN) orang kata tak meriah, tak sedap bahasa pidatonya, siap ada diberi upah untuk datang mendengar ceramah mereka. Aku sebenarnya tak tahu betul ke cakap-cakap orang tu sebab aku tak pernah menghadiri ceramah BN. Di hadapan rumah Tok ni ada dibina sebuah balai..hmmm..ia macam sebuah dewan kecil. Betul-betul di tepi pagarnya ada papan tanda bertulis. “sebuah lagi projek kerajaan Barisan Nasional”. balai ini digunakan untuk apa-apa aktiviti masyarakat, seperti mesyuarat UMNO kawasan, taklimat bantuan kerajaan dan lain-lain yang selalunya berkaitan BN lah.

Sebagai orang yang mendapat cukup doktrin daripada keluarga terutamanya Pak Njang Syauqi yang memang kaki ceramah PAS, melihat balai tu pun aku dah rasa berat. Apa lagi nak lalu di situ kalau ada masa meriahnya, anak muda akan berkumpul dengan motor masing-masing dan buat bising di situ. Musim pilihan raya begini teranglah balai tu, kalau tidak lalang sampai ke bumbung. Seram!

Untuk aku, pergi ceramah politik ini kena tunggu Pak Ngah Saufi yang ajak. Pak ngah dan mak ngah sahajalah yang rajin ke ceramah dan ada kereta untuk bawa tok pergi mendengar ceramah. Kalau dah bawa tok, mesti bawa aku bersama. Takkan nak tinggalkan aku sorang-sorang di rumah. Mak su sudah tentulah akan mengekor sekali. Kalau dia tak ikut, memang dia tak nak jagakan aku. 

Kemeriahan pentas pidato ini bergantung juga kepada penceramah yang akan beraksi. Kalau Muhammad Sabu, Ustaz Fadzil Noor memang sawah bendang yang kering tu akan penuh dan padat. Kami akan duduk atas tikar yang dibawa sendiri kemudian beli kacang kuda rebus dan makan sambil dengar ceramah. Begitulah keadaan di ceramah PAS. Sederhana sahaja.

Muhammad Sabu kan tak perlu diperkenalkan lagi dengan gaya pidatonya. Daripada ceramahnya aku dengar peribahasa indah;

Yang sopak mencari buluh,
Yang buta datang bertongkat.

Kemudian..

“kenapa conteng buku nota kamu? Buku ni untuk tulis hadist, tulis apa yang saya ajar!!”. Suara Ustazah Aisyah memetir. Guru mata pelajaran hadist ni mana ada suara perlahan, suara tinggi sedia sedia. Beliau terjumpa nota ceramah yang aku salin. Oh Sharifah Nurul Huda, kenapa kau conteng buku hadist..?huhuhuhu

Aku diam. Tiada alasan nak direka. 

“Diam tanda salah la tu..”

“Kalau kamu tulis buku campur-campur  macam ni, jadi buku rojak la..gaul semuanya. Nak makan jenuh pilih, dah tak tahu mana sengkuang, mana nenas, mana jambu, mana pelam..” sambung Ustazah Aisyah beranalogi. Di sini rojak itu merujuk rojak buah-buahan. Kalau cucur udang dicampur kuah kacang, timun dan sengkuang itu dipanggil pasembor.

“amboi, bukan main dia tulis ceramah. Dah macam wartawan” ulas ustazah lagi.

“tangan jenis tak boleh duduk diam” inilah fasa ustazah akan beri cubitan signaturenya.

Cubit kecil atas belakang tangan. Sakit oii..boleh terbit air mata. Jujurnya aku sangat takut dengan cubitan itu. Ini kali ketiga aku kena. Aku selalu menjaga reputasi di depan ustazah kerana seram dengan cubitan dan suara petir beliau. Hadis-hadis yang wajib dihafal sekejap sahaja aku sudah tasmik pada beliau. Mesti segera!.

