Ep 60 : siapa lebih hebat?

Salam.

Permai sangat seronok bila En. Damai janjikan surprise..

“Nak bawak jalan-jalan kat taman..” katanya.

AlhamduliLLAH, En. Damai bawa Permai berjalan-jalan di taman antara taman syurga. Terima kasih kepada En. Damai yang sudi bawa Permai mengikuti kuliah khas di Masjid bersama Syeikh Nuruddin Marbu Abdullah. Untunglah suami Permai tu..dia dapat bersalam dengan Tuan Syeikh, pastu dia buat tak nak salam dengan Permai dah, sengaja tak nak share berkat.. tak baik tau..

Ini sedikit perkongsian ilmu..

Setakat mana kita layak menggunakan rasional akal semata-mata dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan?. Sememangnya akal adalah antara teknologi yang paling hebat dalam penciptaan manusia. Tidak kira akal itu sihat atau tidak, tetap menunjukkan kuasa ALLAH mengatasi semua kemampuan manusia sesuai dengan taraf kita sebagai HAMBA!. Bertapa ALLAH lah Yang Maha Tahu segala yang betul dan tepat untuk kita sementelahan DIA lah yang mencipta kita. Justeru DIA utuskan Nabi dan turunkan Al Quran supaya logik akal tidak mudah melencongkan kita daripada jalan yang benar.

Kita masih ingat dengan gurauan karikatur dalam akhbar Utusan beberapa waktu lalu yang langsung tidak lucu!!. Mengikut logik akal apalah bezanya merakam aksi zina dengan aksi rogol?. Namun, janganlah kerana ilmu yang dangkal kita mendabik dada melaungkan kejahilan kita tersebut. Rasional dan logik semata-mata tanpa didasari oleh ilmu syariat akan menjadikan kita orang yang sesat lagi menyesatkan.

Mengikut pemikiran kita yang berilmu cetek ini serta berdasarkan logik, siapakah yang paling hebat di dunia ini?.

Kalau dikatakan gunung yang hebat kerana pasaknya kuat, datang besi menggerudi gunung sedalam yang dapat..akan pecahlah gunung-ganang menjadi batu-batu kecil dan ratalah bukit atau gunung.

Kalau dikatakan besi yang hebat kerana dapat menembusi gunung, datang api membakar dalam darjah yang tinggi..akan leburlah besi waja tersebut menjadi cairan yang meleleh.

Kalau dikatakan api yang hebat kerana dapat melembutkan besi yang keras, datang air mencurah atau menitis..akan padamlah api yang marak meninggalkan bahan bakar yang hitam.

Kalau dikatakan air yang hebat kerana dapat menyejukkan api yang panas, datang angin menghembus lembut atau taufan..akan kontanglah sungai menjadi longkang yang kering.

Kalau dikatakan angin yang hebat kerana dapat mengeringkan air, datang manusia mengatasi angin dengan kemampuan mencipta kapal terbang merentas hawa untuk sekejap berada di Paris untuk berbelanja, sekejap berada di New Delhi untuk persidangan ekonomi, sekejap berada di Osaka untuk pembedahan jantung.

Kalau dikatakan manusia yang hebat kerana kemampuannya yang mengagumkan itu, datang rasa mengantuk..kalahlah manusia meskipun dia tidur di hotel atau di dalam kapal terbang, dia dalam keadaan yang lemah.

Kalau dikatakan rasa mengantuk yang hebat kerana dapat menewaskan manusia, datang rasa takut dan bimbang..hilanglah selera untuk tidur meskipun dipaksa dan kenyang menelan pil tidur.

Kalau dikatakan rasa takut dan bimbang yang hebat, datang rasa kehambaan yang menarik seorang hamba ke titik sujud..menjauhlah perasaan takut dan bimbang kerana saat itu hati menjadi tenang dalam pertemuan indah antara makhluk dan Khaliqnya.

Janganlah kita seperti lagu ‘bangau oh bangau’, menyalahkan untuk membuat alasan. Jadilah kita orang yang sedar diri, bertapa hebatnya kita sebagai manusia..hebat lagi ALLAH yang menciptakan kita.

