Ep. 70 : Makluman

salam.

Permai sedang buat cerita, Projek " Budak Pondok". Projek yang dah makan banyak tahun juga tapi perkembangannya sangat lambat. Tolong doakan moga berjaya ye. 

Kalau ada yang sudi bagi komen, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Terima kasih semua.

P.E.R.M.A.I: budak baru belajar

Diari Budak Pondok 1994 (1)


Kita di tahun berapa ? 1994

Berapa umurku? 8 tahun

Hari ini hari pertama persekolahan tahun 1994. Hari pertama persekolahan di sini mudah sahaja. Tak perlu berkenalan atau malu-malu. Kami sudah berkenalan tahun yang lepas. Orang yang sama juga. Semua persiapan sudah bermula dua atau tiga hari yang lepas. Pelajar asrama juga sudah sampai awal. Buku-buku teks juga sudah ada dalam beg.

Di sekolahku ini, buku-buku teks tidak datang daripada kementerian. Buku-buku ini disusun sendiri oleh guru-guru mengikut kepakaran masing-masing yang akan menjadi silibus mereka nanti. Jadi buku-buku ini dicetak sendiri oleh unit cetak sekolah. Jual pun murah sahaja. Tapi disebabkan ada banyak mata pelajaran, jadi banyak jugalah belanja awal tahun persekolahan.

Aku? Aku tak perlu risau tentang buku teks. Aku hanya tinggal tulis namaku di bawah nama Syed Ali dan Syarifah Aliah sahaja. buku-buku itu warisan daripada pak cik dan mak su ku. Buku-buku ini masih elok. Cuma memang  boleh cam ini bukan buku keluaran terkini kerana kulit luarnya pasti berbeza setiap tahun. Dan perkara yang lebih baik ialah aku boleh berlagak dengan kawan-kawan la lepas ini sebab buku-buku arab sudah bergantung-gantung makna bahasa melayu di bawahnya. Mudahlah pengajianku nanti. Cuma buku hilal sahaja yang sudah buruk. Benci pula aku tengok gambar-gambar orang dalam buku itu sebahagiannya dipakaikan cermin mata. Ada yang ditambah tahi lalat serata muka. Buku yang menggunakan kertas lembik kuning itu sudah lusuh dan diconteng sepenuhnya. Tak apalah..tahulah aku apa yang patut dibuat nanti.

#buku hilal

Sebenarnya bukan aku sahaja menerima nasib begini. Contohnya Amani, pelajar cantik dan pandai itu pengguna ketiga juga selepas abang dan kakaknya. Tapi bukunya banyak yang elok lagi. Kemas sahaja dibalut. Tak comot dengan makna yang bergantungan. Solehah pun gunakan buku terpakai. Dia pengguna keempat. Kakak-kakaknya selang setahun sahaja. Jadi Solehah ada kakak di kelas 6,5 dan 4 ibtidaiy.

Oh, umurku 8 tahun. Tapi aku di kelas 3 ibtidaiy. Hmmm..maksudnya darjah 3 lah lebih kurang. Bukan kerana aku lahir 1 januari, tapi di kelas 3 ibtidaiy ini kami campur-campur umur. Paling tua ada yang sudah 11 tahun, yang paling muda aku bertiga dengan Hafizah dan Nisa. Sebenarnya bukan kelas 3 ibtidaiy sahaja yang ada pelajar campur umur..semua kelas di sekolah ini macam tu lah..jadi aku tak tahu siapa yang lebih tua, sebaya atau lebih muda daripada aku.

Kelas kami terletak di bangunan 2 tingkat. Namanya bangunan Majidiyyah. Ia hasil sumbangan orang kaya yang namanya Abdul Majid lalu diabadikan sebagai nama rasmi bangunan tersebut. Kami di tingkat bawah. Atasnya adalah asrama untuk pelajar perempuan ibtidaiy tahap 1. Aku selalu dengki dengan kawan-kawan yang tinggal di asrama. Kalau tertinggal buku Cuma perlu panjat tangga untuk ambil buku. Aku pula perlu berjalan (atau berlari?) melintas sungai, padang, kedai runcit dan rumah-rumah untuk ambil buku sahaja.