Dari saat itulah aku sedar rupanya aku ada tabiat menulis - menyalin - apa yang aku dengar. Kalau semasa bersembang-sembang, di tanganku ada alat tulis dan kertas, memang penuhlah kertas tu dengan contenganku. Bila orang sebut busuk, aku akan tulis busuk. Orang sebut busuk hau..aku tulis busuk hau. Kadang-kadang sekali salin sahaja, kadang-kadang dua tiga kali perkataan itu disalin, mungkin dalam bentuk tulisan yang berbeza-beza pula. Begitulah. Apabila dibaca semula, aku sendiri pun jadi pening kenapalah banyak sangat ‘isu’ yang aku dengar dan kenapalah aku sibuk nak salin pula..

Sebenarnya ustazah Aisyah tak patut marah aku. Bukannya buku hadis sahaja yang aku conteng, semua buku lain pun ada aku tulis-tulis di belakangnya. Lagi pula bukannya habis pun satu buku tulis dalam setahun. Kalau habis pun boleh kan tambah buku lain dibelakangnya?. aku jenis yang tak suka koyak buku sebab aku rasa kertas yang dikoyak ambil saiz sikit daripada tulang buku akan nampak sempit. Kalau koyak terus dari tulang nanti akan terburai pula.  

ok sambung pasal Pilihan Raya.

Satu perkara yang aku tak suka bila ada pilihan raya ialah sampah. Banyak betul sampah. Apa ya dipanggil? Bunting kah? - plastik kecil yang ada logo parti masing-masing - direntangkan serata kampung, rimas. Kalau hujan lebat, dibuat khianat, bunting ini jatuh dan menjadi sampah, semak.  Tidak ada tiang elektrik yang kosong, semuanya ditampal gambar calon atau slogan atau logo. Membazir. Sebab masing-masing dah tahu nak pilih siapa. Kenapa nak dipaksa-paksa dengan segala macam sampah ini?. tak tahulah. 

Bagi budak kecil pelajar sekolah macam aku, pilihan raya tidak ada apa-apa selain ianya waktu semangat guru-guru bertambah, kuliahnya jadi panjang dengan cerita luar silibus atau jadi pendek kerana urusan luar bilik darjah yang pelbagai.  Dua-dua pun kami suka kerana kalau kuliah panjang, kami tinggal dengar sahaja, tak perlu menulis apa-apa latihan. Kalau kuliah pendek lagilah seronok. Kami ada pelbagai acara nak dibuat. Main pemadam, batu seremban atau kadang kami panggil batu selambut, main teka teki, melukis dan sebagainya.


Diari Budak Pondok 1995 (3)

 Tiga

Menjelang hari raya, ibu bawa kakak, aku dan Yusri ke Pekan Alor Setar untuk membeli pakaian raya. Ayah kirimkan duit belanja untuk ibu buat persiapan. Ibu belikan aku baju kurung kuning, untuk kak yusra baju biru dengan corak yang sama. Di Hankyu Jaya ibu beli seluar slack dengan baju kemeja kotak2 buat Yusri dan Hadi. Adik Busyra tak perlu baju raya. Dia kan kecil lagi.

Entah kenapa, ibu minta aku pilih satu kasut. Kata ibu kasut raya, boleh juga buat aku pakai ke sekolah. Untuk itu, aku memilih kasut silang kemasan baldu merah, kakak pilih corak yang sama tapi warna hitam. Sedang ibu memilih barang, Yusri terkinja-kinja nak buang air kecil. ibu suruh dia bertahan sementara ibu memujuk pekerja kedai untuk tumpang gunakan tandas, tapi tak pula diizinkan. Lalu, ibu minta aku dan kakak temankan Yusri membuang di mana-mana yang sedikit terlindung. Eh, orang dah la puasa. Kena temankan dia pula..yang ni lagi memalukan daripada hal sependa hari tu tau. Lembu boleh lah kencing merata-rata. Ah, dendam aku dibayar begini rupanya. Biar dia basuh dengan ais yang dia dapat hasil rengekannya yang tak larat berjalan tadi. Geram lah dengan budak kecik ni.

