Ep 56 : Wajah Kesayangan Hamba

Salam.

Wajah kesayangan hamba adalah antara lagu popular nyanyian Hail Amir. Permai tidaklah menghafal lagu ini, tetapi kalau diberi peluang untuk meneka tajuk berdasarkan lagu, mungkin Permai akan dapat menjawab dengan tepat juga.

Untuk entry kali ini yang penting bukan lagu, yang penting perasaan (-,-) lalalalala.

Permai sedang merindu, moga-moga ada pahala dalam anugerah rindu ini. Wajah kesayangan Permai. Permai sedang menunggu 'dia'..

Sakit tau menanggung rindu. Jadi, jangan sia-siakan rasa itu. Elok kita salurkan rindu pada yang sepatutnya dengan bertindak yang sepatutnya. Rugilah mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang..memang menggoyah sabar..tetapi akhirnya kita sekadar sakit, tidak dapat apa-apa. Penasaran!

Manisnya rindu ini apabila kita dapat bertemu. Cepat atau lambat kadang-kadang bukan menjadi isu, yang penting sepanjang laluan rindu itu kita tabahkan hati dan teruskan berdoa moga anugerah ini dipanjangkan dengan rahmat ALLAH. Kerana itulah setinggi-tinggi anugerah ALLAH di akhirat nanti bukanlah hanya mendapat syurgaNYA, tetapi saat mendapat kebenaran untuk ‘melihat’ ALLAH seperti yang selalu diratib rindu sejak di dunia ini.

P.E.R.M.A.I: Selain lagu wajah kesayangan hamba, elok juga kita hayati lagu ‘RAYUAN RINDU’ dari kumpulan nasyid Raihan, moga kita beroleh manfaat.

Ep 55 : Hari Anak

Salam.

Eh, hari anak ada tarikh rasmi macam hari ibu dan hari bapa ke?.

Selepas bercerita tentang hari ibu dan hari bapa, Permai ada idea nak menulis tentang hari anak sebagai kesinambungan kisah.

Suatu pagi yang belum masuk waktu subuh. Permai dikejutkan dengan berita ~ thanks to FB kerana berfungsi sebagai pemudah khabar ~ bahawa sahabat Permai sedang bersiap untuk menjadi ibu buat kali pertama seumur hidupnya. Alahai..Permai dah cuak sangat..subuh itu doa dipanjangkan moga semuanya berjalan lancar dan selamat.

Nurul Awatif Ulya lahir jam 8.09 pagi. Selamat datang, sayang..

Anak ini suatu yang sangat kompleks bagi ibu dan bapa. Dia tidak pernah membesar pada pandangan ayah dan ibu, dia selalu dan sentiasa menjadi anak pada mereka..maka mesti selalu ditatang. Kadang-kadang situasi ini menyebabkan ibu bapa gagal mengawal emosi apabila anak teruna mereka berkahwin, maka menantu dianggap sebagai musuh pula. Ada sahaja yang kurang enak pada matanya. Kalau yang berkahwin itu anak gadis mereka, dia berpesan seolah menantunya orang yang paling tidak boleh dipercayai. Sekadar contoh, tetapi Permai yakin ramai yang tahu dan dengar cerita seperti ini.

Dalam mendidik anak sukar sekali untuk menentukan betul salahnya secara tepat. Permai yakin semua ibu bapa sudah mencuba yang terbaik mengikut pertimbangan masing-masing. Sudah tentu mereka sangat risaukan watak Tanggang atau Sazali yang menjadi momokan yang mengerikan. Kecintaan ibu bapa kepada si anak membuatkan mereka mencuba pelbagai teori kecintaan.

<< cinta itu jika digenggam rapat, ia akan mati…jika digenggam longgar, ia akan lari >>

sukar sekali bagi ibu bapa!


Pertimbangan mengikut neraca islam adalah yang paling kukuh untuk dipraktikkan dalam pendidikan anak-anak. Tiada apa yang tertinggal. Sedari memilih tapak untuk nutfah itu ditempatkan pun islam telah mengajar dengan sangat teliti. Apatah lagi soal pendidikan saat si bayi mula berkembang sebagai kanak-kanak dan remaja yang selayaknya diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Permai ingin memetik cara berfikir seorang pengarah drama tempatan, Sdr Murali Abdullah mengenai sikap manusia yang berputus asa dengan kehidupan sekaligus gagal dalam misinya sebagai khalifah.

“Bayangkan sperma berjumlah lima juta itu apabila masuk ke dalam rahim, separuhnya akan mati dibunuh cecair daripada ibu. Satu juta lagi berperang berlawan antara satu sama lain untuk memasuki telur. Jadi manusia yang paling kuat dan yang paling dasyat itu adalah kita kerana kita telah berjaya dalam perlawanan menentang jutaan. Tapi apabila lahir sebagai manusia kita lemah dan mudah mengalah. Kejadian ini adalah untuk difikirkan.”

