Ep 54 : Hari bapa

Salam.

Selepas menulis entry pasal hari ibu, Permai sudah ada niat suci murni nak menulis tentang hari bapa pula. Tapi macam tersangkut pula selepas pinjamkan ‘suci’ kepada adik..amek pahala niat aje la..hehehehehe

Jadi, hari ini mesti tunaikan janji kepada diri sendiri. Takut nanti bila Permai pun dah tak percaya kat diri sendiri, lagi bahaya macam tu kan?(@.@) huhuhuhu

Baru-baru ni berkesampatan mengunjungi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), bukan saja-saja buat lawatan sambil belajar ke sana, tentulah sebab ada hal yang perlu diuruskan. Seronoknya dapat ‘melawat’ gedung buku di wangsa maju tu. Rasa tamak betul. Nak baca semua yang tersusun kat rak tu..!

Dalam memilih bahan bacaan yang terbaik, Permai sangat tertarik untuk membaca sebuah novel terjemahan dari Norway. Tajuknya ‘Gadis Oren’. Ketika itu, urusan telah selesai tapi mujurlah hujan turun mencurah-curah. Permai ada masa untuk menghabiskan bacaan dengan suasana yang sangat menyenangkan. Jadi rindu pada waktu kanak-kanak dahulu. Tingkap bilik sengaja dibuka untuk menghirup hawa hujan dan tanah yang sebati dengan harum kopi panas buatan tok, sambil itu Permai akan membaca. Kadang-kadang sampai tertidur. Hmmm..kenangan adalah untuk dirindui..

Sudah menjadi tabiat Permai kalau membaca novel, habiskan satu atau dua tajuk permulaan dan tengok apa kesudahannya. Tetapi untuk ‘gadis oren’ ini, Permai jadi sayang untuk menyelak helaian terakhir. Permai ingin sekali membaca mengikut tertib. Permai harap awan masih berat dan petang akan lambat. Biar lambat waktu pejabat berlalu.

Kisahnya seperti menyimpan suatu yang sangat misteri apabila Georg Roed, si watak utama berjanji akan menulis sedikit dan kemudian memberikan ruang yang banyak kepada ayahnya yang untuk menulis tentang gadis oren yang diangkat menjadi tajuk. Mereka menulis bersama-sama walaupun ayahnya telah lama meninggal!. Manis sekali kisah seorang ayah yang seperti ini.

Jan Olan seorang pengamal perubatan dan tahu bahawa penyakit yang dihidapinya akan membawa maut, lalu ketika itu dia menaip surat yang panjang untuk anaknya yang berusia 3 tahun bernama Georg Roed. Dia berharap anaknya akan membaca surat tersebut pada 10 tahun akan datang. Ini kisah seorang ayah yang sangat bimbang untuk meninggalkan anaknya. Dia tahu dia tidak mengenali anaknya pada 10 tahun akan datang, tetapi dia tetap mahu anaknya merasai kehadirannya walaupun dia sudah lama meninggal dunia. Suratnya menulis suatu kisah dan anak itu kemudiannya sangat menghargai semangat ayahnya yang tetap berperanan sebagai ayah walaupun telah meninggal dunia. Ayahnya bercerita untuknya, memberi nasihat, memberi sumbang saran untuk Georg membuat keputusan. Hmmm..inikan tugas seorang ayah?

Permai akhirnya tidak menghabiskan bacaan. Hujan belum mereda dan hari semakin lewat. Harus segera pulang. Permai tinggalkan novel tersebut kembali pada tempatnya. Permai jadi teringat pada ayah. Meredah hujan seperti ini, Permai jadi tenggelam dalam nostalgia.

Ayah itu orangnya jenis yang sanggup. Dia kadang-kadang tidak tahu segan dan sikap itu membina Permai yang aci redah aje asalkan kita yakin apa yang kita buat itu adalah betul dan tidak mengganggu orang lain. Janganlah kita menjadi orang yang lembab dan terlalu berhati-hati kerana bimbang memikirkan cakap-cakap orang yang tidak akan pernah habis. Sepanjang petang itu ingatan Permai dihantar jauh mencari kelibat ayah sepanjang hidup ini. Permai tidak mungkin dapat memahami gerak seorang ayah dalam takdir Permai tidak akan menjadi ayah walaupun seketika.

P.E.R.M.A.I : Semoga Permai jadi anak yang baik untuk abi & abah. Amiiiiiiiiiiiiiiiin..

0 comments:

Post a Comment