Hari raya tahun ni meriah, semua anak-anak tok ada di sini. Siap Tok Cik Yam (ibu sebenar kepada anak susuan tok, yang memang adik ipar tok) pun beraya bersama. Seronok sangat sebab akhirnya Pak Cik Ali pasangkan juga pelita di pagar, buat kami cucuh bunga api. Pak Ngah & Mak Ngah belanja banyak bunga api, jadi tak perlu aku beli sendiri guna duit tabung. Mak ngah ni orang Terengganu, jadi juadah pagi raya di rumah tok buat nasi dagang. Biasanya nasi tomato, ayam masak merah bersama acar timun dan nenas. Menu tradisi. Tapi tahun ni tok nak ambil hati mak ngah yang tak dapat beraya bersama keluarga kerana ibunya berada di Mekah, buat umrah. 

Seronok sangat, kami sepupu dua pupu perempuan pakat pakai inai malam raya, sambil bertakbir dan main bunga api. Mak su yang kononnya ketua bahagian kanak-kanak mulalah sombong bukan main. Ada sahaja benda yang dia nak arahkan kami. Bukannya dia tak tahu kami nak berinai. Ni pun kami minta ibu tolong tumbukkan 2 hari lepas. Tumbuk siap-siap daun inai sebab dah dekat dengan raya tentulah lesung dan alu tak berehat dah untuk persiapan juadah hari raya. Nak harapkan mak su, memang tak la dia nak layankan kami ni. Tapi aku ajak juga mak su berinai walau sepupu semua dah buat muka bila aku bangun memujuk mak su tu.

Ya, meriah juga kerana ada ayah. Walaupun ayah balik tetapi kawannya datang bersembang sebaik selesai solat isya’ sehingga dini. Entah berapa perkataan yang tok sempat bersembang dengan ayah. Esoknya kata ayah, ada urusan penting lain pula di Kuala Lumpur. Alaa..Ayah ni..

Diari Budak Pondok 1995 (2)

Ramadhan tahun ini jatuh pada bulan februari. Sekolah kami beri ruang yang besar untuk para santri berpuasa bersama keluarga. Murid yang tinggal di asrama paling seronok kerana cuti ramadhan kami tak sama dengan sekolah arus perdana. Sekolah ini buat takwim sendiri yang menjadikan bulan ramadhan sebagai cuti. Eh, aku dah beritahu kan, Sekolah ni ada sediakan asrama untuk pelajar yang tinggal jauh. Memang kebanyakan kawan-kawan kelas aku berasal dari Selangor, Perak, dan Kuala Lumpur. Dari 20 murid kelas 4 ibtidaiyy, 11 orang datang dari luar Kedah. Orang Kedah yang 9 orang ni pula, 5 sahaja yang tak tinggal di asrama - dipanggil budak berulang - termasuk aku.

Bulan puasa tahun ni, ibu ada dengan aku, sama-sama di rumah tok. Ibu baru sahaja habis berpantang sebelum ramadhan dan akan terus tinggal di sini sehingga hari raya. Seronoknya raya tahun ni. Ibu kata sepatutnya giliran sebelah ibu, tapi ibu nak berpuasa di sini sahaja. Dengan tok, ibu mertuanya yang baik. Terima kasih ibu kerana berusaha buat tok gembira.

Tok - gelaran untuk nenek bagi kebanyakan orang di Kedah. Tok orang Kedah ni perempuan, lelaki pula dipanggil tok wan. Awal-awal dulu selalu kawan-kawan luar Kedah keliru dengan gelar tok ni sebab mereka panggil wan atau opah untuk perempuan, tok untuk lelaki.   