#lukis majidiyyah

Kami tak boleh pakai kasut di dalam kelas kerana kami akan duduk atas lantai sahaja dibalik meja panjang. Lantai itu di pasang tikar getah (yang sepanjang tiga tahun aku belajar di situ tidak pernah bertukar).  Satu meja panjang boleh dikongsi tiga atau empat orang. Oleh kerana aku sudah kenal rakan-rakan kelasku dari tahun lepas, tahun ni teman semeja, bahkan susun atur tetap akan sama seperti tahun lalu juga. Bezanya nanti sewaktu menulis tarikh sahajalah. Seragam sekolah kami pun menarik. Untuk pelajar perempuan, tudung dan jubah biru gelap- blue black- yang fesyennya tak kisah asalkan jubah. Lelaki pula jubah putih dan berserban putih.

meja panjang (sumber: FB Harumanis Alternative School, Sabah)



Sekolah apa ni?

Namanya Madrasah Sa’adatud Daroin

Sekolah agama?

Ya, sekolah agama.

Pondok kah?

Tidak ada pondok

Habis kenapa kau letakkan ini cerita tentang budak pondok?

hmm..sebab aku lebih suka merasakan ini pondok dari sudut materialnya.


Ep. 69 : Masjid Asy Syarif

Assalamualaikum.

Seorang pensyarah yang dulunya seorang guru pernah ceritakan. Sewaktu pertama kali 'posting' mengajar tahun 1988, beliau ditempatkan di Kuala Selangor. Ibunya di Kelantan berpesan untuk beliau tuju ke dua tempat penting dan cari dua orang penting. Ke masjid mencari imam, ke rumah penghulu mencari ketua kampung. Begitulah, kita tak harus berpisah dengan masyarakat. Begitulah, Hari-hari pertama di Meru, banyak masa yang Permai & En.Damai habiskan di Masjid Asy syarif.



Masjid ini bangunan ikonik Meru. Terletak di tepi jalan selepas simpang empat utama Pekan Meru, tentu sekali Masjid Asy syarif adalah tumpuan Permai & En.Damai untuk memulakan hidup di sini. Kami bersantai di ruang legar antara bilik-bilik yang ada di dalam masjid. Kami sedang akses internet menggunakan khidmat jalur lebar percuma masjid untuk mencari rumah atau bilik sewa sekitar Meru, Klang di laman sesawang.

"Maaf, apa hubungan kamu berdua?, tak elok buat macam ni..tambahan dalam masjid pula.."

Wah, gugupnya ditangkap begini!!

"Kami suami isteri.." Lalu, dihulur kad akuan nikah. Mujurlah En. Damai beriya minta Permai cepatkan permohonan kad tu. 

"...kami sedang mencari rumah sewa.." Begitu En. Damai menyambung. Permai dah jadi patung cendana. Malunya kena tangkap dok berbincang-bergelak-bersembang berdua-duaan macam ni..

"Oh..masjid ada rumah wakaf..tapi baru je orang menyewa masuk..Meru ni ada banyak rumah sewa..tapi cepat je orang sambar kalau tahu ada rumah sewa kosong.." Hubungan kami & masjid menjadi cair dan akrab dengan permulaan begitu. Aduhai, indahnya..

Tapi kan..kasihan En. Damai tu..selain kena tangkap basah, dia pernah kena tangkap kering juga oleh AJK Masjid. Kisahnya, dia menumpang tidur di Masjid kerana waktu tu Permai menyewa bersama 2 orang anak dara. Tentu sekali membawa lelaki masuk ke rumah adalah suatu larangan mandatori. Jadi, En. Damai pilih tidur di masjid. Sudahlah dihurung nyamuk, elok sahaja mata dapat lelap, dia dikehendaki masuk ke bilik khas untuk diambil gambar manakala kad pengenalannya disimpan sementara untuk keselamatan dan langkah berjaga-jaga pihak masjid.

Hari-hari berikutnya, kami kerap ke masjid ini kerana ia makmur dengan kuliah daripada bintang ternama dalam kalangan pengkuliah selain ada pelbagai program yang konsisten dan mesra, jemaah pun ramai. Seronoknya kuliah pagi sabtu ~fiqh siyasah, sementara menunggu aktiviti kokurikulum bermula. Boleh santai mendengar kuliah di pondok wakaf sambil makan nasi lemak.

Bulan ramadhan, seperti kebanyakan masjid juga, Masjid Asy Syarif raikan orang berpuasa dengan agenda kuliah iftar- iftar jamaie - solat jemaah - kuliah. Permai selalu dibawa ke sini. Di sini Muhammad Thaqif & Muhammad Hafiy dikenalkan dengan masjid dan adab-adab hidup. Pelajaran yang sangat penting untuk mereka. 

Permai pernah datang buang sampah di masjid ini. Minyak masak terpakai dan  bahan-bahan yang boleh dikitar semula boleh dihantar ke sini.

