Ep. 95 : Namanya Ali

Assalamualaikum & salam sejahtera.


Ali memang nama yang biasa untuk sebuah cerita rekaan. Ali, Abu, Ah Meng, Raju, biasa. Tapi bagi kami, anak-anak Cikgu Mad, watak Ali bukan rekaan, bukan biasa sebab dia ada kelainan. Sewaktu Permai dalam fasa bertunang, Permai perkenalkan kepada En. Damai kami 10 beradik via SMS. Permai tulis " Yang ke lapan namanya Ali. Dia istimewa". Lalu En. Damai yang baik hati itu menjawab dalam jawab "Hebatnya keluarga awak ada anak istimewa, boleh rasa aura bangga bukannya rendah diri bila awak perkenalkan Ali". Kahkahkah.


Ali istimewa, dia malas pergi sekolah, tapi scorer. Dia senyap sahaja, tapi debater. Permai jarak 13 tahun dengan dia, jurang generasi tu ada, tapi cepat Ali tutup dengan topik-topik dewasa yang dia kuasai sejak kanak-kanak. Sebab tu dia boleh sembang dengan kawan-kawan Abi dengan mudah tanpa canggung tapi masih beradab sesuai budaya dan amalan kebiasaan kita.


Ali minat membaca dan bacaannya cepat tercerna menjadikan pemikirannya mendahului umur dan membentuk seorang Ali yang berkeyakinan tinggi. Oh, kadang terlalu yakin..sehingga dia lupa dia masih amat mentah. Permai sebagai kakak, tiada rasa berat hati melepaskan Ali ke mana-mana. Dia sungguh boleh diharap dan jenis yang boleh hidup walaupun dia asalnya dia orang yang memilih makanan. Tapikan hidup ini bukan tentang makan sahaja. Justeru, niat Abi mahu kirimkan Ali ke Tanah Besar China ketika usianya belum remaja memang masuk akal. 


Ketika penerbitan buku alternatif sedang mekar, Ali masuk scene dengan nama rekaan yang memgundang tarikan katanya. Permai mendapat faedah dengan kiriman buku-buku segar dari pelbagai rumah penerbitan yang menjadi 'kawan-kawannya'. Ali bermurah hati hantar kotak-kotak berisi buku pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur untuk kami adik beradiknya. Waktu itu, Permai sudah tahu yang Ali bukan lagi untuk kami sekeluarga sahaja. Dia sudah bergabung dalam masyarakat, malah sudah menyalin gaya Abi yang harus kerap menjawab panggilan telefon, lalu Permai tinggal mengintai-intai sahaja lewat media sosial. 


Khabar Ali selanjutnya diterima daripada ummi yang lebih kerap dihubungi Ali berbanding Permai, kakaknya. Tak mengapa, asal dia baik-baik sahaja, asal dia masih adik kami. 


Tentulah dia tetap adik Permai.


Mengenang Ali kini tidak lagi mengundang senyum atau dekah. Fikiran serta merta jadi berat dan seperti ada satu pisau tajam menghiris hati Permai. Risau bercampur marah, kasihan bercampur hiba, rindu bercampur hampa.


Ali ditahan di penjara.

Harapnya sementara. 

Kerana memang semuanya sementara.


Semoga dipertemukan dengan orang yang baik. 

Kerana orang yang baik ada di mana-mana.

Kerana semua orang asalnya baik.

Kerana semua orang layak menjadi yang terbaik.


P.E.R.M.A.I : Dia tetap adik Permai. Di luar penjara atau di dalam penjara.

0 comments:

Post a Comment