Tok aku wanita kental yang telah kehilangan 3 anak sebelum kehilangan suaminya, tok wan. 3 anak yang keguguran itu buat tok mengambil anak buahnya yang aku panggil Mak Chaq Zawiyah, Pak Lang Abdul Rahman dan Pak Teh Abdul Rahim sebagai anak susuan. Namun untuk tok wan yang bercerai mati, tok tak gantikan dengan sesiapa. Sedangkan pada umur 50-an yang aku mengenal tok ni, cantiknya masih ketara. Inspirasi kecantikan bagi aku. Tapi mungkin dengan sederet anak ni buat tok berat hati nak berkahwin lagi. Oh ya, selain kehilangan anak kerana keguguran, tok juga kehilangan anak sulungnya. Ayah aku. Hilang hidup-hidup. Berpergian dan pulang sesuka hati. Pergi lebih lama, tak tahu ke mana. Ayah ni..aduh, tak tahulah nak cakap..

Jadi puasa tahun ni, keluarga aku (ibu, kakak dan adik-adik) akan puasa dan raya di sini bersama tok, Pak Cik Ali & Mak Su Aliyah. Ayah mungkin akan tiba malam raya. Tapi tok kata, jangan harap sangat. Entah Tok memujuk ibu & aku atau tok sedang memujuk hatinya sendiri.

Tahun ni Pak Cik Ali kata kita tak akan pasang pelita keliling rumah sehingga syawal. Aku dah tarik muka. Tak cantik la tak pasang pelita..selalunya bila kami pasang, rumah kami paling cantik kerana rumah tok ini berciri unik. Rumah melayu Kedah. Lalu pak cik kata kita kena tahu kenapa kita buat sesuatu. Kalau buat untuk meriahkan itu tak mengapa, tapi jangan sampai membazir dan membahayakan, tapi kalau kita tahu cerita asal malam 7 likur tu..kita nak ikut adat budaya yang mungkin ada percanggahan dengan syariat, baik kita pilih langkah berhati-hati. Aduh pak cik ni..di tazkirahnya aku..

Bermula 1 ramadhan, bunyi mercun & meriam buluh sudah menghiasi malam. Memang terkejut dengan bunyi tu. Aku awal2 dah minta izin pak cik & ibu untuk guna duit tabung dan beli bunga api, nak main ramai2 dengan 2 pupu aku malam raya nanti. Kami dah berjanji-janji..

Tok ajak kami, yang kuat dan mampu untuk solat terawih di musolla sekolah, jemaahnya memang tak seramai biasa kerana sekolah sedang bercuti. Yang datang ni orang2 kampung sekitar sekolah. Biasanya musolla ni muat 1 saf 12 orang kali 10 saf, tapi untuk bulan ramadhan dapat 4 saf pun dah ok..Alhamdulillah.

Selepas buka puasa yang ringkas dengan kurma & air, kami terus solat maghrib. Kemudian baharulah ambil makanan berat. Tapi biasanya yang makanan berat ni pun pakat makan sikit sahaja, sebab dah kenyang air. Bulan puasa kan selalu panas terik, itu yang dapat air hilangkan dahaga pun dah cukup. Kemudian kami akan bergerak ke sekolah berjalan kaki sahaja. Jaraknya lebih kurang 0.5km. Biasanya rombongan ke musolla ni kami berenam, Pak Cik Ali di depan, Tok, Mak Su Aliah, kakakku Kak Yusra, aku & Yusri adikku. Rombongan boleh jadi makin besar ikut kami bertembung dengan siapa. Boleh jadi Tok Su Puan, ibu hamzah & Ustazah Amnah tu, atau Mak Cik Siah atau Mak Cik Kamisah. Ibu tak ikut sebab kan ada anak kecil, jadi ibu selesa solat di rumah sahaja. Nanti Pak cik Ali, Yusri dan jika ada lelaki lain, akan buat lencongan kerana mereka solat di masjid sekolah. Masjid dalam kawasan banin (pelajar lelaki). Nanti selepas solat, kami akan berjumpa semula di pagar kawasan zink.

