Salam.
Sedaya upaya Permai cuba mengelak alasan “sibuk” dan “tak sempat”apabila tidak dapat menyiapkan sesuatu pada masanya. Permai malu dianalisis sebagai orang yang tak pandai mengurus masa. Oh! Tapi bagaimana lagi mahu MENGURUS MASA yang 24 jam sehari itu? Permai jugak yang makin ‘mengurus’...
Rasanya sudah sehabis pantas dan cekap kedua tangan ini bertungkus lumus menyelesaikan tugas dan rutin harian hidup. Permai cuba menyelesaikan sebanyak mungkin urusan mengikut masanya. Sekuat daya Permai cuba untuk tidak bertangguh, kerana bertangguh bererti akan bertimbun. Aduhai..ujian apakah ini..
Setiap malam sebelum tidur, fikirkan apa yang Permai sibukkan sepanjang hari..Ha??, banyak lagi yang tak selesai!
((Demi masa # Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian # kecuali mereka yang beriman, yang beramal soleh dan berpesan dengan kebaikan serta kesabaran # ))
Permai ingin selalu dalam keadaan ibadah dan beramal soleh. Permai ingin sentiasa dalam keberuntungan. Permai tak mahu merungut dengan nikmat masa yang ALLAH beri sama adil kepada semua hambaNYA.
Suatu pagi, Permai melihat seorang guru senior terkumat kamit bibirnya. Subhanallah..ALLAH beri kepadanya kesempatan untuk berzikir sambil mencucuk bunga manggar!. Suatu kali, Permai terlihat seorang ibu sedang sujud khusyuk dalam solat dhuhanya. Masyaallah..ALLAH beri kesempatan padanya sedang dia mempunyai dua orang anak OKU!. Suatu petang, jiran Permai yang baru pulang dari berkerja shift pagi datang menghantar bubur jagung untuk Permai sekeluarga. Alhamdulillah..Allah beri padanya kesempatan padanya untuk memasak pelbagai lagi juadah yang rumit. Suatu malam, seorang sahabat mengirim SMS mengajak berqiyamullail. Allahuakbar..rasanya mata ini baru sahaja lelap, namun sudah ada yang bangun menyahut seruan mujahadah itu, malah turut menjemput Permai.
ALLAH..
Permai jadi hairan bagaimana mereka dapat meluangkan masa seperti itu sedangkan Permai tahu mereka lebih banyak tugas, sudah tentu berganda-ganda sibuk berbanding Permai.
ALLAH..
Kadang-kadang Permai jadi sebal seorang diri. Banyaknya yang belum selesai, sedang badan sudah keletihan..pancit! lelah yang amat sangat!.
Kadang-kadang Permai anggap diri sedang bermain dalam siri ‘Explorace’. Selesaikan semua ‘task’ dalam masa yang ditetapkan. Bertanding dengan pesaing yang entah siapa dan bagaimana keadaannya. Yang penting urusan kita mesti diselesaikan. Mesti pantas, cekap, kreatif, berani, tekun, sabar dan kuat semangat!
Ya ALLAH..
Sesungguhnya dalam kurniaan masa yang sama untuk semua, ada tambahan nikmat lain yang tersembunyi..namanya ‘barakah’. Iaitu masa yang cukup untuk menyelesaikan urusan malah ada kelapangan lagi untuk beramal soleh. Sudahlah setiap urusan rutin itu berjaya dijadikan ibadah dan amal soleh, ditambah pula lagi ddengan ibadah-abadah khusus.
Ya ALLAH..
Permai inginkan kurniaan itu.. Permai kepingin sekali, Ya ALLAH.. permai mahu masa yang berkat. Berilah kepada kami nikmat itu lalu jadikanlah kami dalam kalangan orang yang bersyukur.
P.E.R.M.A.I : Ya ALLAH..kesempatan menulis ini moga dinilai sebagai alkhair. Bersaksilah bahawa Permai ingin berpesan dengan kebaikan dan kesabaran.