Ep 51 : best selepas tak best & yang tak best sikit

Salam.

Satu petang, badan tersangat penat dan ‘pancit’.. kepala sudah berpusing dan berbintang.. cuma terfikirkan bantal dan tilam untuk berehat. Permai dan En. Damai sedang dalam perjalanan pulang dari kejauhan. Bukan dalam daerah kami. Penatnya Tuhan sahaja yang tahu.. meredah terik panas petang.

Perjalanan sudah menjauh daripada punca awal, namun masih belum tiba di hujung tujuan. Penatnya..penatnya..penatnya! badan sudah mengeluh dan menghangat..

Kami akur, kami sedang kesesatan (T.T)huhuhuhuhu.. Mujurlah beg yang dibawa berisi peta untuk rujukan pada saat tak terduga seperti ini. Memang sepatutnya tidak perlu sesat kerana kami boleh membaca dan sepanjang perjalanan ada sahaja sign board menunjukkan hala dan arah, tapi sekarang kesnya ialah sesat kerana tidak pandai ‘membaca’ arah. Penatnya!

Tenanglah hati..tiada sesat yang tiada jalan pulang…kecuali apabila matahari terbit dari barat.

Permai dongak mencari mentari petang.. AlhamduliLLAH..memang terik, tetapi ada kelegaan kerana ia masih dalam rutinnya menuju ke barat.

Justeru, kami memutuskan untuk meneroka kesesatan ini. Moga ada kecerahan di akhirnya. Kami bertekad untuk melalui rasa tak best yang sedang menguasai diri dengan seberapa positif yang dapat. Kami berbual sekadar untuk lupakan susahnya perjalanan ini.

Sign board dihadapan menulis ‘Kg. Jawa..’

Jujurnya daerah ini sangat asing bagi Permai, tidak bagi En. Damai.. di sinilah dia mengenal masyarakatnya berbanding di tanah tumpah darahnya sendiri. Tiba-tiba suasana menjadi begitu mengharukan saat kami terpandang sign board seterusnya yang berlatar hijau menulis perkataan yang sangat manis pada petang itu..Masjid Sultan Suleiman

Permai lihat wajah En. Damai seperti ada rasa syahdu yang tidak dibuat-buat. Permai lihat ada rasa rindu yang amat sangat untuk daerah itu. Permai lihat bibirnya tidak lekang dengan senyum dan dia bercerita pelbagai kisah manisnya di sini. Permai seperti melihat rasa gembira pada semua sudut pandangnya..seolah-olah semua sudut itu ada kisah yang tersendiri..semuanya ingin dia kongsikan dengan Permai yang kebetulan menemani dia ‘datang’ ke bumi waqafan itu. Katanya, dia akan berehat di masjid ini sementara menunggu pagar asrama dibuka paginya. Katanya lagi, kami akan berlari-lari menuju ke masjid ini pada setiap hari jumaat terutama apabila ada suara-suara keras mengerah. Katanya, terima kasih kerana mengikut dia ke tempat yang indah ini. Permai hanya banyak mendengar dan ikut tersenyum kerana terjangkit dengan dia yang tersenyum sepanjang pengkisahan itu. Kami solat asar disana.. Lama dia berteleku di dalam masjid yang pada Permai sendiri terasa seperti kembali ke zaman yang manis, terutama apabila melihat tempat wudhu’ untuk muslimat yang comel..(^^,)

Permai terfikir, indahnya petang yang hangat ini.. terutama apabila menyedari bahawa selepas susah ada senang, selepas rasa perit ada rasa manis. Sememangnya dalam setiap situasi tak best, tindakan yang paling perlu ialah bersabar dan meyakini bahawa selepas itu akan ada sesuatu yang best. Apabila kita sudah melalui pahit dan manis itu, biasanya barulah kita sedari bahawa itulah hikmah, itulah keluasan ilmu ALLAH yang sengaja disembunyikan daripada kita sebagai hambaNYA untuk menilai keimanan kita.

Suka untuk Permai ingatkan diri sendiri dan orang ingin mengambil iktibar, bahawa pada saat yang pahit..kuatkanlah hati, tetapkanlah kaki pada jalan yang benar kerana selepas itu akan ada yang indah menanti kita. Begitu juga pada saat yuang manis, berpadalah dan tingkatkanlah syukur kerana selepas itu kita mungkin akan kembali diuji dengan kepahitan.

P.E.R.M.A.I : Masjid Sultan Suleiman yang sungguh indah dengan panorama petang itu gagal kami abadikan dalam bentuk foto kerana rupanya kamera yang tersimpan dalam beg sudah kehabisan bateri. Dapatlah gagahkan satu dua keping..yang lainnya ‘tak dapek den nolong’. Ada sikit rasa tak best kat situ…hehehehe

Ep 50: Pesta Buku



Salam.

Pesta buku 2010

Kuala Lumpur International Book Fair 2010 (KLIBF 2010)

Datang dalam keadaan Permai tengah sengkek..

Memang dari mula biasiswa masuk dah asingkan bajet untuk beli buku *kalaupun tidak di pesta buku ni* tapi akhir-akhir ni perbelanjaan untuk makan pun makin ketat.. apalah maknanya KLIBF kali ini..

