Ep 55 : Hari Anak

Salam.

Eh, hari anak ada tarikh rasmi macam hari ibu dan hari bapa ke?.

Selepas bercerita tentang hari ibu dan hari bapa, Permai ada idea nak menulis tentang hari anak sebagai kesinambungan kisah.

Suatu pagi yang belum masuk waktu subuh. Permai dikejutkan dengan berita ~ thanks to FB kerana berfungsi sebagai pemudah khabar ~ bahawa sahabat Permai sedang bersiap untuk menjadi ibu buat kali pertama seumur hidupnya. Alahai..Permai dah cuak sangat..subuh itu doa dipanjangkan moga semuanya berjalan lancar dan selamat.

Nurul Awatif Ulya lahir jam 8.09 pagi. Selamat datang, sayang..

Anak ini suatu yang sangat kompleks bagi ibu dan bapa. Dia tidak pernah membesar pada pandangan ayah dan ibu, dia selalu dan sentiasa menjadi anak pada mereka..maka mesti selalu ditatang. Kadang-kadang situasi ini menyebabkan ibu bapa gagal mengawal emosi apabila anak teruna mereka berkahwin, maka menantu dianggap sebagai musuh pula. Ada sahaja yang kurang enak pada matanya. Kalau yang berkahwin itu anak gadis mereka, dia berpesan seolah menantunya orang yang paling tidak boleh dipercayai. Sekadar contoh, tetapi Permai yakin ramai yang tahu dan dengar cerita seperti ini.

Dalam mendidik anak sukar sekali untuk menentukan betul salahnya secara tepat. Permai yakin semua ibu bapa sudah mencuba yang terbaik mengikut pertimbangan masing-masing. Sudah tentu mereka sangat risaukan watak Tanggang atau Sazali yang menjadi momokan yang mengerikan. Kecintaan ibu bapa kepada si anak membuatkan mereka mencuba pelbagai teori kecintaan.

<< cinta itu jika digenggam rapat, ia akan mati…jika digenggam longgar, ia akan lari >>

sukar sekali bagi ibu bapa!


Pertimbangan mengikut neraca islam adalah yang paling kukuh untuk dipraktikkan dalam pendidikan anak-anak. Tiada apa yang tertinggal. Sedari memilih tapak untuk nutfah itu ditempatkan pun islam telah mengajar dengan sangat teliti. Apatah lagi soal pendidikan saat si bayi mula berkembang sebagai kanak-kanak dan remaja yang selayaknya diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Permai ingin memetik cara berfikir seorang pengarah drama tempatan, Sdr Murali Abdullah mengenai sikap manusia yang berputus asa dengan kehidupan sekaligus gagal dalam misinya sebagai khalifah.

“Bayangkan sperma berjumlah lima juta itu apabila masuk ke dalam rahim, separuhnya akan mati dibunuh cecair daripada ibu. Satu juta lagi berperang berlawan antara satu sama lain untuk memasuki telur. Jadi manusia yang paling kuat dan yang paling dasyat itu adalah kita kerana kita telah berjaya dalam perlawanan menentang jutaan. Tapi apabila lahir sebagai manusia kita lemah dan mudah mengalah. Kejadian ini adalah untuk difikirkan.”

Semoga hari ini membuka langkah kita untuk menjadi anak yang baik pada ibu bapa kita dan membuktikan kita layak bergelar khalifah di alam jagat ini.

P.E.R.M.A.I : Ingat lagi sahabat Permai dalam episode 39? Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk mereka sekeluarga ye..

0 comments:

Post a Comment