Ep.87 : Satu dekad pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Permai bersyukur kami mulakan dekad pertama ini dengan sama-sama menyapu air mata selepas membaca Jaja & Din, bersoal jawab tentang isi buku Why men don't listen and women can't read maps dan berdiskusi dengan serius perihal kemana wang anda?. Tak lupa juga kami menghayati lagu saat lafaz sakinah dan bersembang panjang mengenainya. Kami sama-sama menanti episod seterusnya drama Jewel in the palace dan ikut berbahagia dengan love actually". Sebelumnya, dalam pra-dekad ini kami belajar "Aku terima nikahnya" dan sekian ramai kolumnis majalah anis dan majalah i, disamping audio ceramah Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Syamsuri yang sentiasa menjadi pilihan. Terlebih awal dari itu, kami belajar mata pelajaran sains rumahtangga dengan ummi-abi, mama-abah, tok-tok wan kami tentang bagaimana menanggapi alam perkahwinan yang rencam dan mencabar. Semua ini selalu menjadi bahan untuk kami berbual santai atau serius kemudian membentuk sudut pandang kami sebagai pasangan dalam dekad pertama ini. Permai sungguh bersyukur.

Dekad pertama ini adalah tahun-tahun kami mencari titik persamaan. Yang tak reti makan salad & ulam. Yang jarang pekena ikan darat. Yang tak suka kicap. Yang makan kena berkuah. Yang semua benda kena cicah sos. Yang pantang makan tak ada etika. Yang nak mencedok sudu, sudip mesti guna tangan kiri. Ahhh..sekian banyak halnya, baru tentang makan sahaja..belum segala tiap titik yang lain. Tahun-tahun ini kami belajar tentang belajar dan terima serta belajar dan berubah.  Berazam - berjaya, berazam - gagal, berazam, setiap hari. 

Orang kata, 5 tahun pertama sangat penting bagi sesebuah rumahtangga. 5 tahun pertama kami Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Dan Permai ingin mengenang dekad pertama ini dengan senyuman.

Mungkin kerana Permai jenis yang 'enjoy the moment' ~ sebenarnya Permai belajar ini dari ibu ~ Permai menikmati semua senyum, ketawa, air mata dan drama perjalanan satu dekad ini. Mengizinkan diri untuk rasa kecewa, menyampah, gembira, bangga, sedih, mengamuk dan boo layan dengan Encik Damai. Sebab dari mula lagi Permai tahu bahawa tak mungkin Permai akan suka semua tentang Encik Damai kerana latar belakang, keupayaan, minat dan banyak perkara kami adalah berbeza. Kita boleh pilih untuk toleran, tapi bukan dengan membebankan. Kami sentiasa memilih percaya. 

Permai ingin mengenang satu dekad ini dengan senyuman. 

Mengenang kilometer yang pernah kami lalui dengan motor-kereta-bas-keretapi, 

mengimbau kilogram yang pernah 60 - 30 - 70, 

mengingati minit-jam-hari-bulan-tahun kami pernah berjauhan 

dan merenung setiap sen-ringgit yang pernah kami habiskan untuk menjayakan 10 tahun ini. 

Melihat orang lain berpasangan- dan menambah pasangan, melihat pasangan  yang ditinggalkan - hidup atau mati, malah melihat orang lain memilih bersendirian sering menjadi bahan refleksi bagi kami. Banyak sangat yang kami dapat dan perlu pelajari seiring peningkatan usia. 10 tahun berlalu, matang dan mentah silih berganti. Menjadi pengalaman.

Dan Permai ingin mengenang satu dekad ini dengan insaf.

Melihat rumahtangga ummi-abi, mama-abah sudah cukup untuk kami panjatkan syukur atas peluang memiliki pasangan yang kami rasa sepadan antara satu sama lain. Dulu, Permai suka lelaki cina hitam manis macam Louiss Khoo, pandai bercakap di khalayak awam macam Aznil Nawawi, meminati penulisan dan persuratan macam Zainuddin dalam tenggelamnya kapal van der wick. Namun, sedekad ini Permai suka En. Damai sahaja walaupun tak hitam manis, tak pandai bercakap di khalayak dan tak minat bersurat.

Seperkara yang selalu En. Damai ingatkan ialah, pasangan kita adalah pinjaman. Permai sedih dengan peringatan ini. Walaupun kita tahu tentangnya, lama sudah kita maklum bahawa kita tak akan kekal selamanya dengan pasangan, kita akan berpisah, hidup atau mati. Namun sedih pilu itu tetap hadir, mengikut kita ke mana-mana. Permai pilih doa supaya ditetapkan hati dalam menyayangi pasangan, agar sayang ini tak pernah membenarkan kita berbuat perkara maksiat. Doa supaya setiap kali diuji berkaitan pasangan, Permai tetap sedar itu ialah ujian kemudian mengambil langkah-langkah sepatutnya menangani ujian. 

Dulu, Permai suka menulis diari. Menulis apa sahaja dalam sebuah buku. Ternyata perkahwinan telah merencatkan tangan Permai dengan rutin yang pelbagai, dunia berpasangan dan beranak pinak mengambil cukup banyak masa Permai. Mutakhir ini, melihat anak-anak menulis diari sementara ibu cukup payah meluang masa menulis diari, atau sekurang-kurangnya menulis di blog, atau paling tidak menulis di facebook menyedarkan Permai satu dekad terlalu sekejap.

Permai insaf. Daripada berdua sehingga berenam kini, sebentar sahaja masanya. 10 tahun tak terasa. Janganlah 10 tahun ini sia-sia tanpa satu pun yang terpilih sebagai alkhair yang memberatkan timbangan amal baik Permai. 

Dalam dekad pertama ini kami saling mengasihi, cuba memahami dan berbahagia. Menuju dekad kedua yang entah dapat dicukupkan atau tidak ini, kami ingin selalu tersenyum dan menginsafi nikmat ini. 


P.E.R.M.A.I : Terima kasih En. Damai atas pahit manis satu dekad. Alhamdulillah.

0 comments:

Post a Comment