Permai akui, waktu pertama kali terserempak dengan YB Dr. Rani (adun Meru) di sini, terujanya lain macam. Kemudian, kawan-kawan dan En. Damai sahkan yang YB memang selalu imamkan solat jumaat atau solat fardhu lain di Masjid Asy Syarif ini. Jadi, mereka kata..tak ada apa nak terujanya..pemandangan biasa.

Baiklah...
biasa sahajalah ketua menjadi imam solat..

Jadi,
biasa- biasakan lah ye..


Sebenarnya, sekitar masjid Asy Syarif ada banyak masjid dan surau. Separuh Persiaran Hamzah Alang sahaja dah ada tiga surau. Inilah yang seronoknya tinggal di Meru, panggilan azan itu sahut menyahut. Tinggal lagi, kita akan menjawab seruan itu dengan segera atau tangguh?sendirian atau berjamaah?.

Ep. 68 : perjalanan masih jauh.


Permai memandu menuju ke klinik. Alhamdulillah dapat petak parking yang dekat sahaja dengan pintu masuk, tak perlu menapak jauh. Masuk dalam ruang menunggu, Alhamdulillah orang tak ramai hari ni. Tapi, lamanya menunggu..tak dipanggil. Permai asyik pandang jam sahaja. Dari pukul 9.30 pagi hingga 12.20 langsung tak ada pesakit lain yang datang. Tapi Permai masih belum dipanggil berjumpa doktor. 12.25 nombor giliran bergerak, sekarang masanya untuk Permai jumpa doktor.

“Maaf ye puan, kami dah nak rehat ni. Saya bagi puan ubat,makan ikut peraturan. Kalau masih tak ok, ubat ni boleh dapatkan di farmasi. Tapi harapnya cepat baik.”

Haaa?? Itu je?..hmmm ok la..sekurang-kurangnya dah boleh balik, tak perlu menunggu lagi dah.

Lalu Permai keluar menuju ke tempat letak kereta yang sudah lengang. Ya Allah! Kereta hilang. Tak ada di petak parking tadi. Malah tak ada langsung kereta yang lain.

Ya ALLAH..tu bukan kereta Permai tu..kereta pinjam sahaja..macam mana nak menjawab nanti?. Aduhai…tolonglah..jangan hilang sekarang..waktu tengah sesak nak pakai duit untuk perkara-perkara lain. Geramnya kat diri sendiri. Tak habis-habis fikir, aku ke yang cuai? Aku ke yang silap letak?.

Sedihlah macam ni..

Permai pergi ke pondok pengawal, ada 3 orang yang berpakaian uniform dan seorang lagi berbaju biasa sedang berbual-bual. Masing-masing dengan selamba beritahu tak perasan  ada kereta saga warna perak di sini. Permai minta nak tengok CCTV. Sakitnya hati mendengar jawapan..

“itu hiasan je..untuk takutkan pencuri ke petugas ke..”

“buat laporan polis sahajalah..tapi puan kena tahan la..entah bila kes boleh selesai..”

“eh..ada ke kes yang selesai?” disambut ketawa beramai-ramai.

“nak kami cari pun boleh. Kami ada satu kamera yang ok..tapi ada bayar sikit la..sikit bayar..sikit tengok”

Permai cepat-cepat semak dompet..RM6..

“hmmm..tak apalah  saya tengah tak ada duit ni..”

Matahari pukul 1.30 faham sahajalah..nak minta tolong siapa ni?. Telefon bimbit pula tertinggal dalam kereta tadi.

Geramnya..letihnya..

Permai berjalan rentas sebuah sekolah. Ada sekumpulan pelajar yang sedang leka dengan gajet masing-masing. Permai tanyakan arah ke hentian bas atau telefon awam. Di jawab tak tahu tanpa angkat muka sekilas pun. Oh aduhai…

Teruskan lagi perjalanan, rentas sebuah taman yang sedang dalam pembinaan. Pokok-pokok pun belum betul ‘masak’ lagi..kering sahaja..

Tiba-tiba terdengar suara kanak-kanak menangis, Permai segera berlari mencari arah suara tangisan tersebut. Kelihatan dua orang kanak-kanak sedang bertangisan sambil sibuk cuba menutup satu punca air. Oh, terowong air macam bermasalah. Permai cepat-cepat arahkan mereka lari dan cuba dapatkan bantuan. Air semakin kuat menolak tanah. Rasanya memang tak tertolong lagi dah. Permai hampir tertimbus dalam tanah berlumpur.

Permai terjaga.
Alhamdulillah Cuma mimpi..
Mana ada doktor yang lalai dalam kerjanya..
Mana ada pengawal keselamatan yang culas dan buat tak bena sahaja..
Mana ada pelajar sekolah yang kurang ajar..
Mana ada kontraktor buat kerja halai balai
Tak ada semua tu kecuali dalam mimpi..


