Ep.87 : Satu dekad pertama

assalamualaikum dan salam sejahtera.

Permai bersyukur kami mulakan dekad pertama ini dengan sama-sama menyapu air mata selepas membaca Jaja & Din, bersoal jawab tentang isi buku Why men don't listen and women can't read maps dan berdiskusi dengan serius perihal kemana wang anda?. Tak lupa juga kami menghayati lagu saat lafaz sakinah dan bersembang panjang mengenainya. Kami sama-sama menanti episod seterusnya drama Jewel in the palace dan ikut berbahagia dengan love actually". Sebelumnya, dalam pra-dekad ini kami belajar "Aku terima nikahnya" dan sekian ramai kolumnis majalah anis dan majalah i, disamping audio ceramah Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Syamsuri yang sentiasa menjadi pilihan. Terlebih awal dari itu, kami belajar mata pelajaran sains rumahtangga dengan ummi-abi, mama-abah, tok-tok wan kami tentang bagaimana menanggapi alam perkahwinan yang rencam dan mencabar. Semua ini selalu menjadi bahan untuk kami berbual santai atau serius kemudian membentuk sudut pandang kami sebagai pasangan dalam dekad pertama ini. Permai sungguh bersyukur.

Dekad pertama ini adalah tahun-tahun kami mencari titik persamaan. Yang tak reti makan salad & ulam. Yang jarang pekena ikan darat. Yang tak suka kicap. Yang makan kena berkuah. Yang semua benda kena cicah sos. Yang pantang makan tak ada etika. Yang nak mencedok sudu, sudip mesti guna tangan kiri. Ahhh..sekian banyak halnya, baru tentang makan sahaja..belum segala tiap titik yang lain. Tahun-tahun ini kami belajar tentang belajar dan terima serta belajar dan berubah.  Berazam - berjaya, berazam - gagal, berazam, setiap hari. 

Orang kata, 5 tahun pertama sangat penting bagi sesebuah rumahtangga. 5 tahun pertama kami Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Dan Permai ingin mengenang dekad pertama ini dengan senyuman.

Mungkin kerana Permai jenis yang 'enjoy the moment' ~ sebenarnya Permai belajar ini dari ibu ~ Permai menikmati semua senyum, ketawa, air mata dan drama perjalanan satu dekad ini. Mengizinkan diri untuk rasa kecewa, menyampah, gembira, bangga, sedih, mengamuk dan boo layan dengan Encik Damai. Sebab dari mula lagi Permai tahu bahawa tak mungkin Permai akan suka semua tentang Encik Damai kerana latar belakang, keupayaan, minat dan banyak perkara kami adalah berbeza. Kita boleh pilih untuk toleran, tapi bukan dengan membebankan. Kami sentiasa memilih percaya. 

Permai ingin mengenang satu dekad ini dengan senyuman. 

Mengenang kilometer yang pernah kami lalui dengan motor-kereta-bas-keretapi, 

mengimbau kilogram yang pernah 60 - 30 - 70, 

mengingati minit-jam-hari-bulan-tahun kami pernah berjauhan 

dan merenung setiap sen-ringgit yang pernah kami habiskan untuk menjayakan 10 tahun ini. 

Melihat orang lain berpasangan- dan menambah pasangan, melihat pasangan  yang ditinggalkan - hidup atau mati, malah melihat orang lain memilih bersendirian sering menjadi bahan refleksi bagi kami. Banyak sangat yang kami dapat dan perlu pelajari seiring peningkatan usia. 10 tahun berlalu, matang dan mentah silih berganti. Menjadi pengalaman.

Dan Permai ingin mengenang satu dekad ini dengan insaf.

Melihat rumahtangga ummi-abi, mama-abah sudah cukup untuk kami panjatkan syukur atas peluang memiliki pasangan yang kami rasa sepadan antara satu sama lain. Dulu, Permai suka lelaki cina hitam manis macam Louiss Khoo, pandai bercakap di khalayak awam macam Aznil Nawawi, meminati penulisan dan persuratan macam Zainuddin dalam tenggelamnya kapal van der wick. Namun, sedekad ini Permai suka En. Damai sahaja walaupun tak hitam manis, tak pandai bercakap di khalayak dan tak minat bersurat.