Dalam perjalanan balik dari solat terawih berjemaan suatu malam, Yusri kutip satu benda atas jalan. Bila disuluh rupanya, sehelai seluar dalam!. Yang  geramnya dia beria-ia kata itu aku yang punya dan tuduh aku berjalan sini sana tak pakai sependa. Kau kenapa kutip segala benda atas jalan? Kenapa boleh sama? Bukan aku punya la yang Yusri jumpa tu..takkan aku kena londehkan yang aku sedang pakai ni kot untuk buktikan perkara itu?? geramnya.. tak senonoh betul!

Sampai di rumah aku dah sebal. Tiada selera nak sambung dengan moreh. Selalunya aku beli keropok yang aku teringin di siang hari untuk makan selepas soleh terawih. Malam ini tidak.. aku malu kerana nampak macam aku yang salah, padahal betul-betul bukan aku. Kan aku dah diajar malu di pondok ini. Benda seluar dalam macam tu aku tak tahu bagaimana nak jelaskan. Sedangkan kalau aku menyidai pakaian untuk dikeringkan pun, pakaian dalam tak pernah aku sidai depan rumah, di ruang terbuka. Aku akan sembunyikan di bawah pakaian lain atau sidai di penyidai pendek belakang pintu bilik aku sahaja. Tak! Ini bukan tentang cakap-cakap orang yang kalau kita tayang-tayang pakaian dalam nanti lambat kahwin, ini memang urusan yang buat aku malu. Ah, susahlah nak cerita.

Diari Budak Pondok 1994 (3)

Waktu pembelajaran tamat pukul 1. Kami wajib solat berjemaah di sekolah dahulu sebelum dibenar pulang. Asalnya kami solat di tingkat atas sebuah rumah bersebelahan Majidiyyah itu sahaja. Rumah separuh kayu separuh batu itu bertukar-tukar kegunaannya. Tingkat bawahnya menjadi dewan makan untuk pelajar yang menginap di asrama Majdiyyah. Aku suka sangat solat di ruang atas rumah tu. Tingkap kayu sekeliling ruang itu akan dibuka dan diselak sehingga angin dapat masuk dengan bebas. Hanya ada satu bilik di tingkat atas ni. Tak tahu apa yang ada di dalamnya. Aku tak pernah berpeluang masuk ke situ. Kerana itulah kawan-kawan yang tinggal di asrama pakat buat cerita hantu pasal bilik tu. Jadi waktu solat zuhur, semuanya tak nak duduk dekat dengan bilik tu. Semuanya berebut-rebut nak solat tepi tingkap.

Kami dipantau oleh seorang guru ketika solat zuhur. Salah seorangnya Ustazah Amnah. Dia jiran sebelah rumah tok. Kakak kepada Hamzah. Di rumah, aku memanggilnya Kak Amnah. Tapi di sekolah aku memanggilnya ustazah. Sewaktu solat, kami membaca kuat-kuat seluruh bacaan dalam solat. Rukun dan sunnat. Saat turun daripada iktidal kepada sujud, biasanya kami suka menghempas lutut. Bunyi lutut bertemu lantai kayu seperti memberikan rasa puas ketika bersolat.

Kemudiannya aktiviti solat zuhur berpindah ke ruang asrama Majidiyyah kerana rumah itu telah ditukar menjadi rumah warden. Ada sebuah sekolah yang sama tarafnya dengan sekolah ini telah ditutup. Jadi pelajar-pelajarnya ditawar mengikuti pelajaran sekolah kami. Ini termasuklah warden tersebut. Maka aku mendapat ramai kawan baharu. Kebanyakkan mereka pelajar asrama yang berasal daripada serata negeri. Paling jauh ialah Adnin, dari Brunei Darussalam. 