P.E.R.M.A.I : bukan main..mimpi pun tentang isu integriti.

Ep.68 : Perjalanan ke Meru

Assalamualaikum.
Permai & suami saling berpandangan. Amboi, selangor! Orang kata mana-mana calon yang dah berkahwin akan ditempatkan berdekatan dengan IPG masing-masing. Klang tu dekat ke dengan Jitra?. Pun begitu, kami bersyukur kerana suami Permai sedang fasa akhir pengajiannya di UM. Jadi ditempatkan di Klang rasanya agak membantu untuk kami berdua.

Meru sebuah pekan kecil tapi semuanya ada. Balai polis, pejabat pos, beberapa bank, pasar malam, klinik & stesen bas. Bagi Permai ini kemudahan paling asas yang Permai perlu sepanjang di sini. Tapi mercu tanda meru yang paling ikonik bagi permai ialah masjid meru, Masjid Asy syarif. 

Daripada Pantai Dalam bersama beg baju berisi pakaian untuk seminggu kami sang pengantin baru membelah laluan motosikal menuju Meru. Lalu Permai daftarkan diri di SK Sungai Binjai & diberi 4 waktu relif sementara En.Damai meronda sekejap sekitar meru. Tinjau kawasan. En.Damai tu sedang risau untuk tinggalkan Permai di Meru ni kerana dia tinggal bersama kawan-kawan bujang di PJ. 2 hari ni kami menginap di hotel sambil En.Damai carikan tempat yang lebih sesuai.

Ramai rakan guru yang berikan nombor untuk menyewa rumah. Aduhai..dengan bekal yang tak banyak sangat ni..menyewa rumah bukanlah pilihan..tapi Permai gembira diberikan rakan sekerja yang prihatin begini. Permai rasa seperti menjadi adik yang disayangi di sini. 

P.E.R.M.A.I : perjalanan yang mendebarkan. Taman berkat adalah rumah pertama Permai di Meru.

Ep 67 : balik rumah ummi


Salam
Cuti pertengahan penggal pertama persekolahan dijadualkan selama seminggu. Sudah menjadi kebiasaan permai dan en.damai untuk menghabiskan cuti di kampung kami di kedah. Jarang sangat kami bercuti ditempat lain. Memenuhi cuti dengan melawat & menziarahi saudara mara, menghadiri majlis kenduri sanak saudara atau jiran atau kenalan keluarga dan buat makan makan untuk keluarga membuatkan cuti seminggu itu penuh bererti. Menghabiskan cuti sekolah di rumah ibu bapa kami juga dapat mengubati rindu pada menu-menu air tangan bonda yang sangat kena dengan selera. Manakan sama air tangan bonda dengan masakan orang lain. Sebab tu permai sikit pun tak kecil hati kalau en.damai kata masakan sambal ikan keli mama lah yang paling sedap walaupun lidah permai rasa sambal ummi permai selalu sedang elok je pedas masam & masinnya. Tapi en.damai yang soleh tu memang nak juga jaga hati permai..sambil puji masakan mama, dia kata permai buat masak lemak pun masuk je dengan sambal mama. 

Tapi bagi permai, rumah ummi ada perkara yang tambah menarik selain menu2 sedap tu. Rumah ummi ada 4 rak buku yang besar dan penuh dengan buku. Jadi setiap kali balik, permai akan tinjau buku apa yg terkini @ belum dibaca. Yg bestnya buku2 ni ada pelbagai genre & dtg drp serata malaysia. INi lah untungnya ada adik beradik ramai. Kakak permai suka beli novel. Boleh lah nak layan..rasanya dalam 11 orang adik bradik ni..permai, kakak & seorang adik perempuan jenis yang boleh layan novel. Adik permai yang belajar uia tu pula ada banyak koleksi buku2 muktabar, karya agung, bahan ilmiah yg padat sesuailah dengan dia yg sedang belajar peringkat sarjana tu. Adik yg di unimap tu suka buku2 islamik, dakwah, tokoh & pembangunan sahsiah. Oh, seorang adik permai yg asalnya bukan pembaca sangat, tapi kemudiannya entah apa yg menggerakkn dia untuk meminati buku2 berat tentang liberalisme, falsafah2 & isu2 ekonomi. Yang istimewa, rasanya tak ramai ada adik macam ni..seorang adik permai kerja di sebuah rumah penerbitan yang agak terkenal juga di malaysia ni. Biarpun kerja kuli sahaja, tapi rumah penerbitan ni pernah 'beri' sekotak buku yg isinya boleh pilih sendiri sebagai sebahagian upah menjadi sukarelawan di pesta buku kuala lumpur..huwaaaa..heavennya!!

