Ep. 78 : Kasih dan seksa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pernahkah anda membaca karya Andrea Hirata bertajuk Laskar Pelangi? Sebuah nukilan yang meletup hebat, diterjemah merentas negara bahkan diadaptasi menjadi filem. Selesai membaca novel ini, watak Trapani yang akhirnya terkurung terseksa jiwa itu agak memberi kesan kepada Permai. 

Beberapa hari lepas, watak ini kembali menghantui Permai. Kisahnya, pukul 9.00 pagi..anak-anak tahap satu sedang mengisi waktu rehat di kantin. Selalunya Permai akan berputar di sana, memeriksa; mengawal; mengawas. Tapi hari itu, terlajak masa di surau terlihat sepasang ibu bapa mengawas anak makan. 

Lalu dengan sengaja bertegur sapa.." Wah, seronok la dia..hari ni ibu ayah teman makan!"

Sedikit mencebik si ibu membalas " Jenuh dah hari-hari macam  ni.."

Bapanya menokok " tahun 1 je ni bagi 'chance'..tahun depan kena hadap sendiri.."

ooh..demam(?)

"Tak apa..nak manja sekejap..esok dah segar sikit..boleh makan dengan kawan-kawan.." begitu cubaan menamatkan perbualan.

Segera ibu pamerkan kejengkelan "Tak tahu la cikgu..dia tak boleh makan dengan orang..dia muntah-muntah.." 

ting! muntah?? tanda amaran merah! " Eh, ada salah makan makanan kat kantin ke?"

Tangan digawang " Dia tak boleh makan dengan orang..tak boleh makan ramai-ramai..nak termuntah.."

"kat rumah pun dia makan kat ruang dia sendiri..tak makan kat meja dengan orang lain.."

"Entah apa yang tak kena dengan dia..kalau makan dengan orang..dia muntah-muntah.."

"Itu yang hari-hari kena bawak bekal, teman dia makan kat sini.."

Masha Allah!
Permai sangat percaya yang setiap ibu bapa normal sentiasa mencuba memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka. Sentiasa berusaha, bertungkus lumus, memerah fikir dan keringat. Sentiasa mahu bertemu titik punca yang benar dalam perjalanan membesarkan anak.

Permai terdiam tetapi otak ligat mengenang Trapani, watak ini cepat datang, cepat juga Permai usir. 

subhanallah!
kita boleh katakan, itu bukan pendidikan yang benar..itu hukuman..itu bukan kasih..itu seksa..

Kita boleh kata apa sahaja, kerana kita tidak tahu mereka sudah menunggu hingga lanjut usia untuk mendapatkan zuriat. Kita tidak sangka yang mereka sudah menjalani ribuan kali dan tahap pemeriksaan atau terapi. Kita tidak menjangka apa jenis trauma dan fobia yang dihidap. Kita berkata setelah hanya melihat dalam sekian minit tentang seorang anak yang termuntah apabila makan beramai-ramai. Sedang kita tak pernah tahu peri panjang dan lebar kisah di sebalik detik yang singkat itu. 

Watak Trapani datang lagi. 

Mari kita pamer wajah simpati dan latih hati untuk empati tiap kali melihat dan mendengar masalah orang lain. 

Sungguhlah amat sedikit yang kita tahu dan rasa.

P.E.R.M.A.I : Setiap suatu mungkin hanya persepsi atas pengalaman kita sahaja.

0 comments:

Post a Comment