Ep. 83 : Abah

Assalamualaikum & Salam sejahtera.

Seminggu sebelum akad nikah, tunang Permai hantar Short Massege Service (SMS) yang agak panjang sehingga terpotong-potong mesejnya.  Ketahuilah...kalau Encik Damai yang super senyap tu berpesan, tentulah ini perkara serius. Jujurnya, Permai suka ketawakan Encik Damai yang 'mat skema' dan Permai sengaja mencari pasal supaya dia bercakap lebih sikit. Tapi apabila dia sendiri yang mula 'bercakap' panjang ni..macam takut la pulak..

Encik Damai berpesan supaya sentiasa bertahan dan tetap tabah serta buatlah persiapan sebaiknya untuk menghadapi ayahnya, bakal bapa mertua Permai. Perkara pertama yang Permai buat mestilah ketawakan pesanan itu. hahahahahaha.. 

Selalunya ibu mertua kan yang lagi menakutkan? apalah mengusik orang dengan modal ayah ni..

Kemudian, makin banyak pulak pak cik sorang ni berpesan..

aiii..ini sudah boleh mencipta cuak..

Permai pun ada ayah la..biasa la kan kita selalu takut kat ayah? Ayah balik je semua lari ambil tuala, berebut nak masuk mandi..padahal ibu dah berbuih mulut mengingatkan dari awal kan? 

Ni bukan pasal takut la Permai..ni pasal persediaan mental untuk masuk dalam keluarga orang lain..

errr...tu bukan menakut-nakutkan orang ke Encik Damai? tak apa lah..pejam mata, fikir positif..tapi sebenarnya pesanan itu sentiasa mengusik tenang Permai.

Mengenali abah..Permai ada rasa bercampur-campur. Abah lelaki yang amat Encik Damai kasihi. Abah berperwatakan tangguh, abah terus maju setelah lama berjeda dalam fikir-sifir yang dalam. Abah bekas guru matematik yang amat masak dengan pengalaman. Abah yang mahir dengan pelbagai juadah menu, merasa penuh kearifan. Sangat banyak yang Permai pelajari dari cakap-cakap dan kerja buat abah. 

Di mata kita, keputusan abah banyak yang tak betul. Tapi, menyanggah abah perlulah halus berseni. Bukan untuk mengubah abah..tapi untuk kita bertenang sendiri. Di hati kita, cakap abah banyak yang melukakan. Tapi di hati abah tidak satu pun aksara untuk membuat musuh. Kita katakan itu ego, abah rasakan itu ilmu. Kita fahami itu nanti, abah telah menjadikan itu sekarang. Sukarnya mengenal abah..kerana dia seorang lelaki yang puas dihentam badai susah, senang, marah, bengis, nasib, sakit dan sendiri. 

Abah yang sering cuba mengambil hati menantu sulungnya dengan pelbagai kata puji. Abah yang kadangnya mengusik hati anak isteri menantu cucu dengan reaksi sukar dimengerti. Abah yang menjaga keluarganya dengan pelbagai jangkaan terburuk. Abah yang mengawasi tiap gerak isi rumahnya walaupun dalam gelap pandangannya. Tuhan..berilah lelaki ini sebaik-baik balasan atas baiknya dia mengajarkan aku erti menjadi keluarga.

P.E.R.M.A.I : Permai tak kan pernah sekasut dengan abah.

Ep. 82 : Menggantung hati

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Baru-baru ni kerap baca~suka~kongsi status Tere Liye tentang rokok. Rokok ni satu benda yang pelik tau..ramai orang tahu ia haram-tak elok untuk kesihatan-bahaya tapi ramai juga yang merokok. Permai pernah cuba hisap rokok, sebelumnya sudah diperingatkan bahawa rokok ni tak sedap.. rasa asap sahaja.. cuba dulu rokok daun.. jangan dibakar rokok kertas tu..mahal tu harganya.. 

sedutan pertama batuk, sebab telan asap.
sedutan kedua sakit hidung sebab asap naik ke sana.
sedutan ketiga tak ada apa-apa, api dihujung tu terpadam.

Semalam Permai sembang dengan En.Damai tentang kawan-kawan yang merokok, tentang status ustaz tetapi merokok, tentang guru disiplin yang menghukum pelajar merokok sedang masa senggangnya dia pun merokok dalam kawasan sekolah. Biasa sahaja mulut Permai ni menista orang lain waktu bercerita.

"Abang takut kalau suatu hari nanti abang merokok juga"

"Kenapa??" tak percaya En. Damai akan keluarkan kenyataan macam tu..

"Yalah, mungkin akan terpengaruh dengan kawan-kawan..mungkin kita sedap ja mengata orang merokok..jadi ujian kat kita pula.."

"Nauzubillahi min zalik.."