Semoga hari ini membuka langkah kita untuk menjadi anak yang baik pada ibu bapa kita dan membuktikan kita layak bergelar khalifah di alam jagat ini.

P.E.R.M.A.I : Ingat lagi sahabat Permai dalam episode 39? Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk mereka sekeluarga ye..

Ep 54 : Hari bapa

Salam.

Selepas menulis entry pasal hari ibu, Permai sudah ada niat suci murni nak menulis tentang hari bapa pula. Tapi macam tersangkut pula selepas pinjamkan ‘suci’ kepada adik..amek pahala niat aje la..hehehehehe

Jadi, hari ini mesti tunaikan janji kepada diri sendiri. Takut nanti bila Permai pun dah tak percaya kat diri sendiri, lagi bahaya macam tu kan?(@.@) huhuhuhu

Baru-baru ni berkesampatan mengunjungi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), bukan saja-saja buat lawatan sambil belajar ke sana, tentulah sebab ada hal yang perlu diuruskan. Seronoknya dapat ‘melawat’ gedung buku di wangsa maju tu. Rasa tamak betul. Nak baca semua yang tersusun kat rak tu..!

Dalam memilih bahan bacaan yang terbaik, Permai sangat tertarik untuk membaca sebuah novel terjemahan dari Norway. Tajuknya ‘Gadis Oren’. Ketika itu, urusan telah selesai tapi mujurlah hujan turun mencurah-curah. Permai ada masa untuk menghabiskan bacaan dengan suasana yang sangat menyenangkan. Jadi rindu pada waktu kanak-kanak dahulu. Tingkap bilik sengaja dibuka untuk menghirup hawa hujan dan tanah yang sebati dengan harum kopi panas buatan tok, sambil itu Permai akan membaca. Kadang-kadang sampai tertidur. Hmmm..kenangan adalah untuk dirindui..

Sudah menjadi tabiat Permai kalau membaca novel, habiskan satu atau dua tajuk permulaan dan tengok apa kesudahannya. Tetapi untuk ‘gadis oren’ ini, Permai jadi sayang untuk menyelak helaian terakhir. Permai ingin sekali membaca mengikut tertib. Permai harap awan masih berat dan petang akan lambat. Biar lambat waktu pejabat berlalu.

Kisahnya seperti menyimpan suatu yang sangat misteri apabila Georg Roed, si watak utama berjanji akan menulis sedikit dan kemudian memberikan ruang yang banyak kepada ayahnya yang untuk menulis tentang gadis oren yang diangkat menjadi tajuk. Mereka menulis bersama-sama walaupun ayahnya telah lama meninggal!. Manis sekali kisah seorang ayah yang seperti ini.

Jan Olan seorang pengamal perubatan dan tahu bahawa penyakit yang dihidapinya akan membawa maut, lalu ketika itu dia menaip surat yang panjang untuk anaknya yang berusia 3 tahun bernama Georg Roed. Dia berharap anaknya akan membaca surat tersebut pada 10 tahun akan datang. Ini kisah seorang ayah yang sangat bimbang untuk meninggalkan anaknya. Dia tahu dia tidak mengenali anaknya pada 10 tahun akan datang, tetapi dia tetap mahu anaknya merasai kehadirannya walaupun dia sudah lama meninggal dunia. Suratnya menulis suatu kisah dan anak itu kemudiannya sangat menghargai semangat ayahnya yang tetap berperanan sebagai ayah walaupun telah meninggal dunia. Ayahnya bercerita untuknya, memberi nasihat, memberi sumbang saran untuk Georg membuat keputusan. Hmmm..inikan tugas seorang ayah?

Permai akhirnya tidak menghabiskan bacaan. Hujan belum mereda dan hari semakin lewat. Harus segera pulang. Permai tinggalkan novel tersebut kembali pada tempatnya. Permai jadi teringat pada ayah. Meredah hujan seperti ini, Permai jadi tenggelam dalam nostalgia.

Ayah itu orangnya jenis yang sanggup. Dia kadang-kadang tidak tahu segan dan sikap itu membina Permai yang aci redah aje asalkan kita yakin apa yang kita buat itu adalah betul dan tidak mengganggu orang lain. Janganlah kita menjadi orang yang lembab dan terlalu berhati-hati kerana bimbang memikirkan cakap-cakap orang yang tidak akan pernah habis. Sepanjang petang itu ingatan Permai dihantar jauh mencari kelibat ayah sepanjang hidup ini. Permai tidak mungkin dapat memahami gerak seorang ayah dalam takdir Permai tidak akan menjadi ayah walaupun seketika.

P.E.R.M.A.I : Semoga Permai jadi anak yang baik untuk abi & abah. Amiiiiiiiiiiiiiiiin..