Bersempena dengan kedatangan bulan terbaik dan berkat ini, mari kita sama-sama menghayati erti hebat yang hakiki. Pada subuh yang dingin, ulangkan dalam hati..

“Siapa hebat?”

“ALLAH”

“siapa kita?”

“Hamba”

Permai cadangkan buku “Asmaul Husna : Dengan Nama-MU Aku Hidup ” sebagai bahan muhasabah kita.

P.E.R.M.A.I : Salam Ramadhan, moga ramadhan ini menjadi ruang yang berkat dalam hidup kita.

Ep 59 : kawan

Salam.

Sini ada satu masaelah..

Permai selalu percaya bahawa Permai ini seorang yang pendiam, atau paling tidak pernah menjadi seorang yang pendiam. Begitupun, tidak pernah Permai terasa sunyinya dunia. Permai selalu ada kawan untuk berbual, bergelak, menangis, berbincang dan segala macam aktiviti sebagai kawan.

Sejak kecil hingga dewasa, Permai selalu seronok dengan dunia persahabatan walaupun sedar tidak semuanya gembira. Permai optimis untuk berkawan dengan sesiapa sahaja dan percaya kita akan banyak belajar daripada persahabatan. Biasanya Permai mudah untuk berkawan..(hmm…kepada kawan2 yg trasa ini bukan kenyataan, sila bgtw eh..hehehehe). Ambil contoh mudah, kalau dalam satu perjalanan balik ke kampung dengan bas atau keretapi, Permai boleh buat kawan dengan 3 orang, minimum. Sedikit demi sedikit, Permai semakin yakin bahawa Permai ni boleh tahan ramah juga. (^,^)

Tetapi di sini ada satu masaelah..

Ya, di sini.. di tempat baru Permai. Selepas 3 bulan menetap di tempat baru ~ kalau 3 bulan boleh dikatakan baru la..~ Permai belum mendapatkan seorang pun kawan!. Setakat sekali senyum dan salam, kemudian tiada lagi komunikasi lain, Permai terasa bersalah yang teramat sangat. Permai tidak pandai berkawan kah? Permai terlalu tertutup kah? Senyum Permai penuh misteri lalu mengundang curiga? Aduhai..

Dalam dunia yang serba canggih ini, kita boleh berkawan dengan orang dari segenap penjuru dunia tanpa memikirkan jarak. Jarak bukan lagi satu isu yang boleh dijadikan alasan untuk tidak mengenal kawan. Namun begitu, kita masih gagal memahami kenapa ada jarak antara kita dan jiran sebelah rumah?.

Semakin dalam difikirkan, semakin banyak alasan yang cuba diciptakan. Sememangnya kita tidak dapat menafikan faktor masa membataskan komunikasi kita sesama jiran. Keluar berkerja seawal subuh menjengah dan pulang petang atau malam bersama beban penat dan letih, tentu sekali sekadar bertegur salam ala kadar sudah besar tuah. Tambahan pula kita kini dibimbangkan dengan pelbagai masalah jenayah, tentu sekali kita mesti memilih orang untuk beramah mesra. Rumah bukan lagi tempat yang betul-betul selamat bagi kita dan keluarga. Kita terpaksa menafikan rasa ingin berkawan, rasa sunyi tanpa kawan, rasa bersalah tidak mengenal jiran dan lain-lain rasa kerana keadaan yang memaksa begitu. Kadang-kadang kita langsung tidak sempat memikirkan hal itu pun dek kerana ‘sibuknya’ kita dan masa yang makin cepat menghambat.

P.E.R.M.A.I : Sedang berusaha untuk menunaikan hak jiran dengan sebaik-baiknya.

Ep 58 : 9 julai 2011

Salam.

Tarikhnya 9 julai 2011, bersamaan 8 syaaban 1432, harinya hari sabtu. Hari minggu. Hari cuti.

Permai bangun seperti biasa, tenang-tenang sahaja walaupun Permai tahu hari ini ada acara yang gempita khabarnya seluruh negara, baik secara positif ataupun negatif. Hari ini bakal mencatat sejarah yang tersendiri untuk negara Malaysia tercinta. Demonstrasi aman BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil). Justeru, Permai sangat ingin menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Namun, dengan diri yang sedar, Permai faham bahawa tidak menyertai bukan bererti tidak bersama apatah lagi tidak menyokong. Permai faham bahawa tidak menyertai ini juga adalah sebahagian daripada perjuangan untuk membina sejarah yang baik buat diri dan masa depan.