Ya, Permai..tolong sedar! Hidup ini penuh dengan ujian yang tak ada satu pun boleh menjamin kita melepasinya dengan selamat tanpa bantuan Allah. Segala dugaan harta, keluarga, ilmu, sikap dan sebagainya satu persatu akan bertali arus mengasak kita. Tinggal doa-doa kita sebelum, semasa dan selepas diuji itu bakal menguatkan kita. Juga doa sesiapa sahaja yang Allah pilih untuk kabulkan walaupun dia meminta bagi pihak orang lain. Tinggal harapan adanya balas baik dan buruk yang buat kita bertahan teguh mendepani dugaan. Hanya padaNya lah kita menggantung hati.

P.E.R.M.A.I : kita tak boleh pilih nak diuji dengan apa..tapi kita boleh pilih untuk hadapinya sehingga habis..

Ep.81 : Doa siapakah?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini hari jumaat. Pagi ini Permai kesiangan, solat subuh pun lewat apatah lagi nak membaca alkahfi (-○-). Tiba-tiba telinga menangkap bunyi hujan yang melebat. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Doa siapakah yang dijawab Allah pagi ini? Yang dengan tulus meminta hujan setelah Malaysia merekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi sedunia. Doa siapakah yang diterima Tuhan pagi ini?

Adakah doa anak-anak yang diberi cuti, lantas memohon agar diturunkan hujan supaya dapat terus berkawan ~ bermain ~ belajar.

Adakah doa pesakit-pesakit yang sesak dadanya, lalu meminta supaya segeralah jerebu ini menghilang.

Adakah doa ibu-ayah yang runsing fikirannya, mengenangkan anak cucu yang tiada tempat asuhan, terganggu rutinnya, meresahkan belanja.

Adakah doa pemimpin masyarakat yang diacah~perli~bentak sehingga hatinya dengan lembut bermunajat agar disenangkan kekacauan jiwa.

Tuhan..Maha Baik Engkau.. mendengar~menerima~mengurnia sepenuh rahmah. Tuhan..aku yang lalai, aku yang alpa, Tuhan..ampunilah aku.. 

P.E.R.M.A.I : Terima kasih para pendoa..Permai menumpang bahagia..

Ep.80 : Toilet-ek prem katha

Assalamualaikum. Salam sejahtera.

Suatu hari dalam tahun 1994, setelah 3 tahun Perdana Menteri melancarkan wawasan 2020 ~ sebuah gagasan halatuju pembangunan Malaysia ~ Permai perlu keluar dari rumah, dengan takut-seram-tak pasti bagi urusan 'membuang'. 
Tiada tandas di sini.
Di rumah Wan Permai. 
Siang malam. urusan perut yang meminta perlu diselesaikan dalam hutan kecil yang memisahkan antara rumah wan dan jirannya. Sesekali Wan akan ke hutan getah jauh di belakang rumahnya.

Tuhan..Permai dan kakak memang sepakat, kampung Wan lebih menyeronokkan berbanding kampung Tok kerana suasana kampungnya yang tenang, ada tv, boleh bebas bermain~ kerana ibu biasanya tak ikut bercuti di rumah Wan. Namun, sampai masa nak buang air..Permai jadi teringat-ingat pada tandas zink yang tercatuk di depan pintu dapur rumah Tok. 

Tempat mandi di sini~ di rumah Wan, terbuka. Boleh nampak langit dan awan, nampak hutan getah di kejauhan, nampak siapa yang sedang menunggu giliran di tangga menuju ke tempat mandi, cuma sebelah sahaja yang dihadang zink kerana menghadap jalan. Sesiapa pun tak perlu menjenguk ke 'bilik air', menoleh sahaja pun sudah dapat lihat semuanya. Asalnya memang seronok~ boleh mandi hujan dan air 'koq' serentak, tapi tahun-tahun berikutnya ketika umur Permai sudah beralih dari angka 8, mandi di tempat terbuka, tiada ruang menyalin dan takut sakit perut lebih mendatangkan gelisah daripada keseronokan mandi air sejuk dengan panorama indah seperti itu. Kadang Permai makan sedikit sahaja pada setiap hidangan, supaya tak perlu sakit perut nak membuang. 

Membuang air kecil juga tak pernah mudah. Di mana nak bertinggung kalau sudah begitu 'bilik air'nya?. Di ruang kayu api ~ Letaknya di belakang dapur. Tok penjual laksam yang dimasak menggunakan kayu api ~ ada tersedia tempat mencuci periuk yang boleh digunakan untuk buang air kecil. Tapi kawan, tempatnya mudah sangat nak di akses oleh orang lain. Pendeknya, tak sesuai dan tak selesa. Tak fahamlah..rumah ni saban tahun bertambah panjang, tapi masih tak ada tandas.

Tak ingat bila, akhirnya rumah wan ada juga tandas (^^)¥ . Alhamdulillah.