Seperkara yang selalu En. Damai ingatkan ialah, pasangan kita adalah pinjaman. Permai sedih dengan peringatan ini. Walaupun kita tahu tentangnya, lama sudah kita maklum bahawa kita tak akan kekal selamanya dengan pasangan, kita akan berpisah, hidup atau mati. Namun sedih pilu itu tetap hadir, mengikut kita ke mana-mana. Permai pilih doa supaya ditetapkan hati dalam menyayangi pasangan, agar sayang ini tak pernah membenarkan kita berbuat perkara maksiat. Doa supaya setiap kali diuji berkaitan pasangan, Permai tetap sedar itu ialah ujian kemudian mengambil langkah-langkah sepatutnya menangani ujian. 

Dulu, Permai suka menulis diari. Menulis apa sahaja dalam sebuah buku. Ternyata perkahwinan telah merencatkan tangan Permai dengan rutin yang pelbagai, dunia berpasangan dan beranak pinak mengambil cukup banyak masa Permai. Mutakhir ini, melihat anak-anak menulis diari sementara ibu cukup payah meluang masa menulis diari, atau sekurang-kurangnya menulis di blog, atau paling tidak menulis di facebook menyedarkan Permai satu dekad terlalu sekejap.

Permai insaf. Daripada berdua sehingga berenam kini, sebentar sahaja masanya. 10 tahun tak terasa. Janganlah 10 tahun ini sia-sia tanpa satu pun yang terpilih sebagai alkhair yang memberatkan timbangan amal baik Permai. 

Dalam dekad pertama ini kami saling mengasihi, cuba memahami dan berbahagia. Menuju dekad kedua yang entah dapat dicukupkan atau tidak ini, kami ingin selalu tersenyum dan menginsafi nikmat ini. 


P.E.R.M.A.I : Terima kasih En. Damai atas pahit manis satu dekad. Alhamdulillah.

Ep.86 : Tersilap

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Setiap kita pernah buat silap. Silap kecil. Silap besar. Ada yang kita kesali. Ada yang kita tak endahkan. Ada yang kita nak orang maafkan dan orang pun maafkan. Ada yang kita nak orang maafkan, sayangnya dia tidak pernah lupakan. Paling sedih..ada kesilapan yang kita buat berulang kali..

Permai seorang guru sekolah rendah. Kerja mencetak peribadi manusia pada umur kritikal yang akan membentuk bagaimana dia akan bersikap nantinya. Sekali silap kecil cetakan, mungkin ada kesan yang besar pada hasil akhir. Bagaimana kalau dua kali silap?. Bagaimana kalau tersilap besar?. Bagaimana mengurangkan kesilapan?. Bagaimana memperbaiki kesilapan?.

Doktor buat silap, seorang pesakit boleh mati. Guru buat silap, satu generasi boleh rosak. Pernah dengar orang cakap begini?. Cakap-cakap ini sangat menghantui Permai. Membuatkan Permai selalu mengingatkan diri agar tidak berbuat silap. Mana mungkin!. Oleh itu, Permai doakan semua murid dapat maafkan Permai dengan ikhlas dan sedar. Cepat atau lambat. Kemudian perbaiki apa yang telah Permai buat silap. Ambil kesilapan Permai itu sebagai iktibar dan menginsafi bahawa semua orang buat silap dan semua orang layak dimaafkan.

Mungkin itulah juga yang mendorong Permai kekal tersenyum setelah seorang doktor datang ke katil dan berkata.
"macam mana lah puan boleh tahan sakit tak dapat buang air kecil..?memang bahaya betul ni puan, dah hampir 7 liter ni.." Permai yang baru sahaja selesai proses UTI setelah 6 hari bersalin cepat-cepat senyum. Jangan marah..nurse dah sangat baik menyambut kelahiran anak Permai seorang diri sahaja..kemudian teruskan proses jahitan sehingga tersilap jahit sikit..

Itulah yang cuba Permai terapkan kepada anak-anak dan murid-murid, bahawa setiap satu tindakan kita ada sebab dan akibat. Jangan sesekali takut dengan kesilapan sehingga terdorong untuk melapiskannya dengan kesilapan lain tanpa hujung. Sebaliknya tetaplah berhati-hati agar setiap kesilapan diperbaiki dan tidak sesekali diulangi.

P.E.R.M.A.I : Permai pernah buat satu kesilapan yang bila dikenang, Permai ingin padam gambaran wajah sesal ibu Permai saat kami bercakap tentang perkara tersebut.

Ep. 85 : katakan yang sebenar

Assalamualaikum & salam sejahtera.


"right is right even no body do it.."



Si sulung Permai ada buat satu perkara yang si ibu rasa geramnya la haiiii..lalu Permai adukan kepada En. Damai. Kami setuju untuk tegur kesalahan anakanda seorang ni..