Hari ini cuacanya baik. Angin sejuk bertiup menandakan awan membawa hujan. Memang mengharapkan hujan turun mencurah-curah hari ini terutamanya di Bandaraya Kuala Lumpur, biar gagal usaha untuk menzalimi orang yang berhimpun. Biar semangat para demonstran naik melonjak kerana merasakan kuasa ALLAH yang menghantar tentera-Nya bersama orang yang benar. Permai buka pintu koridor dan tingkap luas-luas supaya udara dalam rumah dapat disalin disamping melapangkan hati yang terasa sempit dek ralat tidak dapat turun ke Kuala Lumpur untuk berjalan dengan aman di sana. Ralat juga walaupun setiap hari menuju ke tarikh ini Permai sentiasa cuba menata hati supaya ikhlas dengan keputusan ini. Hati Permai ada di sana, Permai menghantar belahan hati ke sana dengan doa moga perjuangan kami ini dinilai sebagai al khair di sisi ALLAH.

Sepanjang hari Permai biarkan laptop terpasang, merefresh laman sesawang yang selalu mengemaskini lintas langsung dari tapak demonstrasi. Sekejap-sekejap pandang handset, menanti khabar, tidak kira khabar baik atau khabar tidak baik..Permai tetap ingin tahu. Permai tidak mahu terlalu jauh dengan apa yang bakal menjadi sejarah ini.

Permai hantar pandangan ke luar tingkap. Meninjau kanak-kanak yang leka bermain sepak takraw sejak pagi.

Aduhai kanak-kanak..hari ini ratusan ribu berkumpul di Kuala Lumpur adalah kerana mereka sayangkan negara ini. Mereka mahu negara yang lebih baik untuk ditinggalkan kepada generasi kamu kelak. Mereka mahu kamu mewarisi sebuah negara yang bersih dan adil untuk didiami tanpa rasa marah dan kecewa terhadap mereka. Mereka mahu kamu terus dapat bermain sepak takraw dengan bangga kerana jati diri negara kamu tetap terbela.

Aduhai kanak-kanak..dalam riang kamu bermain hari ini, jangan lupa tunaikan solat. Pohonlah doa agar kamu dapat terus bermain dengan aman dan yakin dalam negara ini. Berdoalah agar ibu bapa kamu dalam kesejahteraan dan sentiasa menyayangi kamu serta dapat mendidik kamu menjadi anak yang baik.

Permai jadi hiba mendengar gelak tawa kanak-kanak yang bermain. Ketika masuk waktu makan dan solat zuhur, riuh itu menjadi diam.

Tenang di Klang, tidak tenang di Kuala Lumpur. KL sudah seperti tempat berperang, kelihatan asap mengaburkan pandangan, memedihkan!!. Semburan air kimia juga sewenang-wenang membasahkan peserta himpunan. Permai jadi hiba melihat gambar dan video sepanjang demonstrasi dan mendengar khabar-khabar yang tidak indah dari KL. Sedihnya! Inikah negara Malaysia yang Permai sayang? Kenapa begitu kasar layanan yang mereka terima?. Mereka warganegara yang sayangkan tanah tumpah darah. Mereka datang dengan menempuh pelbagai sekatan jalanan yang tidak masuk akal dan akhirnya mereka dilayan seperti penjenayah!!.

Anakku, kita tidak meyertai perhimpunan itu bukan bermakna kita sudah berpuas hati dengan ‘kemajuan’ negara kita ini. Bukan bermaksud kita suka dengan kezaliman yang mereka lakukan pada rakyat secara terang atau sembunyi. Kita sama sekali tidak redho dengan kerakusan mereka memimpin tanpa berpegang kepada ajaran islam yang kita anuti dan yakini kesempurnaan syariatnya. Kita bukan golongan silent majority, kerana kita tidak akan berdiam sahaja menikmati keselesaan tanpa kenal erti pemangsaan.