Tahun 2016 terjumpa satu lagu yang berkempen buat tandas. Lagu nyanyian Pak Ku Shadat. Baguslah. Semoganya, dalam seronok terhibur dengan melodinya, isi nasihat supaya bina tandas tu menjentik satu dua hati untuk meningkatkan kualiti hidup seharian. 
bila diamati, siap kerajaan waktu itu sediakan barang untuk buat tandas. Penyampaian maklumat melalui lagu rakyat. Begitulah kehidupan media sosial zaman itu. Alhamdulillah zaman sekarang penyampaian dan capaian lebih mudah. Semoga kita bersyukur dan gunakannya dengan cara yang betul.

P.E.R.M.A.I : Pengalaman mendewasakan dengan membentuk cara pandang yang pelbagai.


Ep. 79 : Kerana berangan itu percuma.

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Permai ini pelajar aliran agama. Dari peringkat rendah, menengah hingga atas..Permai ditempatkan dalam bidang pendidikan islam. Sejak dari kecil, Permai ada sekolah impian. Apabila sudah bergelar guru, ada anak kecil, ada anak bersekolah..sekolah impian Permai semakin berkembang.

Kerana berangan itu percuma.

Permai inginkan sebuah sekolah peringkat asas yang menyenangkan. Seronok berkawan, gembira bermain, bebas meneroka elemen asas tanah, langit, angin, api. 

Permai inginkan sebuah sekolah peringkat rendah yang menyeronokkan. Belajar bersahabat, menyokong dan membantu membina peribadi, bebas meneroka tanah, langit, angin, api, diri sendiri dan orang lain. 

Silibus buat ikut ilmu pedagogi, psikologi dan budaya tempatan.

yang penting, sekolah yang bermula lewat sikit dari pukul 7.30 pagi..balik pula awal sikit dari pukul 1 petang..

P.E.R.M.A.I : benda boleh bincang..

Ep. 78 : Kasih dan seksa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pernahkah anda membaca karya Andrea Hirata bertajuk Laskar Pelangi? Sebuah nukilan yang meletup hebat, diterjemah merentas negara bahkan diadaptasi menjadi filem. Selesai membaca novel ini, watak Trapani yang akhirnya terkurung terseksa jiwa itu agak memberi kesan kepada Permai. 

Beberapa hari lepas, watak ini kembali menghantui Permai. Kisahnya, pukul 9.00 pagi..anak-anak tahap satu sedang mengisi waktu rehat di kantin. Selalunya Permai akan berputar di sana, memeriksa; mengawal; mengawas. Tapi hari itu, terlajak masa di surau terlihat sepasang ibu bapa mengawas anak makan. 

Lalu dengan sengaja bertegur sapa.." Wah, seronok la dia..hari ni ibu ayah teman makan!"

Sedikit mencebik si ibu membalas " Jenuh dah hari-hari macam  ni.."

Bapanya menokok " tahun 1 je ni bagi 'chance'..tahun depan kena hadap sendiri.."

ooh..demam(?)

"Tak apa..nak manja sekejap..esok dah segar sikit..boleh makan dengan kawan-kawan.." begitu cubaan menamatkan perbualan.

Segera ibu pamerkan kejengkelan "Tak tahu la cikgu..dia tak boleh makan dengan orang..dia muntah-muntah.." 

ting! muntah?? tanda amaran merah! " Eh, ada salah makan makanan kat kantin ke?"

Tangan digawang " Dia tak boleh makan dengan orang..tak boleh makan ramai-ramai..nak termuntah.."

"kat rumah pun dia makan kat ruang dia sendiri..tak makan kat meja dengan orang lain.."

"Entah apa yang tak kena dengan dia..kalau makan dengan orang..dia muntah-muntah.."

"Itu yang hari-hari kena bawak bekal, teman dia makan kat sini.."

Masha Allah!
Permai sangat percaya yang setiap ibu bapa normal sentiasa mencuba memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sentiasa berusaha, bertungkus lumus, memerah fikir dan keringat. Sentiasa mahu bertemu titik punca yang benar dalam perjalanan membesarkan anak.

Permai terdiam tetapi otak ligat mengenang Trapani, watak ini cepat datang, cepat juga Permai usir. 

subhanallah!
kita boleh katakan, itu bukan pendidikan yang benar..itu hukuman..itu bukan kasih..itu seksa..

Kita boleh kata apa sahaja, kerana kita tidak tahu mereka sudah menunggu hingga lanjut usia untuk mendapatkan zuriat. Kita tidak sangka yang mereka sudah menjalani ribuan kali dan tahap pemeriksaan atau terapi. Kita tidak menjangka apa jenis trauma dan fobia yang dihidap. Kita berkata setelah hanya melihat dalam sekian minit tentang seorang anak yang termuntah apabila makan beramai-ramai. Sedang kita tak pernah tahu peri panjang dan lebar kisah di sebalik detik yang singkat itu. 