"Ibu cakap kamu buat ..bla..bla..bla.."



ala..ayah ni pun..jangan la cakap ibu yang mengadu..aduhai..



"Ayah pukul tapak kaki ni sebab kamu dah 3 kali ayah ibu bagi amaran. Apa yang kamu buat tu betul ke salah?"



Elok sudah reda tangis dalam pelukan ibu. Si sulung ini mengumam

"Rasa macam nak telefon polis je.." oh anak..


"Hmmm..sebenarnya kan, memang kamu boleh buat laporan polis..apa-apa yang kamu tak selesa dan rasa tak patut diperlakukan kepada kamu, kamu boleh laporkan h polis atau orang lain yang bertanggungjawab contohnya atuk atau jabatan kebajikan.." ibu memilih jeda kerana reaksi si sulung seperti sedang memikirkan sesuatu.



"kamu sangat dilindungi..kamu berhak untuk mendapatkan perlindungan daripada apa-apa perkara yang mengganggu emosi, fizikal dan mental kamu..."



"maksudnya?"



"contohnya..ada orang pukul kamu..itu gangguan fizikal. Contoh lain, ada orang ejek kamu..itu gangguan mental. Semua perkara yang kamu rasa tak suka orang buat kat kamu..kamu patut laporkan..kat ibu ayah atau cikgu atau sesiapa sahaja yang kamu percaya.."

ibu berkira-kira untuk masukkan point gangguan seksual..


"Apa syarat-syaratnya ibu..?"



"Syarat apa?untuk buat laporan?" si anak mengangguk.



"Syaratnya kamu kena bertanggungjawab atas laporan tu..kalau orang pukul, kamu rasa tak selesa, marah...rasa nak laporkan biar dia kena tangkap..tapi rupanya dia pukul sebab kamu curi duit dia..itu tandanya kamu tak bertanggungjawab atas laporan tu.."



P.E.R.M.A.I : tolong..Permai perlukan advokasi pendidikan membela anak-anak.

Ep.84 : syukur

assalamualaikum dan salam sejahtera.

syukur.
permai tiba-tiba boleh log masuk blog ni.
alhamdulillah.

P.E.R.M.A.I : Alhamdulillah

Ep. 83 : Abah

Assalamualaikum & Salam sejahtera.

Seminggu sebelum akad nikah, tunang Permai hantar Short Massege Service (SMS) yang agak panjang sehingga terpotong-potong mesejnya.  Ketahuilah...kalau Encik Damai yang super senyap tu berpesan, tentulah ini perkara serius. Jujurnya, Permai suka ketawakan Encik Damai yang 'mat skema' dan Permai sengaja mencari pasal supaya dia bercakap lebih sikit. Tapi apabila dia sendiri yang mula 'bercakap' panjang ni..macam takut la pulak..

Encik Damai berpesan supaya sentiasa bertahan dan tetap tabah serta buatlah persiapan sebaiknya untuk menghadapi ayahnya, bakal bapa mertua Permai. Perkara pertama yang Permai buat mestilah ketawakan pesanan itu. hahahahahaha.. 

Selalunya ibu mertua kan yang lagi menakutkan? apalah mengusik orang dengan modal ayah ni..

Kemudian, makin banyak pulak pak cik sorang ni berpesan..

aiii..ini sudah boleh mencipta cuak..

Permai pun ada ayah la..biasa la kan kita selalu takut kat ayah? Ayah balik je semua lari ambil tuala, berebut nak masuk mandi..padahal ibu dah berbuih mulut mengingatkan dari awal kan? 

Ni bukan pasal takut la Permai..ni pasal persediaan mental untuk masuk dalam keluarga orang lain..

errr...tu bukan menakut-nakutkan orang ke Encik Damai? tak apa lah..pejam mata, fikir positif..tapi sebenarnya pesanan itu sentiasa mengusik tenang Permai.

Mengenali abah..Permai ada rasa bercampur-campur. Abah lelaki yang amat Encik Damai kasihi. Abah berperwatakan tangguh, abah terus maju setelah lama berjeda dalam fikir-sifir yang dalam. Abah bekas guru matematik yang amat masak dengan pengalaman. Abah yang mahir dengan pelbagai juadah menu, merasa penuh kearifan. Sangat banyak yang Permai pelajari dari cakap-cakap dan kerja buat abah. 