>>>>>>>>>>>>>>>>>

Tahukah anda, sebenarnya ayat-ayat di atas telah dikarang pada 21.3.2010.. masa KLIBF 2010..

Permai singgah 2 kali ke KLIBF 2010 sebab masa tu banyak buku yang dalam list untuk dimiliki..dan banyak juga yang dipesan oleh orang jauh nun di kedah..

Buku terakhir yang Permai beli di KLIBF 2010 ialah “Ketupat Cinta” karya Faisal Tehrani.. tidak termasuk dalam list..ketika itu, hati sudah ditetapkan untuk terus pejam mata &keluar cepat-cepat dari PWTC, bajet tinggal untuk awasan dan tambang pulang sahaja.. tetapi seketika seorang sahabat menarik tangan untuk meninjau buku (*lagi..x puas*) begitulah akhirnya Permai memungkiri janji dengan diri sendiri.. padahal Permai tidaklah begitu ngefan dengan karya Faisal Tehrani..cuma masih boleh menghadam karyanya yang dipinjam dari kawan-kawan..Permai belum berminat untuk memiliki setiap satu karya beliau..

Tetapi..novel Ketupat Cinta ini sangat manis pada pandangan Permai.. Wajahnya melukis isi yang sangat enak.. mengajarkan resepi-resepi kuih & lauk pauk berserta dirakamkan sejarahnya..sedapnya..(^0^)

Pada muka hadapan novel tersebut Faisal menulis untuk Permai “Permaisuri, selamat menjamu selera” lalu menjatuhkan tandatangan beliau..aduhai..Permai sangat berselera untuk menghabiskan novel ini.. sayangnya novel ini sengaja tidak ditulis habis..

Yang paling sayang.. tak sampai pun setahun..novel ini telah hilang dari simpanan Permai..

Ketika ‘mengemas’ barang untuk persiapan menghadapi banjir yang melanda Kedah penghujung tahun lalu, Permai mati kutu memikirkan bagaimana semestinya menyembunyikan buku-buku yang berjumlah separuh bilik sederhana besar. Akhirnya, ketupat cinta antara yang tidak dapat dikesan selepas banjir mereda.. mungkin ia tersimpan di tempat yang terlalu selamat.. huhuhuhuhu.. sedih..(~.~)

Mana lagi dah nak dapat novel tu berserta dengan kenikmatan seperti yang telah berlaku.. Permai tak tahan kalau kehilangan buku.. sakitnya.. tambah pula buku yang ada kenangan manis macam ketupat cinta..

Untuk Pesta Buku 2011, Permai telah siapkan senarai buku idaman..moga diberi kelapangan untuk ke sana..tarikhnya bermula 22 April 2011 hingga 1 Mei 2011. Lokasinya masih di PWTC.. jom kita ke sana..bawa semua keluarga mengunjungi gedung buku besar-besaran ni…seronoknya..ni baru la sesuai dikatakan meningkatkan industri perlancongan negara..biarlah negara ini maju secara bermaruah, geli & bodoh betol idea meningkatkan industri perlancongan dengan cara membuka pusat judi dan arak dengan luas..tak relevan!

P.E.R.M.A.I : Nak pi pesta buku!

Ep 49 : PERMAI

Salam.

Seorang sahabat pernah bertanya, “kalau ini Permaisuri, mana Sultannya?”

Seorang sahabat pernah bertanya, “kenapa memilih nama Permaisuri?bunyinya terlalu meninggi diri”

Seorang sahabat pernah berkata, “baru tahu identiti sebenar Permai ni, ramai tak puas hati dengan Permai ni”

Seorang sahabat pernah berkata, “cantiknya nick Permaisuri..tak sangka..”

Permaisuri adalah sisi yang berbeza dengan diri Permai yang sebenar. Memang sengaja Permai memilih nama Permaisuri dan Permai sebagai ganti diri. Inginkan sesuatu kelainan tapi masih ada sedikit identiti sendiri.

Permai ingin mengekalkan nama pilihan ibu bapa, cahaya ketenangan. Permai itu bunyinya manis dan sesuai sekali dengan nama sebenar Permai. Cuma ada sedikit yang ralat..Orang yang rapat dengan Permai pasti tahu betapa berbezanya Permai dengan sikap selayaknya seorang Permaisuri.

Justeru, sedikit demi sedikit..Permai sedang berusaha untuk menjadi Permaisuri buat si dia yang sudi mengangkat Permai menjadi permaisuri hatinya. Katanya, selayaknya seorang permaisuri, adalah yang mententeramkan dan membuatkan jiwanya permai dan damai. Permai ingin sekali mengotakan impiannya itu. Permai amat mengerti bahawa syurga yang permai itu hanya untuk hambaNYA yang soleh & solehah. Semoga daerah ini tidak terlalu asing untuk Permai menuju redhoNYA.



P.E.R.M.A.I : Terima kasih yang tak terhingga untuk si dia yang update episod ke 48, terima kasih untuk semua yang hadir dan yang mengirimkan doa serta buah tangan. JazakumuLLAH khaira al jaza’.