Watak Trapani datang lagi. 

Mari kita pamer wajah simpati dan latih hati untuk empati tiap kali melihat dan mendengar masalah orang lain. 

Sungguhlah amat sedikit yang kita tahu dan rasa.

P.E.R.M.A.I : Setiap suatu mungkin hanya persepsi atas pengalaman kita sahaja.

Ep. 77 : hari ibu 2019

Assalamualaikum, salam sejahtera

Bulan mei adalah bulan merai orang..hari pekerja, hari guru, hari bomba... Untuk episod kali ini, Permai nak bercerita pasal hari ibu dari sisi seorang isteri. Mari mulakan dengan setinggi terima kasih kepada Encik Damai yang ada saham signifikan untuk memungkinkan Permai sambut hari ibu. 

Terima kasih, sayang...

Bagusnya Encik Damai ni bila sampai bab anak dia sanggup mencuba dan belajar. Ada masa kuat semangat, ada masa awal-awal dah mengalah, ada masa berjaya, ada masa terlupa. Namun, sebagai ketua keluarga, Encik Damai sentiasa berusaha memberi yang terbaik. Permai nampak itu..cuma kadang-kadang sengaja nak melawan..cari pasal..hehehehe

Terima kasih, sayang...

Dikurniakan anak-anak yang sihat bijak, kadang kita leka untuk bersyukur. Kita lebih kerap menekan diri dan anak-anak untuk capai tingkat yang lebih atas tanpa menyangka itu menjadi punca ketegangan dalam keluarga. Aduhai..kadang kita berniat untuk mendidik, tapi rupanya kerja didik ini seni halus yang buat kita selalu serba salah dan keliru. Encik Damai kerap kali ingatkan Permai supaya sebut yang baik-baik. Mulut ibu, tiap kata menjadi doa. Permai pula ingatkan Encik Damai supaya jaga tingkah laku, tiap satu akan ditiru. Ini bahagian yang paling susah bagi Permai. Susah macam mana pun kena berlakon elok-elok ye..mulakan dengan lakonan sehingga ia menjadi tabiat. Untuk bahagian ini, kami tak pernah habis bincang. Jadi pendapat Permai ni sentiasa sahaja jadi penting dan kadang-kadang jadi keputusan akhir juga. Tiada patriaki untuk tajuk didikan anak-anak. Ianya konsensus.

Terima kasih, sayang...

Tapi, ada masanya juga..Permai nak sangat tunjuk dan amal perangai venus dia. Alah..

yang jenis tengah menangis tapi cakap tak ada apa-apa..

yang jenis tengah marah tapi diam sambil hempuk periuk belanga pinggan mangkuk..

yang jenis tengah terasa hati tapi senyap sambil tulis status bukan-bukan..

yang jenis tengah sakit hati kat mars tapi jerit kat anak-anak..

yang jenis tengah #%@^+&*(! tapi harap mars faham..eh, takkan tak faham lagi..??hari2 tengok fb..berjam2..ada macam2 orang tulis pasal venus..tapi awak buat 'kedek' je kat venus sorang ni..apa??awak sibuk main game???tahukah awak?awak buang masa baca page bola, politik Malaysia, artis..amboi..banyaknya masa awak..takkan awak harap saya tag fb awak kat page yang share pasal saya ni..kita hidup dalam rumah..bukan dalam fesbuk..tu yang awak bla bla bla..saya ni bla bla bla..kita bla bla bla..patutnya bla bla bla..ni tidak bla bla bla..ko jangan bla bla bla..bila aku dah berleter bla bla bla..jangan harap bla bla bla..suatu hari nanti bla bla bla..

haaa..tudia..ni perangai venus lain..Permai insyaAllah sederhana sahaja. Permai hanya perlu tidur sekejap. Recharge. Bahagian ni Encik Damai dah cukup cam.

Terima kasih, sayang..

Jadi ibu, memang lelah. Sekali menjadi ibu, Kita tidak lagi menjadi seperti asal. Perlahan-lahan bertukar. Kita akan bawa sikap ibu ke mana sahaja, sehingga ada masanya rasa ingin berhenti tapi naluri itu selalu mengekori. Seperti mustahil untuk lari, kecuali Allah yang Maha Kuasa memberikan peluang. Ibu anak satu sudah tentu berbeza dengan ibu anak empat. Namun yang sama ialah mulianya kita atas asbab rezeki terpilih ini. Jadi, perempuan yang bergelar ibu, jangan sesekali rendahkan martabat kita dengan memandang jelik perempuan lain naa..tak selayaknya kita bersikap sedemikian. 

Untuk itu sayang..jadilah wali perkasa untuk Permai, Husna dan Fudhla. Kelak saham baik buruk kami sebagai perempuan dan ibu akan dikongsi bersama dengan abang sebagai suami dan ayah. Kami ingin meraikan hari ibu sambil mengenang yang indah tentang ayah. 

