budak pondok 1995 (1)

Darjah 4 – 1995

Darjah 4 adalah tahun pengajian di tahap dua. Kami tak boleh belajar di Ahmadiyyah lagi dah. Kami sekarang berpindah ke bahagian baharu sekolah. Biasanya kami panggil ‘kawasan zink’ kerana kawasan sekelilingnya di pasang zink. Seperti sebuah kubu. Nama rasminya ialah kawasan banat. Kawasan untuk pelajar perempuan sahaja. Pelajar asrama juga mesti berpindah. Tak boleh lagi dah mendiam di Ahmadiyyah. Tapi oleh kerana asrama di kawasan zink ada masalah, Ahmadiyyah masih kekal menjadi asrama pelajar darjah 4 buat sementara waktu. Ada tiga pintu masuk ke kawasan zink yang menjadi kawasan larangan bagi lelaki. Oleh itu, mulai tahun ini kami akan belajar bersama guru perempuan sahaja.

Kelas 4 ibtidaiyy terletak di sebuah blok 1 tingkat betul-betul di tepi musolla (surau). Blok ini ada pemisah yang boleh dilipat-lipat dan menempatkan kelas. Kelas 4 ibtidaiyy hujung sekali, agak berbau pengap kerana hanya terdapat 1 baris tingkap nako di tepi papan tulis. Lantainya di pasangkan karpet nipis berwarna hijau yang perlu digulung semula selepas tamat waktu belajar kerana dibimbangi akan basah kalau hari hujan. Lagipun di kawasan zink ni ada banyak kucing terbuang, kalau kucing-kucing tu masuk tidur dalam kelas ni, habislah berbulu karpet tu. Itu puncanya aku tak suka hari bertugas, sebab susahlah nak menyapu guna penyapu lidi. Lagipun penyapu lidi kelas kami selalu hilang. Ada la tu yang mengambil buat melibas kucing ke..sapu air bertakung ke..tak suka la.. pintunya pula perlu berkongsi dengan kelas 5 ibtidaiyy. Kalau kita nak keluar sekejap pergi ke tandas atau sebagainya, pelajar 5 ibtidaiyy pakat-pakat toleh tengok kita macam kita buat salah.

Pelajaran pula semakin bertambah. Banyak pelajaran yang memerlukan hafalan seperti tafsir dan hadist. aku suka pelajaran tafsir kerana guru matapelajaran ni Ustazah Aidah yang juga guru kelas kami. Orangnya kecil molek dan manis sahaja raut wajahnya. Langsung tak cengei seperti mudirah (ketua guru) bahagian banat ni yang sentiasa berwajah garang. Kadang-kadang sewaktu kami sedang belajar, akan terdengar suara mudirah menjerit-jerit marahkan pelajar kelas lain atau marahkan apa sahajalah di luar kelas tu. Aduhai..menakutkan betul…

Buku teks masih lagi merupakan buku-buku yang disusun oleh guru di sini. Kecuali untuk pelajaran nahu – asas tatabahasa bahasa arab – kami mengguna pakai kitab matan ajrumiyyah. Sebuah buku kecil sebesar buku 555 tu sahaja  ~tapi kitab aku besar sikit, edisi tahun Pak Cik Ali ~. Isi kitab ini mesti dihafal semuanya dari mula hingga akhir. Pelajaran nahu ini berpasangan dengan pelajar sorof – asas susunan atau pembinaan perkataan dalam bahasa arab -  yang aku langsung tak minat kerana aku tak faham kenapa perlu hafal perkataan yang sama setiap hari. Guru matapelajaran ini adalah Ustazah Hanum yang berasal daripada Indonesia. Jadi bahasanya kedengaran pelik di telinga aku. Loghat kedahnya memang keras. Astaghfirullah..mulut aku ni makin jahat la. Tak baik tau mengata guru macam tu.  Di sini guru sangat dihormati. Tak ada kata untuk menyanggah cakap-cakap guru. Sedang kami tak pernah sekalipun duduk di kerusi guru. Tempat itu sangat tabu bagi kami. Ada izzahnya. Manakan kami yang sangat kurang ilmunya ini dapat membantah guru kami yang hebat-hebat. Ustazah Hanum tu, bukan sebarang orang tau. Dia pelajar terbaik di pesantren tempat dia belajar di Indonesia lalu terpilih oleh gurunya sendiri untuk dihantar mengajar di pondok tempat aku belajar ni. Aku mesti memohon maaf dengan Ustazah Hanum dan belajar merendah diri. Jangan asyik merungut sahaja.

buku nahwu (sumber google image)
buku sorf (sumber google image)



           
Selain pelajaran bahasa arab dan berbahasa arab, ada juga pelajaran bahasa melayu, sains dan matematik. Aku suka sains sebab buku notanya lain daripada yang lain. Ada muka untuk menulis, sebelahnya muka untuk melukis. Tahun ini aku ada belajar fasal pertumbuhan dan pembiakan pokok. Ada pelbagai cara tumbuhan boleh berkembang, antaranya melalui percambahan biji benih, anak pokok dan melalui mekanisma lain. Tahulah aku Mak Su Aliya tu penipu, dia pernah melarang aku makan buah jambu batu bersekali dengan bijinya. Katanya nanti pokok akan tumbuh dalam perut aku. Kemudian pecah. Bila orang tanam aku, kubur aku naik pokok jambu, bukan pokok kemboja seperti di kebanyakan perkuburan. Sewaktu ustazah Fatimah – semua guru kami panggil ustaz@ustazah tanpa mengira matapelajaran apa yang dia ajar- terangkan fasal percambahan biji benih tu, aku jadi tak sabar-sabar nak balik berlawan mulut dengan Mak Su Aliyah yang menjengkelkan tu. Sedap tau isi buah jambu batu yang dekat-dekat dengan bijinya. Manis. Aku suka.

Aku rasa Mak Su Aliyah tak belajar pasal ni. Ataupun sewaktu belajar tajuk ni, dia main-main dalam kelas. Mak Su bukanlah pandai sangat macam Pak Cik Ali yang memang tahu buat aku bangga jadi anak buahnya. Sedangkan Mak Su pelajarannya biasa-biasa sahaja. Jarang atau tak pernah pun dapat anugerah pelajar cemerlang. Macam tu punya orang pun ada hati nak bercakap pasal sains, pasal pokok tumbuh... Geramlah!

Untuk pelajaran bahasa melayu, memanglah aku suka sangat terutama bahagian buat karangan, peribahasa, tapi kalau tatabahasa tu aku tak suka sangat, setakat fahamkan sahajalah.

Aku yang berulang ni pun ada sedikit rutin yang berubah. Selain masih diwajibkan untuk solat zuhur di sekolah, beban pelajaran pun semakin bertambah. Ada aktiviti selepas waktu solat zuhur. Kokurikulum namanya. Ada tiga kelas utama untuk kokurikulum setiap ahad, selasa dan rabu iaitu jahitan, masakan dan kraftangan. Hmmmm..semuanya aku tak minat.

0 comments:

Post a Comment