Waktu pembelajaran tamat pukul 1. Kami wajib
solat berjemaah di sekolah dahulu sebelum dibenar pulang. Asalnya kami solat di
tingkat atas sebuah rumah bersebelahan Majidiyyah itu sahaja. Rumah separuh kayu
separuh batu itu bertukar-tukar kegunaannya. Tingkat bawahnya menjadi dewan
makan untuk pelajar yang menginap di asrama Majdiyyah. Aku suka sangat solat di
ruang atas rumah tu. Tingkap kayu sekeliling ruang itu akan dibuka dan diselak
sehingga angin dapat masuk dengan bebas. Hanya ada satu bilik di tingkat atas
ni. Tak tahu apa yang ada di dalamnya. Aku tak pernah berpeluang masuk ke situ.
Kerana itulah kawan-kawan yang tinggal di asrama pakat buat cerita hantu pasal
bilik tu. Jadi waktu solat zuhur, semuanya tak nak duduk dekat dengan bilik tu.
Semuanya berebut-rebut nak solat tepi tingkap.
Kami dipantau oleh seorang guru ketika solat
zuhur. Salah seorangnya Ustazah Amnah. Dia jiran sebelah rumah tok. Kakak
kepada Hamzah. Di rumah, aku memanggilnya Kak Amnah. Tapi di sekolah aku
memanggilnya ustazah. Sewaktu solat, kami membaca kuat-kuat seluruh bacaan
dalam solat. Rukun dan sunnat. Saat turun daripada iktidal kepada sujud,
biasanya kami suka menghempas lutut. Bunyi lutut bertemu lantai kayu seperti
memberikan rasa puas ketika bersolat.
Kemudiannya aktiviti solat zuhur berpindah ke
ruang asrama Majidiyyah kerana rumah itu telah ditukar menjadi rumah warden. Ada
sebuah sekolah yang sama tarafnya dengan sekolah ini telah ditutup. Jadi
pelajar-pelajarnya ditawar mengikuti pelajaran sekolah kami. Ini termasuklah
warden tersebut. Maka aku mendapat ramai kawan baharu. Kebanyakkan mereka
pelajar asrama yang berasal daripada serata negeri. Paling jauh ialah Adnin, dari Brunei Darussalam.
Oh, aku
lupa nak beritahu. Di sekolah ini kami diasingkan kawasan lelaki dan perempuan.
Pelajar perempuan ibtidaiyy di Majdiyyah macam yang aku beritahu sebelum ni.
Pelajar lelaki ibtidaiyy pula di Dar Aiman. Aku mesti melintasi Dar Aiman itu
kalau nak pergi atau balik daripada sekolah. Di Darul Aiman tu ada kelas, asrama
pelajar lelaki unit rendah (ibtidaiyy), 2 buah padang yang luas, pejabat dan
bilik guru serta sebuah musolla. Kawasan Dar Aiman lebih luas daripada Majidiyyah
yang cuma sebuah bangunan sahaja. Di tepi Majidiyyah ada dataran yang ditutup
kelilingnya untuk pelajar banat (perempuan) yang menginap di Majidiyyah
beriadah. Separuh dataran itu kemudiannya dibina bumbung dan dijadikan kantin
selepas rumah separuh kayu itu dijadikan
rumah warden. Tapi, sementara bumbung tu dalam pembinaan,
pelajar-pelajar makan di dalam kelas. Pagi-pagi kalau aku sampai awal di
sekolah, aku kena bersihkan sisa makanan atau minuman yang tertumpah. Bukan
sapu sahaja tau. Kena mopkan lantai tu sebab nanti kami akan duduk di lantai tu
untuk belajar. Tak seronoklah nak belajar kalau lantai berbau gulai kari atau
ikan goreng. Nanti baju pun jadi berbau.
Oleh kerana kami semua perempuan, kami boleh
buat macam-macam ‘aksi’ tanpa rasa malu. Kami boleh membaca atau menyanyi
kuat-kuat, kami boleh baring sahaja atas lantai, boleh meniarap, bergolek,
bahkan tertidur tanpa peduli untuk segan dan malu.
Macam pagi inilah, kami dapat tahu guru-guru
sedang bermesyuarat. Lalu kami berkumpul di satu meja dan galak bercerita
pelbagai tajuk.
Ibu bapa
Adik beradik
Makan minum
Hinggalah tajuk rambut.
Ruslina cerita rambut dia keriting. Katanya, orang yang rambut keriting
tak boleh dipercayai. Ruslina ni dua tahun lebih tua daripada aku kerana dia
pernah belajar di sekolah kebangsaan sampai habis darjah tiga, kemudiannya
mengikut ibu bapanya berpindah tinggal di perkampungan ini. Dia dimasukkan ke
kelas aku – darjah tiga – walaupun umurnya sudah 10 tahun ketika itu. Dia ni
ada banyak cerita dongeng dan cerita hantu yang dia sampaikan pada aku dan
kawan-kawan yang lain terutamanya cerita hantu di sekolah lamanya. Sampai aku
dan Farah buat kesimpulan sekolah kebangsaan ada banyak hantu.
Aku bantah,
Aku ceritakan yang asalnya rambut aku keriting
betul. Bergulung-gulung daripada kulit kepala, bukan setakat acah-acah gulung
kat hujung rambut tu. Tapi selepas dua atau tiga kali aku bercukur kerana ada
kudis di kepala, rambutku jadi lurus. Lurus segaris. Tak ada bergulung sikit
pun.
Kemudian Kami ketawakan Suzana kerana kami teka
rambutnya keriting melekat kat kepala macam orang Afrika kerana ayahnya yang
juga mengajar matematik di Darul Aiman tu berambut seperti itu. Mati-mati dia
nafikan. Sampai nak menangis. Lalu Amani yang merupakan ketua kelas cadangkan
kami buka tudung. Tunjukkan kebenarannya. Pelajar-pelajar yang tinggal di
asrama memang tak boleh menipu kerana mereka ada saksi, ni pelajar yang
berulang – tak tinggal di asrama – la yang ada potensi nak reka cerita.
Masing-masing kami pun buka tudung. Yang
pelajar asrama pun buka tudung juga sebab selepas tu kami bercerita tajuk kutu
di kepala pula. Pelajar asrama kata Mukminah tunjukkan rambutnya sewaktu mandi
sahaja, waktu lain dia akan serkupkan kepalanya kerana dia ada banyak kutu.
Jadi sekarang giliran maimunah pula nak menangis. Suzana yang tadi sedih
diketawakan, pun sekarang menggiat maimunah sebab rambutnya memang lurus.
Hujung-hujung tu sikit je yang curly.
Mukminah betul-betul menangis dan berlari
keluar ke bilik guru – tempat mesyuarat – dan ketika itulah kami ditimpa bala.
Ustaz Zain datang ke kelas ketika kami masih galak bercerita tanpa sikit pun
sedar aura guru tersebut. Bercemperalah kami bersembunyi bawah meja yang tak
berapa ada ruang nak bersembunyi tu. Kalut pakai semula tudung dan kemas meja
yang bersepah dengan buku-buku kami. Kami kemudiannya kena rotan di belakang
tapak tangan kerana tak tutup aurat. Takutnya lah masa tu. Tapi kemudiannya
lama juga kami boikot Mukminah tu sebab tak pandai cari port nak menangis.
Haih..geram betul!
Waktu
itu, di Majdiyyah ada 2 orang guru lelaki. Sedangkan di Darul Aiman, guru mereka
semuanya lelaki.
0 comments:
Post a Comment