Ep. 69 : Masjid Asy Syarif

Assalamualaikum.

Seorang pensyarah yang dulunya seorang guru pernah ceritakan. Sewaktu pertama kali 'posting' mengajar tahun 1988, beliau ditempatkan di Kuala Selangor. Ibunya di Kelantan berpesan untuk beliau tuju ke dua tempat penting dan cari dua orang penting. Ke masjid mencari imam, ke rumah penghulu mencari ketua kampung. Begitulah, kita tak harus berpisah dengan masyarakat. Begitulah, Hari-hari pertama di Meru, banyak masa yang Permai & En.Damai habiskan di Masjid Asy syarif.



Masjid ini bangunan ikonik Meru. Terletak di tepi jalan selepas simpang empat utama Pekan Meru, tentu sekali Masjid Asy syarif adalah tumpuan Permai & En.Damai untuk memulakan hidup di sini. Kami bersantai di ruang legar antara bilik-bilik yang ada di dalam masjid. Kami sedang akses internet menggunakan khidmat jalur lebar percuma masjid untuk mencari rumah atau bilik sewa sekitar Meru, Klang di laman sesawang.

"Maaf, apa hubungan kamu berdua?, tak elok buat macam ni..tambahan dalam masjid pula.."

Wah, gugupnya ditangkap begini!!

"Kami suami isteri.." Lalu, dihulur kad akuan nikah. Mujurlah En. Damai beriya minta Permai cepatkan permohonan kad tu. 

"...kami sedang mencari rumah sewa.." Begitu En. Damai menyambung. Permai dah jadi patung cendana. Malunya kena tangkap dok berbincang-bergelak-bersembang berdua-duaan macam ni..

"Oh..masjid ada rumah wakaf..tapi baru je orang menyewa masuk..Meru ni ada banyak rumah sewa..tapi cepat je orang sambar kalau tahu ada rumah sewa kosong.." Hubungan kami & masjid menjadi cair dan akrab dengan permulaan begitu. Aduhai, indahnya..

Tapi kan..kasihan En. Damai tu..selain kena tangkap basah, dia pernah kena tangkap kering juga oleh AJK Masjid. Kisahnya, dia menumpang tidur di Masjid kerana waktu tu Permai menyewa bersama 2 orang anak dara. Tentu sekali membawa lelaki masuk ke rumah adalah suatu larangan mandatori. Jadi, En. Damai pilih tidur di masjid. Sudahlah dihurung nyamuk, elok sahaja mata dapat lelap, dia dikehendaki masuk ke bilik khas untuk diambil gambar manakala kad pengenalannya disimpan sementara untuk keselamatan dan langkah berjaga-jaga pihak masjid.

Hari-hari berikutnya, kami kerap ke masjid ini kerana ia makmur dengan kuliah daripada bintang ternama dalam kalangan pengkuliah selain ada pelbagai program yang konsisten dan mesra, jemaah pun ramai. Seronoknya kuliah pagi sabtu ~fiqh siyasah, sementara menunggu aktiviti kokurikulum bermula. Boleh santai mendengar kuliah di pondok wakaf sambil makan nasi lemak.

Bulan ramadhan, seperti kebanyakan masjid juga, Masjid Asy Syarif raikan orang berpuasa dengan agenda kuliah iftar- iftar jamaie - solat jemaah - kuliah. Permai selalu dibawa ke sini. Di sini Muhammad Thaqif & Muhammad Hafiy dikenalkan dengan masjid dan adab-adab hidup. Pelajaran yang sangat penting untuk mereka. 

Permai pernah datang buang sampah di masjid ini. Minyak masak terpakai dan  bahan-bahan yang boleh dikitar semula boleh dihantar ke sini.

Permai akui, waktu pertama kali terserempak dengan YB Dr. Rani (adun Meru) di sini, terujanya lain macam. Kemudian, kawan-kawan dan En. Damai sahkan yang YB memang selalu imamkan solat jumaat atau solat fardhu lain di Masjid Asy Syarif ini. Jadi, mereka kata..tak ada apa nak terujanya..pemandangan biasa.

Baiklah...
biasa sahajalah ketua menjadi imam solat..

Jadi,
biasa- biasakan lah ye..


Sebenarnya, sekitar masjid Asy Syarif ada banyak masjid dan surau. Separuh Persiaran Hamzah Alang sahaja dah ada tiga surau. Inilah yang seronoknya tinggal di Meru, panggilan azan itu sahut menyahut. Tinggal lagi, kita akan menjawab seruan itu dengan segera atau tangguh?sendirian atau berjamaah?.

0 comments:

Post a Comment