Oh, aku lupa nak beritahu. Di sekolah ini kami diasingkan kawasan lelaki dan perempuan. Pelajar perempuan ibtidaiyy di Majdiyyah macam yang aku beritahu sebelum ni. Pelajar lelaki ibtidaiyy pula di Dar Aiman. Aku mesti melintasi Dar Aiman itu kalau nak pergi atau balik daripada sekolah. Di Darul Aiman tu ada kelas, asrama pelajar lelaki unit rendah (ibtidaiyy), 2 buah padang yang luas, pejabat dan bilik guru serta sebuah musolla. Kawasan Dar Aiman lebih luas daripada Majidiyyah yang cuma sebuah bangunan sahaja. Di tepi Majidiyyah ada dataran yang ditutup kelilingnya untuk pelajar banat (perempuan) yang menginap di Majidiyyah beriadah. Separuh dataran itu kemudiannya dibina bumbung dan dijadikan kantin selepas rumah separuh kayu itu dijadikan  rumah warden. Tapi, sementara bumbung tu dalam pembinaan, pelajar-pelajar makan di dalam kelas. Pagi-pagi kalau aku sampai awal di sekolah, aku kena bersihkan sisa makanan atau minuman yang tertumpah. Bukan sapu sahaja tau. Kena mopkan lantai tu sebab nanti kami akan duduk di lantai tu untuk belajar. Tak seronoklah nak belajar kalau lantai berbau gulai kari atau ikan goreng. Nanti baju pun jadi berbau.

Oleh kerana kami semua perempuan, kami boleh buat macam-macam ‘aksi’ tanpa rasa malu. Kami boleh membaca atau menyanyi kuat-kuat, kami boleh baring sahaja atas lantai, boleh meniarap, bergolek, bahkan tertidur tanpa peduli untuk segan dan malu.

Macam pagi inilah, kami dapat tahu guru-guru sedang bermesyuarat. Lalu kami berkumpul di satu meja dan galak bercerita pelbagai tajuk.

Ibu bapa

Adik beradik

Makan minum

Hinggalah tajuk rambut.

Ruslina cerita rambut dia keriting.  Katanya, orang yang rambut keriting tak boleh dipercayai. Ruslina ni dua tahun lebih tua daripada aku kerana dia pernah belajar di sekolah kebangsaan sampai habis darjah tiga, kemudiannya mengikut ibu bapanya berpindah tinggal di perkampungan ini. Dia dimasukkan ke kelas aku – darjah tiga – walaupun umurnya sudah 10 tahun ketika itu. Dia ni ada banyak cerita dongeng dan cerita hantu yang dia sampaikan pada aku dan kawan-kawan yang lain terutamanya cerita hantu di sekolah lamanya. Sampai aku dan Farah buat kesimpulan sekolah kebangsaan ada banyak hantu.

Aku bantah,

Aku ceritakan yang asalnya rambut aku keriting betul. Bergulung-gulung daripada kulit kepala, bukan setakat acah-acah gulung kat hujung rambut tu. Tapi selepas dua atau tiga kali aku bercukur kerana ada kudis di kepala, rambutku jadi lurus. Lurus segaris. Tak ada bergulung sikit pun.

Kemudian Kami ketawakan Suzana kerana kami teka rambutnya keriting melekat kat kepala macam orang Afrika kerana ayahnya yang juga mengajar matematik di Darul Aiman tu berambut seperti itu. Mati-mati dia nafikan. Sampai nak menangis. Lalu Amani yang merupakan ketua kelas cadangkan kami buka tudung. Tunjukkan kebenarannya. Pelajar-pelajar yang tinggal di asrama memang tak boleh menipu kerana mereka ada saksi, ni pelajar yang berulang – tak tinggal di asrama – la yang ada potensi nak reka cerita.

Masing-masing kami pun buka tudung. Yang pelajar asrama pun buka tudung juga sebab selepas tu kami bercerita tajuk kutu di kepala pula. Pelajar asrama kata Mukminah tunjukkan rambutnya sewaktu mandi sahaja, waktu lain dia akan serkupkan kepalanya kerana dia ada banyak kutu. Jadi sekarang giliran maimunah pula nak menangis. Suzana yang tadi sedih diketawakan, pun sekarang menggiat maimunah sebab rambutnya memang lurus. Hujung-hujung tu sikit je yang curly. 

