Permai sangat seronok bila En. Damai janjikan surprise..
“Nak bawak jalan-jalan kat taman..” katanya.
AlhamduliLLAH, En. Damai bawa Permai berjalan-jalan di taman antara taman syurga. Terima kasih kepada En. Damai yang sudi bawa Permai mengikuti kuliah khas di Masjid bersama Syeikh Nuruddin Marbu Abdullah. Untunglah suami Permai tu..dia dapat bersalam dengan Tuan Syeikh, pastu dia buat tak nak salam dengan Permai dah, sengaja tak nak share berkat.. tak baik tau..
Ini sedikit perkongsian ilmu..
Setakat mana kita layak menggunakan rasional akal semata-mata dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan?. Sememangnya akal adalah antara teknologi yang paling hebat dalam penciptaan manusia. Tidak kira akal itu sihat atau tidak, tetap menunjukkan kuasa ALLAH mengatasi semua kemampuan manusia sesuai dengan taraf kita sebagai HAMBA!. Bertapa ALLAH lah Yang Maha Tahu segala yang betul dan tepat untuk kita sementelahan DIA lah yang mencipta kita. Justeru DIA utuskan Nabi dan turunkan Al Quran supaya logik akal tidak mudah melencongkan kita daripada jalan yang benar.
Kita masih ingat dengan gurauan karikatur dalam akhbar Utusan beberapa waktu lalu yang langsung tidak lucu!!. Mengikut logik akal apalah bezanya merakam aksi zina dengan aksi rogol?. Namun, janganlah kerana ilmu yang dangkal kita mendabik dada melaungkan kejahilan kita tersebut. Rasional dan logik semata-mata tanpa didasari oleh ilmu syariat akan menjadikan kita orang yang sesat lagi menyesatkan.
Mengikut pemikiran kita yang berilmu cetek ini serta berdasarkan logik, siapakah yang paling hebat di dunia ini?.
Kalau dikatakan gunung yang hebat kerana pasaknya kuat, datang besi menggerudi gunung sedalam yang dapat..akan pecahlah gunung-ganang menjadi batu-batu kecil dan ratalah bukit atau gunung.
Kalau dikatakan besi yang hebat kerana dapat menembusi gunung, datang api membakar dalam darjah yang tinggi..akan leburlah besi waja tersebut menjadi cairan yang meleleh.
Kalau dikatakan api yang hebat kerana dapat melembutkan besi yang keras, datang air mencurah atau menitis..akan padamlah api yang marak meninggalkan bahan bakar yang hitam.
Kalau dikatakan air yang hebat kerana dapat menyejukkan api yang panas, datang angin menghembus lembut atau taufan..akan kontanglah sungai menjadi longkang yang kering.
Kalau dikatakan angin yang hebat kerana dapat mengeringkan air, datang manusia mengatasi angin dengan kemampuan mencipta kapal terbang merentas hawa untuk sekejap berada di Paris untuk berbelanja, sekejap berada di New Delhi untuk persidangan ekonomi, sekejap berada di Osaka untuk pembedahan jantung.
Kalau dikatakan manusia yang hebat kerana kemampuannya yang mengagumkan itu, datang rasa mengantuk..kalahlah manusia meskipun dia tidur di hotel atau di dalam kapal terbang, dia dalam keadaan yang lemah.
Kalau dikatakan rasa mengantuk yang hebat kerana dapat menewaskan manusia, datang rasa takut dan bimbang..hilanglah selera untuk tidur meskipun dipaksa dan kenyang menelan pil tidur.
Kalau dikatakan rasa takut dan bimbang yang hebat, datang rasa kehambaan yang menarik seorang hamba ke titik sujud..menjauhlah perasaan takut dan bimbang kerana saat itu hati menjadi tenang dalam pertemuan indah antara makhluk dan Khaliqnya.
Janganlah kita seperti lagu ‘bangau oh bangau’, menyalahkan untuk membuat alasan. Jadilah kita orang yang sedar diri, bertapa hebatnya kita sebagai manusia..hebat lagi ALLAH yang menciptakan kita.
Bersempena dengan kedatangan bulan terbaik dan berkat ini, mari kita sama-sama menghayati erti hebat yang hakiki. Pada subuh yang dingin, ulangkan dalam hati..
“Siapa hebat?”
“ALLAH”
“siapa kita?”
“Hamba”
Permai cadangkan buku “Asmaul Husna : Dengan Nama-MU Aku Hidup ” sebagai bahan muhasabah kita.
P.E.R.M.A.I : Salam Ramadhan, moga ramadhan ini menjadi ruang yang berkat dalam hidup kita.
0 comments:
Post a Comment