Jadi, bayangkan koleksi buku2 ni semua ada di rumah ummi. Memang kecur liur permai yang selalu buat senarai impian (wishlist) tapi asyik bertangguh atau tak jumpa sahaja bukunya. 

Istimewa juga di rumah ummi ni, kadang2 adik2 ummi (bapa saudara permai) tertinggal buku2 politik atau kitab arab yang baharu dan lama. Hmmm..adik beradik ummi kan orang bijak pandai, alim ulama. Masing2 ada banyak rak buku di rumah mereka. Jadi kalau ada yg tertinggal sebuah dua di sini, kami akan letakkan di rak buku supaya dapat dikongsi. 

Balik rumah ummi kali ni permai jumpa buku 

Saya Malala oleh Malala Yusoufzai
Pencuri pilih anjing oleh Ahmad Lutfi Othman

Cukuplah dua buah dulu

Permai pinjam ya..janji pasti dipulangkan..cuma bila boleh dipulangkan tu belum boleh janji. Sekarang ni permai pun merangkak2 nak habiskan sebuah buku. Kalau kena dengan isi kadang2 cepat sahaja habis. Tapi biasanya seminggu dua tu belum tentu dapat khatam.

Nanti kalau semangat permai ni kekal lama, permai akan buat ulasan buku sikit ye..insyaAllah

P.E.R.M.A.I : support #surimembaca

Ep. 66 : Ramadhan 1438

1 ramadan 1438 dari dalam wad kenanga 2D..semoga Allah beri sebaik2 ganjaran untuk Permai..semoga Husna kuat & tahu kuat itu sebahagian besarnya adalah sabar.

P.E.R.M.A.I : Ramadhan kareem.

Ep.65 : "Ke mana kita ni??"

Assalamualaikum.

Pukul 1.30 pagi Permai terbangun. Rasa segar sikit sebab dah tertidur daripada lepas isya' tadi. Semak mesej di aplikasi whatsapps.
"Dah tidoq ka?" 1.15 pagi
"Dah tidoq tadi..awat?" 1.30 pagi
"Stress la belajaq..saimen berderet, serabut pala otak.."
"Try la pi mancing ka..tengok laut ka..ambik angin sikit"
"Tak dan nak buat semua tu..ni pun dah 3 hari tak tidoq..dok buat saimen..pasni ada kuiz lagi.."
"Hmm..pi la tidoq..dok buat qeja sampai tak tidoq..memang la serabut.."

Senyap

"Belajaq ni memang penat..tapi kalau hang pikiaq belajaq untuk ilmu..hang akan rasa semua tu berbaloi..benda ni hang akan faham bila dah habis belajaq nanti.."

2 hari kemudian..semak akaun facebook dan ayat-ayat terakhir tu jadi status adik Permai, dengan caption ~ feeling positive~.

Kebetulan Permai ada menonton rancangan jejak jepun jihan petang tu. Kali ni Jihan Muse melawat Todaieji Tample, sebuah kuil yang diiktiraf Unesco sebagai bangunan kayu terbesar dunia.

Jihan menyebut begini lebih kurang..
[ bangunan ni walaupun dah dikecilkan saiznya daripada bangunan asal yang rosak akibat gempa , masih menjadi bangunan kayu terbesar di dunia. Mari kita tengok apa yang buat bangunan ni masih gagah sehingga hari ni.] Jihan pun tercangak-cangak, terangguk-angguk, tersenyum-senyum..

kemudian dia kata..
[Bila tengok tiangnya. Tengok reka bentuknya dan bahan yang digunakan pada bangunan ni..memang patut la Todaieji Tample ni boleh tahan sampai sekarang. Sebab saya belajar architecture dulu..saya faham la betapa kukuhnya bangunan ni..]

Belajar arkitek tapi jadi pelawak.

Nah, Inilah pointnya!!

Apa yang kau belajar, kau rasa sia-sia..buang masa..tapi sebenarnya tak ada apa yang rugi sebab ilmu yang kau ada itulah yang membentuk cara pandang kau terhadap sesuatu. Kalau kau dapat melihat dengan persepsi yang betul dan berpandukan ilmu, kau sebenarnya berada di tahap tersendiri. Kau berbeza dengan orang lain.

Susah Permai nak terangkan dengan sebaik-baik perkataan. Tapi harapnya  apa yang Permai maksudkan dapat sampai dengan sebaiknya.

P.E.R.M.A.I : memberi feeling positive pada orang lain pun antara kurniaan terbaik.