P.E.R.M.A.I : terima kasih, sayang..

Ep.76 : kuasa doa

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Suatu waktu, kita berharap doa segera termakbul. Tolong segera ya Allah..cepat..hitungan saat sahaja ya Allah, ya Rahman..kita bertawasul dengan sedikit amal yang pernah kita buat. Yang entah itu amal soleh atau tidak.

Kemudian dalam hitungan detik, Allah beri apa yang kita hajatkan. kita ucapkan syukur sebanyaknya. Kita insaf. Kita terfikir, mungkin hajat itu termakbul bukan kerana amal kita, tapi kerana doa orang lain. Yang melihat paniknya kita, lalu hatinya terlintas.."Ya Allah bantulah dia.."

Itu yang terjadi kepada Permai pada suatu sabtu. Bayangkan suasana pasaraya pada hari sabtu selepas hari gaji. Orang dalam mood persiapan menyambut raya dan waktu itulah puteri sulung Permai hilang!.

Ya tuhan..Permai memang gementar yang amat sangat. Sambil air mata jatuh, dalam hati ini perkara pertama yang datang ialah..Ya Allah, tolong pelihara dia..aku pernah tolong seorang anak yang hilang ibu di pesta buku tahun 2009. Permai nampak suami melilau-lilau..seketika mata kami bertembung, dia menggelengkan kepala tanda tak jumpa. Permai diam sambil mengawas anak-anak lain yang dari mula sedar kehilangan tadi tak sudah-sudah meminta maaf. Maaf kerana ralit. 

Tolong segera ya Allah..temukan kami segera.. jangan dia ditemukan dengan orang yang salah. Biar kami yang jumpa dia dulu..

kemudian, suami Permai datang mendukung si puteri manis. Lega..sangat lega. 

Permai pandang sekeliling. Ada yang melihat. Ada yang tersenyum. Tentu ada yang faham. Tentu ada yang hatinya terdetik sepotong doa untuk kami. Lalu, hati terdalam Permai menyebut 'Ya tuhan..aku ingin selalu berbuat baik..supaya hatiku putih..sehinggakan pada suatu saat aku meminta..segera permintaanku tertunai. Bukan hanya untuk diriku. Untuk sesiapa sahaja'.

P.E.R.M.A.I : buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Ep. 75 : untuk aku

Assalamualaikum, selamat sejahtera

untuk aku,
rupa paras, gelak tawa, bual bicara, amal bakti, tangis sendu
yang dikenang, dicari, dirindu
ada pada ibuku.

gemulah yang aku panggil tok,
warisnya yang aku panggil ummi,
sama membesarkan
sama memberi pendidikan
mereka wanita besi, kukuh berdiri.

mengalirkan darah setia, bersikap wajar
sudi belajar
bukan guru, tetapi mengajar

mengutamakan yang halal
tabah gagah kental

inilah muasal,
turun kepada kami menjadi bekal.

dari muasal inilah
kami menyambung salasilah,
bentuk identiti jati diri,
tergantung islam dan iman wali kami.

semoga semoga
cahaya husna fudhla
ikut; susur; mulia.

P.E.R.M.A.I : dedikasi untuk semua yang dikasihi.



Ep. 74 : kuih muih (penutup)

Assalamualaikum, salam sejahtera

Mengenal Tok sebagai pembuat kuih memberi Permai lebih banyak bahan untuk bercerita. Bahulu agak sinonim dengan Tok, diikuti cucur kacang, onde-onde, ketayap, lompang, kuih sagu, apam pelengat dan lain-lain mengikut kekerapan Tok sediakan dan yang hangat diingatan Permai.

Lopes
Entah siapa yang merapkan Tok buat kuih lopes. Yang lagi lecehnya, Tok ajar Permai buat lopes cara susah. 

lopes ada 3 bahagian; pulut hijau, kelapa dan kuah. Sini Permai ajarkan mengikut aras kesukaran, dari paling mudah kepada paling susah.

Mudah; bancuh gula melaka dengan air, masak sehingga jadi pekat untuk jadikan kuah cicah.

Sederhana mudah; kukur kelapa. Kukur naa bukan beli siap. Urusan mengukur kelapa ni sederhana bagi Permai sebab dah selalu kena buat bahagian ni. Nak mengaku cekap tu tahu jugak malu ni..tapi jujurnya Permai suka kelapa yang Tok atau Tok Teh kukur..nampak kemas dan panjang-panjang. Kalau Permai yang buat, jangan ditanya laa..

Susah; hijaukan pulut, tanak, balut dengan daun pisang, ikat macam pocong, kukus, potong guna benang, gaul dengan kelapa yang dah digaram.