Mukminah betul-betul menangis dan berlari keluar ke bilik guru – tempat mesyuarat – dan ketika itulah kami ditimpa bala. Ustaz Zain datang ke kelas ketika kami masih galak bercerita tanpa sikit pun sedar aura guru tersebut. Bercemperalah kami bersembunyi bawah meja yang tak berapa ada ruang nak bersembunyi tu. Kalut pakai semula tudung dan kemas meja yang bersepah dengan buku-buku kami. Kami kemudiannya kena rotan di belakang tapak tangan kerana tak tutup aurat. Takutnya lah masa tu. Tapi kemudiannya lama juga kami boikot Mukminah tu sebab tak pandai cari port nak menangis. Haih..geram betul!

Waktu itu, di Majdiyyah ada 2 orang guru lelaki. Sedangkan di Darul Aiman, guru mereka semuanya lelaki. 


Epi 92 : Yam

 

Bismillah.

Nama penuhnya Siti Mariam binti Abdullah. Permai memanggilnya Yam. Ya, 'Yam' sahaja bagi menggantikan gelaran rasminya Mak Teh sebagaimana selayaknya kerana dia berpangkat ibu saudara Permai. Anak kedua dari isteri kedua Tok Wan Permai. Beza umur kami dua tahun.

Permai tidak begitu akrab dengan Yam. Tapi boleh dikatakan kami (adik beradik Permai) lebih rapat berbanding sepupu yang lain. Mungkin kerana faktor usia, atau mungkin kerana faktor jarak, atau mungkin  kerana kami yang paling kerap bertandang ke rumah Tok Wan. Asal ada cuti, ummi kerah kami ke rumah Tok Wan. Walaupun setelah ketiadaan Tok Wan. Meski tidak akrab, Permai selalu dapatkan cerita terkini tentang Yam daripada Ummi. Perihal Tok, Jah, Yam dan Bedah adalah sepotong cerita yang Ummi akan update dari semasa ke semasa.

Yam si bijak, punya ragam lazim anak kedua. Namun sejak memegang gelaran OKU, karenahnya mengundang simpati. Kisah bagaimana Yam si anak cergas cerdas menjadi lemah selalu Permai ulang dalam mengingatkan anak-anak dan anak murid akan had dalam bergurau. Suatu hari, Yam ditolak rakan sekolah atas niat bergurau. Esoknya Yam sakit, lusanya demam, tulatnya menggeletar, hari-hari berikutnya dia menjadi orang kurang upaya. Ayah yang pikun dan ibu yang buta huruf tidak pernah menutup anak ini dari menatap dunia. Dia dimanjakan dengan gelar orang cacat yang perlukan perhatian lebih malah kakak dan adiknya diasuh agar sayangkan Yam sepenuh ikhlas.

Yam tumbuh menggunakan akal cerdasnya walau tubuhnya sering terhambat untuk cergas. Dia berani meminta lepas dari dukungan ibunya supaya dapat menjejak kaki ke Politeknik Pulau Pinang untuk program Diploma. Lalu, tanpa lelah dia mohon dokongan untuk melangkah ke UTM Jalan Semarak meladeni Ijazah Sarjana Muda. Orang kampung Kubur Panjang, Kedah bernama yang Permai panggil Yam ini tamat pengajian ketika Permai di Tahun Akhir UM. Yam jemput Permai ke UTM untuk bantu kemaskan beg dan barang-barang untuk dipindahkan sementara ke rumah sepupu Permai di Selayang.

Pengalaman menemani Yam seminggu sebelum operation majornya di HUKM itu antara ‘jasa’ yang Permai pernah beri. Dari Kedah, Permai mohon cuti dengan alasan ingin membuat persiapan untuk majlis konvokesyen di Kuala Lumpur sambil bawa beberapa barang kiriman untuk Tok yang sudah sebulan berkampung di HUKM. Selain urusan mengambil jubah, rehearsal dan konvokesyen hujung minggunya, Permai sebenarnya ada dua temuduga kerja. Jadi seminggu itu sangat padat bagi Permai. Berulang alik Selayang – Bangi – Petaling Jaya – Cheras - Putrajaya – Shah Alam – Bangsar, 3 kali bermalam di HUKM, 2 malam di Bangsar, 1 malam di Putrajaya, 1 malam di Selayang.