Anakku sayang..lihatlah mereka sebagai pejuang. Jangan sekali-kali anak ibu menjadi orang yang tidak mengenal antara hak dan batil. Sesungguhnya ibu doakan kita sentiasa menjadi hamba yang terang hatinya melihat kebenaran walau dalam gelap.

P.E.R.M.A.I : Menulis dengan emosi

Ep 57 : kerana pulut santan binasa

Salam.

Permai baru pulang ke kampung meraikan musim buah-buahan tempatan di sana. Rancak sekali pokok rambutan, manggis, durian, dokong dan lain-lain berbuah dan ‘menjadi’..Alhamdulillah. ketika ini rasanya sangat beruntung jika berbudi pada tanah, menanam pokok kayu yang menghasilkan buah. Biar tidak banyak sehingga membentuk dusun, namun sepohon pokok rambutan sudah cukup untuk dibuat kenduri dan buah tangan untuk sanak saudara serta jiran.

Sedap sungguh durian dimakan dengan pulut dan santan. Lupakan dulu baunya..kita nikmati keenakan lemak manis durian dengan rasa syukur. Cuma, jangan berlebihan dan melampau melayan kehendak perut sehingga badan jadi panas dan sakit kepala. Sendiri mau ingat laa…

Kenapa ya peribahasa mengata pulut yang membinasakan santan?. Ini pulut dan santan yang seperti kebanyakan faham, atau seperti perkataan ‘batuk’ dalam peribahasa “melepaskan batuk di tangga” yang membawa maksud lain dari kefahaman kita yang kebanyakan?. Atau pulut dan santan ini sekadar untuk melengkapkan pantun seterusnya berbunyi ‘kerana mulut badan binasa’?

Permai mengambil peluang pulang ke kampung ini untuk berziarah. Alhamdulillah, berkesempatan melawat tok Pian, mak tam yang baru 11 hari menimang cahaya mata kelapan, mak ndak yang sedang menanti hari untuk bersalin, mak lang yang sedang sakit patah kaki. Sempat juga menjengah rumah tok Bedah, ada mak ndak sekeluarga yang pulang bercuti sempena musim buah ~org jauh..x sempat lagi kami melawat ke Parit Buntar, jumpa di sini ja.. ~ , cu na dan anak beranak dan pak cik sekeluarga. Berbaloi juga meredah hujan untuk bertemu semua.

Dalam seronok mengatur rumah saudara mara untuk mengeratkan silaturrahim kadang-kadang mulut gagal diatur dalam berbicara. Bahana!

Niat asalnya untuk bersilaturrahim, tapi kerana mulut yang tidak dikawal rapi..lain pulak yang jadi..

Lidah adalah anggota yang payah untuk dipelihara. Sekian banyak azab dijanjikan oleh ALLAH dek kerana mainan kata oleh lidah yang tidak bertulang ini. Kerana lidahlah mudah mengenal orang yang munafik. Lidah yang apabila berkata, dia bohong..banyak auta daripada fakta. Lidah yang apabila berjanji, dia mungkiri. Dari lidahlah meluncur kata penghinaan, caci maki, umpat keji dan lain-lain kata yang buruk sehingga kadang-kadang tanpa sedar telah menyakitkan hati orang lain atau menimbulkan salah faham. Kata-kata yang tidak dikawal oleh akal fikiran yang waras dan sihat daripada mazmumah menjadikan lidah anggota yang tajam dan mampu menghukum orang yang bercakap.

Permai sendiri sedang menghadapi hukuman kerana mulut yang lancar sangat menjawab. Ada masanya lambat menjawab adalah baik, dan selalunya diam adalah jawapan yang terbaik. Lidah adalah lambang taqwa yang tersimpan rahsianya, apabila lidah terlalu ‘nakal’ boleh lah diukur tahap imannya.

ALLAH berfirman yang bermaksud (( Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada ALAH dan katakanlah perkataan yang benar )) – surah al Ahzab; ayat 70

Sabda RasuluLLAH yang bermaksud “ Siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan yang baik atau diam ” - HR Bukhari dan Muslim

P.E.R.M.A.I : Mohon maaf kepada sesiapa yang menjadi mangsa mulut Permai..Permai sangat menyesal kerana tidak dapat menjaga lidah sendiri dan gagal menjaga hati semua.