Tugasan Permai seterusnya ialah hantar kat jiran-jiran; Tok Su Yun, Tok Cik Saad, Mak Siah..itu antara yang wajib. Tok suka bagi jiran merasa air tangannya. Tak apa lah kongsi benda susah payah gini..panjangkan sedekah. 

Pulut kacau
Ini signature dish untuk kenduri atau raya bagi Tok. Suatu hari, orang datang maklumkan ada yang nak bermusafir ke Sudan. Kalau ada apa-apa yang nak dikirim buat Pak Teh yang sedang menuntut ilmu di sana, ruang akan disediakan. Tok pilih buat pulut kacau sebagai mewakili kiriman rindu seorang ibu kepada anaknya. 

Sayang sekali kali ini pulut kacaunya keras. Tak tahulah kenapa Tok kirim juga walaupun tak menjadi. Mungkin dah habis modal, mungkin tak mahu kecewakan Pak Teh yang menunggu, atau mungkin Tok tahu..air tangannya sentiasa kena dengan selera anak.

"pulut kacau nan sebekas telah anakanda terima, mungkin akibat perjalanan jauh pulut kacau jadi keras namun tetap anakanda makan berkongsi dengan rakan.." begitu surat yang terima dari Pak Teh berperi. Permai ketawa tak cukup mulut. Tok hanya senyum. Senyum lain macam.

pulut kacau adalah nama lain bagi wajik.

onde-onde
Permai mengenalnya sebagai onde-onde. Namun, sebaik bercampur dengan kawan-kawan di Kelantan, sibuk pula mereka beritahu onde-onde tu yang warna hijau gaul dengan kelapa parut. Ok. Baiklah

Onde-onde intinya bahan yang sama dengan cucuq kacang. Jadi Tok boleh lah sekali harung buat dua kuih ini. Cuma, proses buat onde-onde ni rumit sikit dan yang paling Permai tak faham kenapa disalut lenga?. Sensitif la lenga ni..kalau dah gugur tu, cepat pula jadi hangit dan melekat kat onde-onde lain..jadi tak cantik hasilnya. Kau tahu kan lenga?. Sesetengah orang Malaysia memanggilnya bijan.

kulit onde-onde menggunakan tepung pulut. Pernah satu kali, entah salah adunan atau salah tepung atau apalah masalahnya..sebaik onde-onde dilepaskan dalam minyak, meletup  onde-ondenya. Dia punya meletup tu lagi teruk daripada keadaan bila kau tak sabar-sabar nak menggoreng, belum sempat kuali kering dah masukkan minyak. Dah satu hal nak kena bersihkan minyak yang terpercik.

Permai?tengok sahaja dari atas tangga dapur, kemudian lari sembunyi di balik dinding

Tapi cerita Tok yang paling panjang ialah tentang lazimnya dia pada solat jemaah, solat malam, alquran, puasa sunnat. Kebiasaan yang Permai ambil bahagian pada kagum sahajalah. Entah apalah cucu yang seorang ni dapat daripada Tok dia... Itu, nantilah Permai ceritakan, insyaAllah..

"anak-anak boleh membesar, mempunyai hidup sendiri, kesayangan kita boleh pergi meninggalkan kita, masa susah, senang, gembira, sedih akan berlalu. Tapi kenangan akan kekal bersama kita" Raj Singh Puri (Yaadien, 2001)

P.E.R.M.A.I : mengenang, bergenang



Ep. 73 : Hidupkan alquran

dulu-dulu..
aku kena hafaz semua surah dalam juzu' 30 dalam tempoh 2 tahun..kalau dah habis pun kena ulang sepanjang 2 tahun tu..

banyak la yang aku kena betulkan sewaktu tasmi' terutama makhraj huruf qaf dan kho..selain aku amat lemah nak ingat nama surah..

Tok yang balik dari usrah kata, mana boleh panggil nama ikut suka..surah alha..surah alam tarokai..surah qulhu..salah sebab 'potong' kalimah

dulu-dulu..
kami sedang sembang tentang tersilap letak nama..orang dulu2 kan banyak kes tersilap letak nama anak kerana salah faham..Mak Cik aku yang sedang isi beras dalam periuk tiba-tiba cakap..nama Mat Sabu tu asalnya nama Allah 'Assoburusy syakur'..

Pak Ndak aku bantah..mana boleh potong macam tu..assobur satu nama..asysyakur satu nama..

Mak Cik jawab..mungkin saja..kan banyak orang tersilap letak nama..

dulu-dulu..
Kami dalam perjalanan balik dari dengar ceramah di Pokok Sena..ternampak signboard nama-nama tempat sekitar..