LETIH.

Namun, jeda di HUKM paling menyentuh hati. Tok minta Permai ambil alih sekejap tugas menemani Yam di wad sementara Tok berehat, uruskan diri di rumah sepupu Permai. Kau tahukan, menunggu adalah perkara yang melelahkan. Apalagi bagi Tok yang selalu cergas. Cepuih cepuih buat gheja, kata orang Kedah.

Pembedahan selama 23 jam. Permai tunggu sambil mengenang sehari sebelum Yam perlu berpuasa. Dia minta Permai bawa Char Kuey Teow yang terkenal di Stesen LRT Universiti, gerainya hanya beroperasi waktu malam, Permai separuh berani separuh takut gigih memesan CKT dan hantar ke wad di HUKM panas-panas berasap. Sambil Yam makan, Permai pasang toto atas kerusi malas yang akan jadi tempat tidur Permai malam itu. Yam bercerita tentang kebaikan nurse di HUKM, tentang kebaikan doktor yang akan membedahnya esok. Orangnya muda lagi dah jadi pakar, sayang tak handsome, kata Yam.

Tak perlu tunggu sehari sebelum kena puasa, Yam sering bercerita perihal cita-cita dan kesukaan sebagaimana lazim kita biasa. Tentang kereta yang selesa, tentang rumah dengan dekorasi sekian sekian, tentang perkakasan pinggan vintage, mangkuk corelle, jam tissot, cadar ikea, laptop dan smartphone samsung, rantai tangan habib segala bagai. Yam bercerita dengan berselera tanpa sedikitpun resah dengan kekurangannya. Yam seolah lupa mengukur baju pada badannya yang kekurangan. Dia yang selepas jatuh itu, boleh berlari perlahan, kemudiannya hanya boleh berjalan, kemudian perlu bertongkat, kemudian perlu berkerusi roda. Pendek kata hari demi hari semakin laih, upayanya semakin lemah.

Dia akhirnya hanya mampu terbaring dalam kebanyakkan masa. Mahu ke tandas, Tok akan dukung. Mahu makan, Tok akan suap. Mahu menonton tv Tok akan usahakan untuk mudahkan Yam. Namun siapa tahu, ketika terkurung dalam pengap rumah. Yam menggerakkan tangan kurusnya menjahit manik pada tudung sehingga didagangkan di Singapura. Ruang tengah antara ruang tamu dan biliknya penuh kain berkayu-kayu, menjadi pabrik perusahaan butik tudung bawal yang dicap ‘Yam Handmade’. Diam-diam keuntungan pabriknya itu Yam simpan buat modal untuk membuka mini market. Kali pertama mendengar berita Yam menjadi tauke kedai runcit, Permai terdetik "hanya soal waktu, Yam nanti akan buka pasaraya pula". Permai yang berangan, bukan Mat Jenin, bukan Yam.

Dua tiga kali Yam whatsapps mohon dokongan, dia ceritakan yang dia tak perlukan simpati. Mengusahakan kedai runcit dalam keadaan diri serba kurang, banyak perlukan bantuan orang lain untuk bergerak, tidak mendapat bantuan modal (siapa mahu beri modal kalau hanya berbekalkan azam?) dan dari manakah muasal ketekalan membuka kedai runcit ini.

Selain mahu membina diri sendiri, Yam mahu beri sesuatu kepada ibu dan kakaknya yang telah banyak membantunya meneruskan kehidupan. Dia bukan ingin tunjuk lagak, dia hanya ingin berbakti.

31 Mei 2021. Yam dipanggil pulang ke Rahmatullah. Selamat jalan Yam. Tamatlah kisah puji dan keji. Pulang ke hadrat Allah membawa hati yang tenang. Pulang kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau redho dan (semoga) Allah merehoimu.

P.E.R.M..A.I : Subhanallah. Maha Suci Allah Yang Maha Mengatur.