Aku sudah mula membaca al quran sejak tahun lepas lagi. Sebelum tu ibu ajarkan aku muqaddam yang sesetengah orang panggil jamaha. Tapi aku khatam muqaddam dengan tok. Muqaddam adalah buku pengenalan huruf-huruf al quran dan disambung dengan surah-surah daripada juzuk ke-30 dalam al quran. Sewaktu belajar muqaddam dengan tok dan ibu, aku mesti mengulang setiap surah yang aku dah baca sampai jadi terhafaz. Oleh kerana silibus matapelajaran tahfiz di sekolah ini adalah juzuk ke-30 untuk darjah 1 sehingga darjah 3, maka sekejap sahaja aku dapat menghafaz dan tasmi’ pada guru. Tasmi’ ialah memperdengarkan bacaan dan hafazan kepada orang lain. Jadi pelajaran tahfiz mudah sahaja bagi aku. Tinggal lagi guru atau tok akan betulkan sedikit sebutan dan tajwid aku kalau ada yang tersilap. Oh sekejap, tajwid itu pula satu cabang dalam ilmu al quran supaya dapatkan bacaan yang betul dari segi sebutan bunyi huruf, bacaan dengung atau panjang pendeknya.
Selepas solat zuhur di sekolah, kami akan dilepaskan pulang. Nanti, sekitar pukul 3 petang aku ke kelas al quran di rumah Ustazah Zaharah pula. Aku biasanya akan singgah dahulu di kedai Ramli, beli apa-apa ‘bekal’ sebelum ke kelas al quran. Keropok durian, pelbagai jenis asam, gula-gula udang, trebor (kalau ada duit lebih). Itulah sebabnya alquran aku merah di mukasurat 34 yang ada 1 ayat sahaja muka tu, yang cerita pasal muamalat tu. Aku ingat sangat sebab waktu tiba giliran aku baca, aku sedang makan asam ko sembunyi-sembunyi di bawah tudung. Oh, kedah ni sesetengahnya panggil tudung tu sebagai kain kelubung. Waktu itulah ustazah tegur mulut dan gigiku merah dan al quran aku comot. Aku pula semput nak habiskan mukasurat tu. Akhirnya Cuma 1 ayat tu sahajalah yang aku baca.
Ada dua perkara yang aku suka berkaitan sesi mengaji al quran ini. Pertama aku rasa unik sangat ruang kami mengaji ni ada dinding yang asalnya adalah cermin hadapan kereta. Letaknya pula di bawah, bukan sebaris dengan tingkap. Ia memang berfungsi sebagai dinding, bukannya tingkap. Tahukan cermin tu?. Jadi imej yang tercipta di sebalik cermin tu cantik. Kadang kalau hari hujan aku akan ralit memerhati hujan jatuh membentuk lekuk di tanah. Oleh kerana cermin itu adalah dinding, maka ustazah buatkan langsir kecil khas untuknya. Sedondon sahaja dengan langsir untuk dua tingkap nako yang ada di ruang itu. Aku selalu ambil tempat di tepi dinding cermin tu. Entah bagaimana ia dipasangkan bersama batu bata yang lain.
Perkara kedua yang menarik ialah pokok teh yang ada sekelilingnya. Pokok teh yang jenis ada buah merah dan oren apabila masak tu, rasanya tawar sahaja. Tapi aku dan kawan-kawan suka kutip, buat kunyah-kunyah, bukannya boleh kenyang pun. Cuma seronok lah dapat berebut-rebut kutip buah tu.
Ada masanya tumpuan kami bukan pada buah teh, tapi pada ladybird yang banyak di situ. Ladybird biasa yang warna hitam merah ataupun ladybird yang berwarna keemasan. Kami memanggilnya kura emas.
buah teh (sumber google image) |
pokok teh (sumber google image) |
kura-kura emas (sumber google image) |
Kelas mengaji al quran di rumah Ustazah Zaharah berakhir dengan tasbih kafarah dan surah al asr. Kadang-kadang kami dijamu dengan kuih atau bubur. Macam-macam jenis kuih dan bubur bergantung kepada rezeki. Habis sahaja kelas, acara bebas!
Biasanya aku akan merayau, singgah sana, singgah sini, jalan lambat-lambat supaya lewat sampai ke rumah. Yelah, kalau aku berkejar balik pun tak ada aku nak buat di rumah. Tapi kalau tak ada kawan yang boleh diajak menghabiskan masa begitu, terpaksa jugalah aku balik ke rumah dan aktiviti petang aku boleh jadi menyapu daun rambutan, himpun di satu sudut, kalau rajin terus bakar.. kalau tak rajin esok kena sapu lagi sebab ayam dah kucarkan longgokan tersebut. Boleh jadi juga petang itu aku akan tolong tok sediakan minum petang adan makan malam. Boleh jadi juga aku akan habiskan masa petang aku dengan termenung sahaja di atas pokok jambu di belakang bilik air rumah tok ini. Walaupun aku ni budak kampung, aku harus menjaga gengsi sebagai perempuan, anak cucu keturunan baik-baik, budak mengaji pondok lagi. Jadi aktiviti harian aku tentulah tidak ada yang tak semenggah. Aku sendiri pun jenis yang tak berapa berani sangat. Paling-paling pun aku akan termenung di sungai berhampiran jalan ke rumah Ruslina sambil baling batu daripada titi kecil di situ. Aku mesti pulang sebelum pukul 7 malam. Waktu maghrib tentulah tak elok dok mengukur jalan lagi.
0 comments:
Post a Comment