Ep.80 : Toilet-ek prem katha

Assalamualaikum. Salam sejahtera.

Suatu hari dalam tahun 1994, setelah 3 tahun Perdana Menteri melancarkan wawasan 2020 ~ sebuah gagasan halatuju pembangunan Malaysia ~ Permai perlu keluar dari rumah, dengan takut-seram-tak pasti bagi urusan 'membuang'. 
Tiada tandas di sini.
Di rumah Wan Permai. 
Siang malam. urusan perut yang meminta perlu diselesaikan dalam hutan kecil yang memisahkan antara rumah wan dan jirannya. Sesekali Wan akan ke hutan getah jauh di belakang rumahnya.

Tuhan..Permai dan kakak memang sepakat, kampung Wan lebih menyeronokkan berbanding kampung Tok kerana suasana kampungnya yang tenang, ada tv, boleh bebas bermain~ kerana ibu biasanya tak ikut bercuti di rumah Wan. Namun, sampai masa nak buang air..Permai jadi teringat-ingat pada tandas zink yang tercatuk di depan pintu dapur rumah Tok. 

Tempat mandi di sini~ di rumah Wan, terbuka. Boleh nampak langit dan awan, nampak hutan getah di kejauhan, nampak siapa yang sedang menunggu giliran di tangga menuju ke tempat mandi, cuma sebelah sahaja yang dihadang zink kerana menghadap jalan. Sesiapa pun tak perlu menjenguk ke 'bilik air', menoleh sahaja pun sudah dapat lihat semuanya. Asalnya memang seronok~ boleh mandi hujan dan air 'koq' serentak, tapi tahun-tahun berikutnya ketika umur Permai sudah beralih dari angka 8, mandi di tempat terbuka, tiada ruang menyalin dan takut sakit perut lebih mendatangkan gelisah daripada keseronokan mandi air sejuk dengan panorama indah seperti itu. Kadang Permai makan sedikit sahaja pada setiap hidangan, supaya tak perlu sakit perut nak membuang. 

Membuang air kecil juga tak pernah mudah. Di mana nak bertinggung kalau sudah begitu 'bilik air'nya?. Di ruang kayu api ~ Letaknya di belakang dapur. Tok penjual laksam yang dimasak menggunakan kayu api ~ ada tersedia tempat mencuci periuk yang boleh digunakan untuk buang air kecil. Tapi kawan, tempatnya mudah sangat nak di akses oleh orang lain. Pendeknya, tak sesuai dan tak selesa. Tak fahamlah..rumah ni saban tahun bertambah panjang, tapi masih tak ada tandas.

Tak ingat bila, akhirnya rumah wan ada juga tandas (^^)¥ . Alhamdulillah.

Tahun 2016 terjumpa satu lagu yang berkempen buat tandas. Lagu nyanyian Pak Ku Shadat. Baguslah. Semoganya, dalam seronok terhibur dengan melodinya, isi nasihat supaya bina tandas tu menjentik satu dua hati untuk meningkatkan kualiti hidup seharian. 
bila diamati, siap kerajaan waktu itu sediakan barang untuk buat tandas. Penyampaian maklumat melalui lagu rakyat. Begitulah kehidupan media sosial zaman itu. Alhamdulillah zaman sekarang penyampaian dan capaian lebih mudah. Semoga kita bersyukur dan gunakannya dengan cara yang betul.

P.E.R.M.A.I : Pengalaman mendewasakan dengan membentuk cara pandang yang pelbagai.


Ep. 79 : Kerana berangan itu percuma.

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Permai ini pelajar aliran agama. Dari peringkat rendah, menengah hingga atas..Permai ditempatkan dalam bidang pendidikan islam. Sejak dari kecil, Permai ada sekolah impian. Apabila sudah bergelar guru, ada anak kecil, ada anak bersekolah..sekolah impian Permai semakin berkembang.

Kerana berangan itu percuma.

Permai inginkan sebuah sekolah peringkat asas yang menyenangkan. Seronok berkawan, gembira bermain, bebas meneroka elemen asas tanah, langit, angin, api. 

Permai inginkan sebuah sekolah peringkat rendah yang menyeronokkan. Belajar bersahabat, menyokong dan membantu membina peribadi, bebas meneroka tanah, langit, angin, api, diri sendiri dan orang lain. 

Silibus buat ikut ilmu pedagogi, psikologi dan budaya tempatan.

yang penting, sekolah yang bermula lewat sikit dari pukul 7.30 pagi..balik pula awal sikit dari pukul 1 petang..

P.E.R.M.A.I : benda boleh bincang..