Di mata kita, keputusan abah banyak yang tak betul. Tapi, menyanggah abah perlulah halus berseni. Bukan untuk mengubah abah..tapi untuk kita bertenang sendiri. Di hati kita, cakap abah banyak yang melukakan. Tapi di hati abah tidak satu pun aksara untuk membuat musuh. Kita katakan itu ego, abah rasakan itu ilmu. Kita fahami itu nanti, abah telah menjadikan itu sekarang. Sukarnya mengenal abah..kerana dia seorang lelaki yang puas dihentam badai susah, senang, marah, bengis, nasib, sakit dan sendiri. 

Abah yang sering cuba mengambil hati menantu sulungnya dengan pelbagai kata puji. Abah yang kadangnya mengusik hati anak isteri menantu cucu dengan reaksi sukar dimengerti. Abah yang menjaga keluarganya dengan pelbagai jangkaan terburuk. Abah yang mengawasi tiap gerak isi rumahnya walaupun dalam gelap pandangannya. Tuhan..berilah lelaki ini sebaik-baik balasan atas baiknya dia mengajarkan aku erti menjadi keluarga.

P.E.R.M.A.I : Permai tak kan pernah sekasut dengan abah.

Ep. 82 : Menggantung hati

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Baru-baru ni kerap baca~suka~kongsi status Tere Liye tentang rokok. Rokok ni satu benda yang pelik tau..ramai orang tahu ia haram-tak elok untuk kesihatan-bahaya tapi ramai juga yang merokok. Permai pernah cuba hisap rokok, sebelumnya sudah diperingatkan bahawa rokok ni tak sedap.. rasa asap sahaja.. cuba dulu rokok daun.. jangan dibakar rokok kertas tu..mahal tu harganya.. 

sedutan pertama batuk, sebab telan asap.
sedutan kedua sakit hidung sebab asap naik ke sana.
sedutan ketiga tak ada apa-apa, api dihujung tu terpadam.

Semalam Permai sembang dengan En.Damai tentang kawan-kawan yang merokok, tentang status ustaz tetapi merokok, tentang guru disiplin yang menghukum pelajar merokok sedang masa senggangnya dia pun merokok dalam kawasan sekolah. Biasa sahaja mulut Permai ni menista orang lain waktu bercerita.

"Abang takut kalau suatu hari nanti abang merokok juga"

"Kenapa??" tak percaya En. Damai akan keluarkan kenyataan macam tu..

"Yalah, mungkin akan terpengaruh dengan kawan-kawan..mungkin kita sedap ja mengata orang merokok..jadi ujian kat kita pula.."

"Nauzubillahi min zalik.."

Ya, Permai..tolong sedar! Hidup ini penuh dengan ujian yang tak ada satu pun boleh menjamin kita melepasinya dengan selamat tanpa bantuan Allah. Segala dugaan harta, keluarga, ilmu, sikap dan sebagainya satu persatu akan bertali arus mengasak kita. Tinggal doa-doa kita sebelum, semasa dan selepas diuji itu bakal menguatkan kita. Juga doa sesiapa sahaja yang Allah pilih untuk kabulkan walaupun dia meminta bagi pihak orang lain. Tinggal harapan adanya balas baik dan buruk yang buat kita bertahan teguh mendepani dugaan. Hanya padaNya lah kita menggantung hati.

P.E.R.M.A.I : kita tak boleh pilih nak diuji dengan apa..tapi kita boleh pilih untuk hadapinya sehingga habis..

Ep.81 : Doa siapakah?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini hari jumaat. Pagi ini Permai kesiangan, solat subuh pun lewat apatah lagi nak membaca alkahfi (-○-). Tiba-tiba telinga menangkap bunyi hujan yang melebat. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Doa siapakah yang dijawab Allah pagi ini? Yang dengan tulus meminta hujan setelah Malaysia merekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi sedunia. Doa siapakah yang diterima Tuhan pagi ini?

Adakah doa anak-anak yang diberi cuti, lantas memohon agar diturunkan hujan supaya dapat terus berkawan ~ bermain ~ belajar.

Adakah doa pesakit-pesakit yang sesak dadanya, lalu meminta supaya segeralah jerebu ini menghilang.

Adakah doa ibu-ayah yang runsing fikirannya, mengenangkan anak cucu yang tiada tempat asuhan, terganggu rutinnya, meresahkan belanja.

Adakah doa pemimpin masyarakat yang diacah~perli~bentak sehingga hatinya dengan lembut bermunajat agar disenangkan kekacauan jiwa.

Tuhan..Maha Baik Engkau.. mendengar~menerima~mengurnia sepenuh rahmah. Tuhan..aku yang lalai, aku yang alpa, Tuhan..ampunilah aku.. 

P.E.R.M.A.I : Terima kasih para pendoa..Permai menumpang bahagia..