Pak Su aku kata..nama Naka Nami Kota ni disebut sebaris dalam alquran walaupun Kota dok jauh..lalu dia baca potongan ayat yang ada nama 3 tempat tu..

sambil berniat nak balik cari dalam alquran nanti..aku pilih diam sahaja..manalah aku pandai nak berhujah dengan pemidato dan pendebat terbaik sekolah tu..

sekarang..
kalau nak pilih nama anak atau ada dengar nama2 sedap disebut..aku cari perkataan asal di dalam alquran..sebabnya aku teringat kat Pak Tam aku..

dulu..untuk anak sulungnya..Pak Tam pilih nama Munibah..aku cakap tak pernah dengar nama tu..uniknya..dia kata ada dalam alquran, ayat sekian2..lepas tu aku rasa seronok pula bila sampai ayat yang ada nama aku..rasa seronok bila tahu ayat yang ada nama aku tu cerita tentang sekian2..

lagipun..mana aku berani nak memandai pilih nama bahasa arab ni...percuma aje kena kuliah dengan para ahli alquran dalam keluarga besar aku ni...

sekarang..
Tok dan Pa Tam dah tak ada..Mak Cik, Pak Su, Pak Ndak kerjanya mencerahkan orang ramai..sembang cara 'budak-budak' begini hanya aku yang tiba-tiba terimbau..

sekarang..
orang bercakap pasal almalaula'la dalam alquran dan aku terkenang kesungguhan kita 'memindahkan' alquran dalam kehidupan seharian..

P.E.R.M.A.I: semoga Allah bantu..

Ep. 72 : Ikan kerisi

Ahad ialah hari pasar pagi di Sungkai.

"ada tu ikan kerisi, ayam dan sotong yang macam tu dah letak dalam sinki"

"ikan kerisi macam mana?"

"macam ikan merah tu.."

uwaaaa (menangis tak berlagu)

lalu sambil siang ikan kerisi..aku susun ayat untuk buat post ni

***
"nak kena pi lepas zohoq ni..satgi hang besiang ikan tu..buat goreng ka apa ka.."

"ha ha.."

siang ikan ni busuk lagi membusukkan..aku malas dan terkial-kial juga walaupun dah masuk kelas menyiang ikan dengan Mak Cik Asmah dalam sesi kokurikulum. Selesai menggoreng sebahagian ikan, aku terfikir perlukah aku masak satu lagi menu?.

Di sini, di rumah tok ni menu yang rutin ialah sambal ikan atau ikan masak asam pedas (yang versi cair tu..kau tahu kan?). Dua-dua aku tahu masakkan..cuma terasa nak buat kelainan la..lagipun kena buat sesuatu dengan ikan2 ni..mana ada peti ais nak simpan ikan2 yang aku tak tahu nak buat apa ni..

***
"...hmmm..tak pa la..boleh makan jugak..Allah tulis rezqi kita sekian macam ni..sekian macam ni.."

aku kunci mulut, pasang telinga dan buka hati melihat ikan kerisi yang aku goreng bersisik-sisik sebab aku siang tak buang sisik!!!

ya tuhan..trauma la dengan ikan bersisik ni..

#alfatihah

P.E.R.M.A.I : terima kasih tok..semoga tenang di sana. Menuai hasil amal bakti yang sekian banyaknya untukku..

Ep. 71 : Aku dan media sosial

tahun y2k..waktu ada kawan yang ada akaun mirc, aku tumpang tengok sahaja..ada yang siap berkawan dengan orang vietnam dan india lagi..bila dia tersengih2 kawan vietnam tu cakap dia kiut..aku tercari2 kat mana perkataan kiut tu..kemudian aku tanya..'ni dia cakap apa?cute tu maksudnya apa?'jari ku tunjuk pada perkataan cute..aduhai terketar2 jariku tersentuh skrin komputer.

berikutnya zaman yahoo messanger (ym), aku melayan ym di cyber cafe (cc). cc tumbuh banyak..laku keras..rumah aku yang di dalam hutan..di tepi bukit pun berani buka cc..perniagaan yang 'kena'

zaman belajar di pra universiti..nak akses internet kena pergi perpustakaan..habis baca buku atau cari maklumat dalam buku..pergi cari blog kegemaran..masalahnya, perpustakaan universiti amat amat amat sejuk gedi..tak boleh nak poye2

kemudian, dah ada telefon bimbit dan laptop sendiri..meletup keluar macam2 jenis media sosial..dan aku kekal dengan ym sahaja..rasa selamat sebab setting invi...K.Aju share lagu Muhasabah Cinta ~ edcoustic pun melalui ym sebab sepanjang duduk kat BKS API dia akan ulang2 lagu tu..aku pun jadi terhafal & nak juga ulang2 macam tu..

tahun2 di universiti..aku jadi yakin untuk  simpan hati pada seseorang..sehingga 'memaksa' aku untuk menambah satu lagi akaun media sosial..

