Ep. 88 : Kematian yang menghidupkan

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Hari ni Permai baca novel Hlovate 'Contengan Jalanan'. Lepas membaca buku yang best, selalunya idea mencurah-curah datang untuk Permai menulis. Oleh itu, diingatkan ya Puan Permai sayang..banyakkan membaca supaya blog ni boleh hidup dengan entry baru..


5 kematian yang menghidupkan hati Permai. Apa kena mengena novel ni dengan episod kali ni?. Pergilah baca novel ni..nanti kita bincang.


1. Umar bin Bakar.

Ini kematian pertama yang Permai ingat. Dia jiran Permai. Sebaya Permai. Meninggal tertimbus bawah runtuhan tanah ketika mandi manda di sungai kampung kami. Maghrib yang duka. Hati Permai dihidupkan dengan ingatan bahawa mati tidak kenal usia. Memberi Permai gambaran pilu sakit ibu bapa  yang menghantar si bongsu 9 tahun ke dalam liang terlebih dahulu. 


2. Ma binti Pin.

Setelah mendapat khabar ada kematian di Kampung Lama, Permai tertanya-tanya siapa yang mati. Mendengarkan yang mati itu Ma, Permai jujur sahajalah ya..ada rasa lega. Dia berpangkat mak saudara pupu Permai. Seorang OKU dengan kaki dan tangan tanpa fungsi. Setelah pemergian ibu dan saudara kandung, dia tinggal bersama ayah yang pikun dan diuruskan oleh jiran yang diupah. Hati Permai segera faham bahawa aturan Allah dalam setiap hidup dan mati sebenarnya bukan bergantung kepada faham-terima-logik kita, ia adalah urusan berserah sepenuhnya kepada Dia Yang Maha Mengatur. 


3. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Kenal orang ni?. Orang ramai memanggilnya Tok Guru. Ya Tuhan..dia adalah orang yang Permai rasa tak akan kiamat selagi dia masih hidup. Kau tahu kan, yang kiamat tak akan berlaku selagi ada orang yang beriman, berilmu, amanah, takutkan hari akhirat..? lalu apabila sosok ini pulang ke rahmatullah hati Permai dihidupkan dengan rasa rendah hati, takutkan kedahsyatan hari kiamat dan menilai amal sepanjang hayat Permai yang boleh dijadikan bekal. Hari yang pedih, sunyi dan tiada 'gangguan' daripada Thaqif selepas Permai maklumkan "Ibu sedih sangat, Tok Guru Ibu meninggal..". Permai perlahan belajar baiki rutin hidup supaya jadi muslim yang baik dari segi akhlak, amal soleh dan kefahaman ilmu.


4. Pian binti Isa.

Sedih. Permai menulis ini sambil menangis. Permai memanggilnya Tok. Dia jaga Permai daripada usia berpantang sehingga awal remaja. Zuhur yang khali selepas ummi mengkhabarkan bunyi suara pelik dari mulut Tok yang laih berbulan-bulan dalam jagaan ummi. Disusuli panggilan kedua yang Tok sudah tiada. 8 anak, 6 menantu, berpuluh cucu, berbelas cicit terdiam sepanjang proses mandikan dan kafankan sebelum subuh hari tu. Permai bagai terdengar suara ketawa, suara mengaji, suara berleter, suara zikir Tok..Rindunya. Inilah kematian yang mengingatkan Permai kepada kasih sayang yang hidup sehingga selepas matinya kita. 


5. Zahrah binti Abu Bakar.

Dia majikan pertama Permai. Dalam usia Permai 14 tahun, dia gajikan Permai untuk kerja-kerja mendobi, menyidai, melipat dan menyeterika pakaian isi rumahnya. Permai senang hati melakukan semua itu kerana hasilnya Permai gunakan untuk membayar yuran pengajian. Sambil bekerja Permai punya masa sendiri - me time - untuk bermonolog kemudian menumpahkannya lewat cerpen dan rencana. Waktu itu, Permai ada 4 buah buku tulis yang penuh dengan karya sendiri. Inilah orangnya yang buat Permai rasa nak cakap dengan tersusun, ayat berbunga berima, kemudian menulisnya semula dengan lebih baik. Dia orang mampu, jumpa di mana pun dialah tangan yang di atas. Dia beri kain cap, dia beri madu, dia beri minyak angin, dia beri kata hikmah, dia beri kenangan manis.


P.E.R.M.A.I : dah tulis sejak disember 2020, pos februari 2021. Sejenis apakah?

0 comments:

Post a Comment