Ep 58 : 9 julai 2011

Salam.

Tarikhnya 9 julai 2011, bersamaan 8 syaaban 1432, harinya hari sabtu. Hari minggu. Hari cuti.

Permai bangun seperti biasa, tenang-tenang sahaja walaupun Permai tahu hari ini ada acara yang gempita khabarnya seluruh negara, baik secara positif ataupun negatif. Hari ini bakal mencatat sejarah yang tersendiri untuk negara Malaysia tercinta. Demonstrasi aman BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil). Justeru, Permai sangat ingin menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Namun, dengan diri yang sedar, Permai faham bahawa tidak menyertai bukan bererti tidak bersama apatah lagi tidak menyokong. Permai faham bahawa tidak menyertai ini juga adalah sebahagian daripada perjuangan untuk membina sejarah yang baik buat diri dan masa depan.

Hari ini cuacanya baik. Angin sejuk bertiup menandakan awan membawa hujan. Memang mengharapkan hujan turun mencurah-curah hari ini terutamanya di Bandaraya Kuala Lumpur, biar gagal usaha untuk menzalimi orang yang berhimpun. Biar semangat para demonstran naik melonjak kerana merasakan kuasa ALLAH yang menghantar tentera-Nya bersama orang yang benar. Permai buka pintu koridor dan tingkap luas-luas supaya udara dalam rumah dapat disalin disamping melapangkan hati yang terasa sempit dek ralat tidak dapat turun ke Kuala Lumpur untuk berjalan dengan aman di sana. Ralat juga walaupun setiap hari menuju ke tarikh ini Permai sentiasa cuba menata hati supaya ikhlas dengan keputusan ini. Hati Permai ada di sana, Permai menghantar belahan hati ke sana dengan doa moga perjuangan kami ini dinilai sebagai al khair di sisi ALLAH.

Sepanjang hari Permai biarkan laptop terpasang, merefresh laman sesawang yang selalu mengemaskini lintas langsung dari tapak demonstrasi. Sekejap-sekejap pandang handset, menanti khabar, tidak kira khabar baik atau khabar tidak baik..Permai tetap ingin tahu. Permai tidak mahu terlalu jauh dengan apa yang bakal menjadi sejarah ini.

Permai hantar pandangan ke luar tingkap. Meninjau kanak-kanak yang leka bermain sepak takraw sejak pagi.

Aduhai kanak-kanak..hari ini ratusan ribu berkumpul di Kuala Lumpur adalah kerana mereka sayangkan negara ini. Mereka mahu negara yang lebih baik untuk ditinggalkan kepada generasi kamu kelak. Mereka mahu kamu mewarisi sebuah negara yang bersih dan adil untuk didiami tanpa rasa marah dan kecewa terhadap mereka. Mereka mahu kamu terus dapat bermain sepak takraw dengan bangga kerana jati diri negara kamu tetap terbela.

Aduhai kanak-kanak..dalam riang kamu bermain hari ini, jangan lupa tunaikan solat. Pohonlah doa agar kamu dapat terus bermain dengan aman dan yakin dalam negara ini. Berdoalah agar ibu bapa kamu dalam kesejahteraan dan sentiasa menyayangi kamu serta dapat mendidik kamu menjadi anak yang baik.

Permai jadi hiba mendengar gelak tawa kanak-kanak yang bermain. Ketika masuk waktu makan dan solat zuhur, riuh itu menjadi diam.

Tenang di Klang, tidak tenang di Kuala Lumpur. KL sudah seperti tempat berperang, kelihatan asap mengaburkan pandangan, memedihkan!!. Semburan air kimia juga sewenang-wenang membasahkan peserta himpunan. Permai jadi hiba melihat gambar dan video sepanjang demonstrasi dan mendengar khabar-khabar yang tidak indah dari KL. Sedihnya! Inikah negara Malaysia yang Permai sayang? Kenapa begitu kasar layanan yang mereka terima?. Mereka warganegara yang sayangkan tanah tumpah darah. Mereka datang dengan menempuh pelbagai sekatan jalanan yang tidak masuk akal dan akhirnya mereka dilayan seperti penjenayah!!.

Anakku, kita tidak meyertai perhimpunan itu bukan bermakna kita sudah berpuas hati dengan ‘kemajuan’ negara kita ini. Bukan bermaksud kita suka dengan kezaliman yang mereka lakukan pada rakyat secara terang atau sembunyi. Kita sama sekali tidak redho dengan kerakusan mereka memimpin tanpa berpegang kepada ajaran islam yang kita anuti dan yakini kesempurnaan syariatnya. Kita bukan golongan silent majority, kerana kita tidak akan berdiam sahaja menikmati keselesaan tanpa kenal erti pemangsaan.

Anakku sayang..lihatlah mereka sebagai pejuang. Jangan sekali-kali anak ibu menjadi orang yang tidak mengenal antara hak dan batil. Sesungguhnya ibu doakan kita sentiasa menjadi hamba yang terang hatinya melihat kebenaran walau dalam gelap.

P.E.R.M.A.I : Menulis dengan emosi

0 comments:

Post a Comment