tapi sebelum bab itu, tahun 2007 dilancarkan satu animasi Buatan Malaysia namanya Upin Ipin. Roomate (tumpangan..hihihi) aku ada kelas di FSKTM, maka wajarlah dia kenalkan kepada kami animasi tu melalui telefon bimbit sony beliau sebelum sesi berbuka puasa. Wahhh..comelnya upin ipin..tak keras macam animasi2 sebelumnya. Tapi waktu itu, dalam kepala aku terfikir perkara lain juga..bahawa apa yang boleh tengok dalam tv..dah boleh tengok dalam telefon bimbit sahaja. Harus diingat, bahawa ketika itu telefon bimbit aku Nokia 33** sahaja, jadi mestilah aku kagum dengan telefon bimbit yang boleh mainkan video

Jadi aku minta kawan yang tayang cerita upin ipin ni untuk bantu aku buat akaun friendster. Gunanya untuk aku curi2 tengok 'orang yang tak tepuk sebelah tangan aku'. Jauh aku kona sebab dalam bilik aku, cuma aku yang tak ada sesi cakap bisik2 belakang bantal, bawah selimut. Susah dapat roomate yang prihatin ni..sedang sms masuk pun depa akan tanya 'kau sms sapa?'. Ni kalau tahu ku ada seseorang..memang tak selamat la aku

Seronok juga sebenarnya ada akaun friendster ni..aku kira maju setapak lagi dalam hal media sosial. Boleh la aku tumpang cerita kalau ada kisah pasal friendster. Cuma itulah, kalau dah dari awal niatnya dah tak betul, tiap kali buka friendster..rasa bersalah akan timpa menimpa. Aku ni pernah belajar di pondok..sedikit sebanyak rasa malu atas perkara lagho ni buat semangat aku menurun. Tambah pula, dengan tengok2 gambar si dia tu tak pula menambah apa2..aku pilih putus harap.

Akaun aku kosong sahaja, tak ada lagu, cursor cantik2, wallpaper glitter bagai. Pun begitu, friendster ni mencipta dingin dengan seorang rakan. Manalah aku tahu dia ada hati dengan abang seorang rakan friendster aku yang kebetulan junior sekolah aku dulu. Jadi, fikirnya aku berkawan dengan si adik di friendster sebagai batu loncatan untuk berkawan juga dengan si abang. Oh malunya aku...dah la niat tak betul..ada orang salah faham niat aku pula..baiklah, lupakan friendster, ym sahajalah...

Baik. Mari buat blog. Aku suka blog sebab boleh tulis panjang2. Orang yang datang baca pun tak mesti jadi kawan. Ruang untuk interaksi boleh pilih untuk letak atau tidak..kalau letak pun biasanya tulis.

..blog walking
..nice article

Ada ruang komen, boleh komen ikut tajuk. Yang langgar tajuk pun ramai aje.

Pada aku, blog ni selesa. Aku buat senarai link yang aku akan klik setiap kali buka blog. saiful islam, pamiez, tukar tiub, tanah andriana dan lain-lain. 'sepanjang lembaran maya' antara kawan yang tulis blog sampai sekarang.


Sela masa antara menjauhi friendster dan membina blog, aku akan konvo. Kami ada makan2 jabatan. Seusai bergambar di trade mark alma mater ku..perlahan aku menyebut.

"nanti bagi aku tengok gambar2 ni..aku nak masukkan dalam laptop aku.."

lalu telingaku menangkap satu lagi saran

"nanti tag je kat fb jabatan..jenuh nak tag sorang2"

Dummmm..

tanpa facebook..aku tak ada apa2 tanda pernah berdiri dan tersenyum bersama rakan dan pensyarah tepat di hadapan DTC itu.


Majlis kenduri aku tak ramai rakan yang dapat hadir. Aku yang tak menjemput. 2 minggu sebelum majlis, aku kemalangan dalam perjalanan mengirim kad2 undangan ini. Tidaklah teruk, tapi sakit juga..  Kad bertebaran di atas jalan..cermin sisi motor dah patah..aku nampak sebuah bas makin mendekat ke tempat aku sedang duduk2 menghilangkan sengal ni.

Baiklah, mari bangun selamatkan diri dan motor.

Aku agak ralat. Tapi cuba bertenang. Jadi dalam masa berbaki, aku kirim emel jemputan mengikut senarai yang aku ada. Kata rakan sebilikku "orang sekarang ok je jemput guna fb..awak je yang kad kad...".

Baiklah, kekal tenang..

Akhirnya aku ada fb..profil picture aku ni memang tak pernah bertukar dari hari pertama akaun dicipta. datanglah bersih, merdeka, rabia..begitulah adanya..

Akhirnya aku ada whatsapps..orang dah cerita macam2 dalam grup..aku baru nak minta di 'add'..

Akhirnya aku ada telegram..gunanya untuk hantar fail yang berat sikit..

P.E.R.M.A.I: Akhir2 ni..Permai rasa nak off dari media sosial..kerana Permai rasa semak sangat la apa yang dibincang melalui media sosial. Sekian.