Ep. 70 : Makluman

salam.

Permai sedang buat cerita, Projek " Budak Pondok". Projek yang dah makan banyak tahun juga tapi perkembangannya sangat lambat. Tolong doakan moga berjaya ye. 

Kalau ada yang sudi bagi komen, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Terima kasih semua.

P.E.R.M.A.I: budak baru belajar

Diari Budak Pondok 1994 (1)


Kita di tahun berapa ? 1994

Berapa umurku? 8 tahun

Hari ini hari pertama persekolahan tahun 1994. Hari pertama persekolahan di sini mudah sahaja. Tak perlu berkenalan atau malu-malu. Kami sudah berkenalan tahun yang lepas. Orang yang sama juga. Semua persiapan sudah bermula dua atau tiga hari yang lepas. Pelajar asrama juga sudah sampai awal. Buku-buku teks juga sudah ada dalam beg.

Di sekolahku ini, buku-buku teks tidak datang daripada kementerian. Buku-buku ini disusun sendiri oleh guru-guru mengikut kepakaran masing-masing yang akan menjadi silibus mereka nanti. Jadi buku-buku ini dicetak sendiri oleh unit cetak sekolah. Jual pun murah sahaja. Tapi disebabkan ada banyak mata pelajaran, jadi banyak jugalah belanja awal tahun persekolahan.

Aku? Aku tak perlu risau tentang buku teks. Aku hanya tinggal tulis namaku di bawah nama Syed Ali dan Syarifah Aliah sahaja. buku-buku itu warisan daripada pak cik dan mak su ku. Buku-buku ini masih elok. Cuma memang  boleh cam ini bukan buku keluaran terkini kerana kulit luarnya pasti berbeza setiap tahun. Dan perkara yang lebih baik ialah aku boleh berlagak dengan kawan-kawan la lepas ini sebab buku-buku arab sudah bergantung-gantung makna bahasa melayu di bawahnya. Mudahlah pengajianku nanti. Cuma buku hilal sahaja yang sudah buruk. Benci pula aku tengok gambar-gambar orang dalam buku itu sebahagiannya dipakaikan cermin mata. Ada yang ditambah tahi lalat serata muka. Buku yang menggunakan kertas lembik kuning itu sudah lusuh dan diconteng sepenuhnya. Tak apalah..tahulah aku apa yang patut dibuat nanti.

#buku hilal

Sebenarnya bukan aku sahaja menerima nasib begini. Contohnya Amani, pelajar cantik dan pandai itu pengguna ketiga juga selepas abang dan kakaknya. Tapi bukunya banyak yang elok lagi. Kemas sahaja dibalut. Tak comot dengan makna yang bergantungan. Solehah pun gunakan buku terpakai. Dia pengguna keempat. Kakak-kakaknya selang setahun sahaja. Jadi Solehah ada kakak di kelas 6,5 dan 4 ibtidaiy.

Oh, umurku 8 tahun. Tapi aku di kelas 3 ibtidaiy. Hmmm..maksudnya darjah 3 lah lebih kurang. Bukan kerana aku lahir 1 januari, tapi di kelas 3 ibtidaiy ini kami campur-campur umur. Paling tua ada yang sudah 11 tahun, yang paling muda aku bertiga dengan Hafizah dan Nisa. Sebenarnya bukan kelas 3 ibtidaiy sahaja yang ada pelajar campur umur..semua kelas di sekolah ini macam tu lah..jadi aku tak tahu siapa yang lebih tua, sebaya atau lebih muda daripada aku.

Kelas kami terletak di bangunan 2 tingkat. Namanya bangunan Majidiyyah. Ia hasil sumbangan orang kaya yang namanya Abdul Majid lalu diabadikan sebagai nama rasmi bangunan tersebut. Kami di tingkat bawah. Atasnya adalah asrama untuk pelajar perempuan ibtidaiy tahap 1. Aku selalu dengki dengan kawan-kawan yang tinggal di asrama. Kalau tertinggal buku Cuma perlu panjat tangga untuk ambil buku. Aku pula perlu berjalan (atau berlari?) melintas sungai, padang, kedai runcit dan rumah-rumah untuk ambil buku sahaja.

#lukis majidiyyah

Kami tak boleh pakai kasut di dalam kelas kerana kami akan duduk atas lantai sahaja dibalik meja panjang. Lantai itu di pasang tikar getah (yang sepanjang tiga tahun aku belajar di situ tidak pernah bertukar).  Satu meja panjang boleh dikongsi tiga atau empat orang. Oleh kerana aku sudah kenal rakan-rakan kelasku dari tahun lepas, tahun ni teman semeja, bahkan susun atur tetap akan sama seperti tahun lalu juga. Bezanya nanti sewaktu menulis tarikh sahajalah. Seragam sekolah kami pun menarik. Untuk pelajar perempuan, tudung dan jubah biru gelap- blue black- yang fesyennya tak kisah asalkan jubah. Lelaki pula jubah putih dan berserban putih.

meja panjang (sumber: FB Harumanis Alternative School, Sabah)



Sekolah apa ni?

Namanya Madrasah Sa’adatud Daroin

Sekolah agama?

Ya, sekolah agama.

Pondok kah?

Tidak ada pondok

Habis kenapa kau letakkan ini cerita tentang budak pondok?

hmm..sebab aku lebih suka merasakan ini pondok dari sudut materialnya.