Inilah yang Permai janjikan. Satu petikan mengenai bola sepak yang dah lama Permai simpan..terima kasih kepada hikmah, kamilah, saiful dan ali yang sudi menjadi tukang taip untuk memindahkan artikel daripada helaian utusan mingguan kepada softcopy...touche..
MAKNA LAIN BOLA SEPAK
OLEH NOOR AZAM SHAIRI
Kematian Presiden Ivory Coast , Felix Houphouet Boigny pada tahun 1993 selepas memerintah selama 30 tahun telah mencampakkan negara Afrika Barat itu ke lubuk krisis politik yang cukup dalam. Kemuncaknya ialah perang saudara sehingga membelah negara itu kepada dua, antara orang Islam di utara dan masyarakat Kristian di selatan yang menyokong Presiden Laurent Gbagbo. Tetapi sejak skuad gajah itu layak ke Piala Dunia pada Oktober 2006, rakyat negara itu tidak lagi memikirkan tentang krisis politik tetapi sebaliknya bola sepak.
Apa yang menariknya ialah para pemain sendiri yang terdiri daripada orang islam dan kristian yang mahukan konflik itu dihentikan dan rakyat kembali bersatu. Mereka bertanya apakah ertinya layak ke piala dunia tetapi negara porak peranda kerana perang saudara?
Inilah keajaiban bola sepak yang mempunyai kuasa sebagai penyatu. Keajaiban seperti inilah yang barangkali mendorong bekas Menteri Luar Jerman, Joschka Fischer mengisytiharkan dalam kata pengantarnya kepada analisis Goldman Sachs bertajuk The World Cup And Economics 2006 bahawa apabila temasya empat tahun sekali ini bermula “bola sepak akan menjadi simbol dunia yang bersatu”.
Walaupun bola sepak diakui mempunyai kuasa sebagai penyatu ,sejarah bagaimanapun mencatatkan ia juga boleh dan pernah menjadi pencetus kepada perang .
Itulah yang berlaku misalnya dalam perang enam hari antara El Salvador dan Honduras pada tahun 1969 ,krisis yang memuncak rentetan daripada rusuhan semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 1970 antara kedua-dua negara.
Itulah juga yang berlaku dalam perang di negara yang dulunya dikenali sebagai Yugoslavia pada tahun 1990-an. Perlawanan antara pasukan Serb, Red Star Belgrade dengan pasukan Croat, Dynamo Zagreb yang dibatalkan kerana rusuhan antara penonton pada Mac 1990 dilihat menjadi simbol permulaan perang itu.
Malah Ketua Kelab Penyokong Red Star Belgrade, Zeljko Raznatovic yang lebih dikenali sebagai Arkan memainkan peranan yang bukan kecil dalam perang itu. Dialah yang membentuk dan mengetuai pasukan pengawal Serb yang terlibat dalam pembersihan etnik bukan Serb, yang tukang-tukang sembelihnya kebanyakkannya terdiri daripada ahli-ahli kelab penyokongnya itu.
Jadi dengan kuasa yang ada padanya sebagai penyatu dan sekali gus pemecah, bolehkah bola sepak dilihat sebagai hanya satu permainan?
Kepada Jerman sendiri misalnya, bola sepak khususnya Piala Dunia 1954 adalah pentas yang meletakkan kembali negara itu ke tengah-tengah masyarakat dunia selepas ia terpecah teruk, runtuh dan musnah kerana Perang Dunia Kedua.
Bola sepak bukan hanya satu permainan semata-mata. Hal ini diungkapkan dengan baik oleh bintang bola sepak, Diego Maradona semasa mengulas perlawanan bersejarah antara Argentina dengan England pada suku akhir Piala Dunia 1986, perlawanan yang dikenang barangkali kerana gol ‘tangan tuhan ‘atau gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia, atau barangkali juga kedua-duanya sekali.
Kepada rakyat Argentina, perlawanan itu mempunyai makna yang cukup besar kerana itulah pertemuan pertama pasukan mereka dengan England sejak perang Fralkland 1982. Dalam biografinya, el diego, Maradona menceritakan bagaimana dia begitu mahu, sangat terdesak sebenarnya, melihat England tewas sebagai membalas kekalahan Argentina dalam perang itu.
“Kami tidak memikirkan tentang hal lain selain Falklands. Kami tahu ramai anak-anak muda Argentina mati ditembak seperti burung.
“Ini bukan tentang mengalahkan sebuah pasukan bola sepak tetapi lebih daripada itu, mengalahkan sebuah negara,” tulisnya dalam buku itu.
Itulah juga yang dirasakan oleh para pemain Belanda dalam Piala Euro 1988. Kemuncak kegembiraan mereka bukanlah apabila menjuarai piala itu dengan mengalah Russia tetapi semasa mengalah Jerman pada peringkat separuh akhir.
Malah dalam bukunya, How Soccer Explains The World: An (Unlikely)Theory Of Globalization,Franklin Foer berhujah bagaimana dendam Belanda kepada Jerman yang berakar sejak Perang Dunia Kedua semacam terbayar apabila Frank Rijkaard meludahi Rudi Voller dalam perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 1990, bukan sekali tetapi dua kali.
bersambung....
P.E.R.M.A.I : sambungannya permai akan post kemudian sikit eh..tq
1 comments:
Bagus artikel ni..susah nak cari..x sangka sakinah minat bola gak..hu
Post a Comment