Ep. 93 : Leaving Microsoft to Change the World

 Assalamualaikum & salam sejahtera. 


Tahun baharu 2022 Permai sambut dengan keserabutan perihal tempat kerja yang mungkin bertukar tapi tak tahu ke mana. Kami adik beradik juga sedang cari rumah baharu untuk ummi yang mesti kosongkan rumah sekarang secepat mungkin. Situasi kelabu seperti ini buat tidur Permai terganggu dan badan terasa lesu.



Membaca leaving microsoft to change the world setelah seminggu mengharungi rutin baharu ini sangat membantu Permai. Buku ini berada dalam checklist hampir setahun kerana mengutamakan buku-buku lain disamping rasa geram dengan penguasaan bahasa inggeris Permai yang terhad sehingga kerap kali buat semangat membaca buku yang bagus-bagus merudum teruk. Mujurlah ada yang sudi terjemahkan kepada edisi bahasa melayu dan ada yang sudi terbitkan. Untuk itu, Permai dahulukan dengan setinggi-tinggi penghargaan.


Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan, Permai tentu sekali amat bersetuju bahawa pendidikan adalah alat penting membina masyarakat dan membaca pula adalah tunjang utama dalam pendidikan. Justeru buku ini menimbulkan rasa syukur atas peluang yang terbentang buat Permai untuk menghidupkan pendidikan walau apa cabarannya. Bahagian yang paling menyentuh Permai adalah apabila wujud satu permintaan untuk mendapatkan bantuan daripada Room to read, John Wood segera mengatakan 'ya' walaupun belum pasti bagaimana mahu memenuhi permintaan tersebut. Keinginan beliau untuk memberikan sesuatu dalam pembangunan dunia yang lebih baik tu..cikgu-cikgu sangat. Permai faham perasaan tu..


Bonus untuk buku ini ialah kerana John Wood adalah bekas eksekutif Microsoft. Budaya kerja cemerlang, mengutamakan kejayaan dan pengurusan pintar telah membentuk Room to read menjadi relevan dalam dunia kerja amal. Aktivis dan para sukarelawan boleh mengambil beberapa 'petua' yang diberikan penulis, antaranya:

1. Akauntabiliti

2. Berorientasikan data

3. Setia kepada pekerja

Paling penting, terus buat apa yang dirancang dengan apa yang ada di tangan. Jangan tunggu sehingga terganggu dan akhirnya gagal berbuat apa-apa. Sudah tentu tips ini bukan untuk NGO, tapi untuk Permai sendiri amalkan dalam hidup.


Leaving microsoft to change the world menghantar ingatan Permai ke suatu hari sabtu 12 tahun yang lalu ketika Permai sedang mengedarkan brosur tentang projek wakaf buku untuk sebuah rumah perlindungan wanita. Projek bagi menjayakan tugasan subjek Ekonomi Wakaf meminta Permai si gadis 21 tahun turun padang ke segitiga emas Kuala Lumpur bagi membuat penerangan sambil memohon sumbangan. Sungguh satu pengalaman mahal. Selesai menghantar buku ke sana
, Permai tahu kerja mengajak orang menyumbang dan menggalakkan budaya membaca ini ada tempat yang istimewa di hati Permai.


P.E.R.M.A.I : Mari kita buat perubahan, walaupun kecil pada kita, mungkin besar maknanya bagi orang lain.