Assalamualaikum, salam sejahtera
Mengenal Tok sebagai pembuat kuih memberi Permai lebih banyak bahan untuk bercerita. Bahulu agak sinonim dengan Tok, diikuti cucur kacang, onde-onde, ketayap, lompang, kuih sagu, apam pelengat dan lain-lain mengikut kekerapan Tok sediakan dan yang hangat diingatan Permai.
Lopes
Entah siapa yang merapkan Tok buat kuih lopes. Yang lagi lecehnya, Tok ajar Permai buat lopes cara susah.
lopes ada 3 bahagian; pulut hijau, kelapa dan kuah. Sini Permai ajarkan mengikut aras kesukaran, dari paling mudah kepada paling susah.
Mudah; bancuh gula melaka dengan air, masak sehingga jadi pekat untuk jadikan kuah cicah.
Sederhana mudah; kukur kelapa. Kukur naa bukan beli siap. Urusan mengukur kelapa ni sederhana bagi Permai sebab dah selalu kena buat bahagian ni. Nak mengaku cekap tu tahu jugak malu ni..tapi jujurnya Permai suka kelapa yang Tok atau Tok Teh kukur..nampak kemas dan panjang-panjang. Kalau Permai yang buat, jangan ditanya laa..
Susah; hijaukan pulut, tanak, balut dengan daun pisang, ikat macam pocong, kukus, potong guna benang, gaul dengan kelapa yang dah digaram.
Tugasan Permai seterusnya ialah hantar kat jiran-jiran; Tok Su Yun, Tok Cik Saad, Mak Siah..itu antara yang wajib. Tok suka bagi jiran merasa air tangannya. Tak apa lah kongsi benda susah payah gini..panjangkan sedekah.
Pulut kacau
Ini signature dish untuk kenduri atau raya bagi Tok. Suatu hari, orang datang maklumkan ada yang nak bermusafir ke Sudan. Kalau ada apa-apa yang nak dikirim buat Pak Teh yang sedang menuntut ilmu di sana, ruang akan disediakan. Tok pilih buat pulut kacau sebagai mewakili kiriman rindu seorang ibu kepada anaknya.
Sayang sekali kali ini pulut kacaunya keras. Tak tahulah kenapa Tok kirim juga walaupun tak menjadi. Mungkin dah habis modal, mungkin tak mahu kecewakan Pak Teh yang menunggu, atau mungkin Tok tahu..air tangannya sentiasa kena dengan selera anak.
"pulut kacau nan sebekas telah anakanda terima, mungkin akibat perjalanan jauh pulut kacau jadi keras namun tetap anakanda makan berkongsi dengan rakan.." begitu surat yang terima dari Pak Teh berperi. Permai ketawa tak cukup mulut. Tok hanya senyum. Senyum lain macam.
pulut kacau adalah nama lain bagi wajik.
onde-onde
Permai mengenalnya sebagai onde-onde. Namun, sebaik bercampur dengan kawan-kawan di Kelantan, sibuk pula mereka beritahu onde-onde tu yang warna hijau gaul dengan kelapa parut. Ok. Baiklah
Onde-onde intinya bahan yang sama dengan cucuq kacang. Jadi Tok boleh lah sekali harung buat dua kuih ini. Cuma, proses buat onde-onde ni rumit sikit dan yang paling Permai tak faham kenapa disalut lenga?. Sensitif la lenga ni..kalau dah gugur tu, cepat pula jadi hangit dan melekat kat onde-onde lain..jadi tak cantik hasilnya. Kau tahu kan lenga?. Sesetengah orang Malaysia memanggilnya bijan.
kulit onde-onde menggunakan tepung pulut. Pernah satu kali, entah salah adunan atau salah tepung atau apalah masalahnya..sebaik onde-onde dilepaskan dalam minyak, meletup onde-ondenya. Dia punya meletup tu lagi teruk daripada keadaan bila kau tak sabar-sabar nak menggoreng, belum sempat kuali kering dah masukkan minyak. Dah satu hal nak kena bersihkan minyak yang terpercik.
Permai?tengok sahaja dari atas tangga dapur, kemudian lari sembunyi di balik dinding
Tapi cerita Tok yang paling panjang ialah tentang lazimnya dia pada solat jemaah, solat malam, alquran, puasa sunnat. Kebiasaan yang Permai ambil bahagian pada kagum sahajalah. Entah apalah cucu yang seorang ni dapat daripada Tok dia... Itu, nantilah Permai ceritakan, insyaAllah..
"anak-anak boleh membesar, mempunyai hidup sendiri, kesayangan kita boleh pergi meninggalkan kita, masa susah, senang, gembira, sedih akan berlalu. Tapi kenangan akan kekal bersama kita" Raj Singh Puri (Yaadien, 2001)
P.E.R.M.A.I : mengenang, bergenang
0 comments:
Post a Comment